Mencari erti Melayu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mencari erti Melayu

“PATUTLAH kita tidak maju, orang Melayu, makin layu.” Ungkapan tersebut kerap kedengaran di telinga penulis sejak dahulu. Menyebut perkataan Melayu tanpa mengetahui maksudnya telah  menimbulkan salah tanggapan tentang konsep Melayu.

Hal ini menyebabkan banyak orang yang mengaitkan perkataan layu dengan bangsa Melayu. Tanpa membuat sebarang rujukan, tentunya kita tidak akan mengetahui makna sebenar istilah Melayu yang merujuk bangsa dan bahasa Melayu.

Banyak yang mengaitkannya dengan  maksud perkataan layu, iaitu  perihal menjadi kering, kecut, dan tidak berseri lagi.

Para sarjana telah mengutarakan pelbagai pendapat tentang konsep Melayu. Pada peringkat awalnya, konsep tersebut hanya dikaitkan dengan konsep kerajaan Melayu yang berpusat di sekitar Kepulauan Sumatera.

Meskipun tidak banyak bukti pada zaman prasejarah yang ditemukan, namun kita masih dapat mengesan erti Melayu melalui beberapa kajian dari segi etimologi atau kajian tentang asal-usul dan makna sesuatu perkataan.

Seorang sarjana barat, Van Der Tuuk mengaitkan perkataan Melayu  dengan kata “menyeberang”. Perkataan ini dikaitkan dengan perihal orang Melayu yang berhijrah dan menukar agama daripada Hindu-Buddha kepada agama Islam.

Makna tersebut mempunyai hubungan dengan makna yang diutarakan oleh beberapa pengkaji lain yang mengaitkan istilah Melayu dengan perkataan Melayu dalam bahasa Jawa kuno, yang bererti “mengembara”.

Hal ini merujuk kepada peristiwa perpindahan orang Melayu menyeberangi kawasan yang luas dari Yunan, di Tanah Besar ke kawasan selatan, iaitu di sekitar Kepulauan Melayu.

Perkataan “Melayu” juga membawa maksud “deras”. Menurut seorang sarjana tempatan, Mohd Dahalan Mansoer, berdasarkan kisah yang tersebut dalam buku Sejarah Melayu, terdapat sebatang sungai di Palembang dinamakan Sungai Melayu.

Diceritakan bahawa sungai itu dinamakan demikian kerana alirannya yang sangat deras. Perkataan itu juga disamakan dengan perkataan “berlari” kerana air sungai itu dikatakan mengalir bagaikan berlari.

Di samping itu, ada pengkaji yang mengaitkan istilah Melayu dengan Himalaya yang dikatakan sebagai tempat asal orang Melayu. “Hima” bererti bersalji dan “alaya” bermakna tempat.

Gabungan perkataan itu membawa erti tempat bersalji; sejuk. Makna tersebut pula seolah-olah ada hubungannya dengan pandangan beberapa pengkaji yang mengaitkannya dengan satu perkataan yang terdapat dalam Purana, iaitu sebuah kitab Hindu purba.

Perkataan tersebut ialah  Malaya-dvipa yang bermaksud tanah yang dikelilingi air. Tempat yang dimaksudkan itu dikatakan kaya dengan hasil bumi dan terdapat banyak lombong batu yang berharga.

Perkataan Malayapura pula dikatakan tercatat pada sebuah batu bersurat yang ditemukan di Sumatera Barat, iaitu Batu Bersurat Bukit Gombak. Perkataan tersebut bererti Kota Melayu ataupun Kerajaan Melayu.

Kota ataupun kerajaan yang dimaksudkan itu dinaungi oleh golongan pemerintah yang terhormat dan tinggi tarafnya. Hal ini amat bersesuaian dengan catatan dalam teks-teks klasik yang menceritakan sejarah perkembangan kerajaan Melayu Melaka. Istilah Melayu dalam teks-teks tersebut dihubungkan dengan erti keturunan orang yang berasal atau berbangsa.

Jelasnya, Melayu bererti sanggup menyeberang dan mengembara walaupun terpaksa menempuh cabaran getir demi kehidupan yang lebih baik. Melayu juga bererti sentiasa berusaha untuk mencari suatu tempat yang makmur dan aman atau ‘sejuk’ untuk diwarisi. Melayu juga bererti  keturunan berbangsa lagi terhormat. Oleh itu, Melayu mesti berlari deras jika mahu berjaya dan tidak ketinggalan.

Bersempena dengan semangat tahun baharu Hijrah yang masih terasa bahang semangatnya, kita perlu menyedari hakikat bahawa kejahilanlah yang menjadikan kita layu.

Kejahilan tentang bahasa menyebabkan kita bukan sahaja kehilangan jati diri malah sanggup merendah-rendahkan bangsa sendiri. Oleh itu, berhijrahlah dengan ilmu. Mulakan langkah dengan mengenal bahasa sendiri.

Selamat menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan. 1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara!

0 Komentar untuk " Mencari erti Melayu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ