Jerebu: Jangan ambil kesempatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jerebu: Jangan ambil kesempatan

KALAU mengikut perkiraan pihak berkuasa, kita sepatutnya sudah tidak lagi diselubungi jerebu, dan boleh bernafas udara bersih. Beberapa ramalan awal memang melegakan.

Pada 5 September Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu jerebu yang melanda negara akan berakhir pada bulan Oktober.

Beliau menyebut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Monsun Barat Daya akan berakhir pertengahan September, jerebu akan ditiup ke arah lain, dan kita bebas daripada asap.

Pada 8 September jabatan berkenaan sekali lagi meramalkan bahawa perubahan angin akan mengalihkan asap dari Kalimantan dan Sumatera beredar ke tempat lain. Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak lagi mengancam kesihatan.

Tetapi hari ini, sudah minggu ketiga Oktober, jerebu semakin teruk mengganggu pernafasan dan pemikiran. Apabila langit muram, fikiran pun tidak tenteram. Ada sahaja yang tidak kena.

Namun jangan salahkan jabatan berkenaan. Nama pun ramalan! Sama seperti ramalan empat nombor ekor dan ramalan bomoh, ramalan saintifik agensi cuaca juga selalu meleset. Sebab itu ada sindiran: “Sekiranya ramalan kata tidak ada hujan, lebih baik bawa payung!”

Jangan senang hati sekiranya ada ramalan bahawa jerebu akan berakhir esok atau lusa. Hutan di Indonesia terus dibakar, dan seperti yang dilaporkan agensi berita antarabangsa di Jakarta, kita akan menyedut asap beracun ini hingga Mac tahun depan.

Ketika rencana ini ditulis – Isnin – Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan sekolah di Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah juga Kuching dan Samarahan di Sarawak. Ini kali ketiga sekolah ditutup sejak serangan jerebu kira-kira dua bulan lalu.

IPU di 18 kawasan mencapai bacaan tidak sihat dengan Seremban pada tahap amat tidak sihat @ 198. Kawasan lain yang tidak sihat ialah Nilai (160), Bukit Rambai (158), Bandaraya Melaka (156), Port Dickson (154), Tanjung Malim (106) dan Kemaman (103).

Di Lembah Klang kawasan yang teruk berjerebu ialah Banting (164), Batu Muda Kuala Lumpur (164), Putrajaya (152), Pelabuhan Klang (144), Shah Alam (140), Petaling Jaya (136), Cheras (131), Tawau (159).

Untuk makluman IPU 51 – 100 menunjukkan kualiti udara sederhana, 101 – 200 tidak sihat, 201 – 300 sangat tidak sihat, dan melebihi 300 adalah tahap berbahaya.

Bagi warga emas seperti saya – jika mahu – jerebu boleh dijadikan alasan untuk tiba lambat ke pejabat, atau tidak datang kerja langsung. Telefon sahaja PA: “Nafas saya sesak sebab jerebu tebal, saya masuk lambat.”

Kalau hendak tipu doktor pun boleh: “Tuan Dr, sudah dua hari saya batuk-batuk sebab sedut jerebu. Tolong beri saya MC dua hari...” Sekiranya doktor itu pun jenis penipu, tanpa memeriksa pesakit dia terus mengeluarkan MC.

Peniaga di pasar boleh menaikkan harga ikan dengan memberi alasan: “Kita orang kurang dapat bekalan daripada pemborong sebab nelayan tidak dapat turun ke laut akibat jerebu tebal... jadi kena naik harga.”

Memang di sesetengah kawasan nelayan pantai tidak turun ke laut sebab jarak penglihatan dilindungi asap. Tetapi bukan semua kawasan nelayan tidak boleh ke laut. Nelayan laut dalam terus membuat tangkapan seperti biasa. Peniaga tidak boleh menaikkan harga ikan atas alasan jerebu. Pihak berwajib kena pantau hal ini.

Harga sayur pun naik sebab pengeluaran dari ladang terjejas akibat jerebu. Ada yang mendakwa jerebu telah menjejaskan dengan teruk beberapa kawasan tanaman sayur di Johor. Apakah ini betul? Atau hanya alasan mudah untuk menaikkan harga sayuran.

Di Sarawak, seperti yang dilaporkan media, sudah dijangkakan bahawa harga buah-buahan, terutama durian, akan naik sebab dusun tidak menjadi gara-gara jerebu. Perolehan dusun diramal merosot sebanyak 30 peratus.

Beberapa ladang ternakan ayam di Johor pun memberi amaran bahawa bekalan ayam akan berkurangan, sebab berjuta ekor anak ayam mati menyedut jerebu. Ayam telur pun tidak bertelur seperti biasa sebab nafas terganggu.

Mungkin sehari dua ini akan ada suri rumah yang menjadikan jerebu sebagai alasan nasi hangit dalam periuk atau ikan goreng hangus dalam kuali. Itu bukan sebab jerebu tetapi akibat mereka leka melayan teman Facebook.

Dan, jangan sekali-kali percaya apabila suami menelefon isteri di rumah, memberitahu: “Ayang... jerebu teruk sangat ni, abang tidak boleh balik, terpaksa tidur kat opis!”

0 Komentar untuk " Jerebu: Jangan ambil kesempatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ