Kurang jati diri punca bahasa ibunda terpinggir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kurang jati diri punca bahasa ibunda terpinggir

S: Boleh Datuk jelaskan kebimbangan melihat banyak pihak seolah-olah tidak mempedulikan bahasa kebangsaan, terutama pihak swasta? 

Dr Awang Sariyan: Pertamanya, merujuk perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Di situ disebut secara jelas bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi. Apa makna bahasa rasmi, perkara itu dijelaskan dalam perlembagaan dengan cukup terang. Perkara ini barangkali yang tidak dihayati, difahami atau tidak dibaca oleh penjawat-penjawat termasuk sebahagian penjawat awam. Mengikut perlembagaan cukup jelas disebut bahawa bahasa rasmi ini hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi di tiga peringkat iaitu pertamanya pada peringkat persekutuan. Katakan jika ada 30 kementerian, maka semua wajib menggunakannya sebagai bahasa pentadbiran dalam urusan rasmi termasuk mesyuarat, pekeliling dan semua yang berkaitan. Tetapi hari ini kita lihat masih banyak mesyuarat menggunakan bahasa Inggeris. Itu tidak dapat dinafikan. Peringkat kedua ialah di peringkat kerajaan negeri. Itu bermakna di peringkat EXCO, semua urusan pun mesti dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Ketiganya, sektor awam, badan berkanun termasuk juga syarikat milik kerajaan (GLC) kerana itu juga dikategorikan sebagai perbadanan. Berdasarkan audit bahasa DBP, penggunaan bahasa Melayu belum mencapai tahap 100 peratus, masih banyak ruang lompong. Itupun kita cuma menilai kepada dokumen saja, belum lagi masuk ke dalam mesyuarat kerana ia berkaitan soal kerahsiaan. Tetapi saya yakin, jika kita mengaudit dan masuk ke dalam mesyuarat, tentunya banyak lagi masalah yang akan timbul. Maknanya bahasa Melayu dipinggirkan dalam konteks serta fungsi bahasa rasmi.

S: Begitu banyak iklan atau paparan awam yang tidak guna bahasa kebangsaan atau guna bahasa rojak. 

J: Itu juga urusan rasmi tetapi di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Contohnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan majlis daerah yang tergolong dalam kategori pihak berkuasa awam. Itu pun sudah ada undang-undang kecil iklan dan paparan bahasa di tempat awam yang mesti mengutamakan bahasa Melayu. Memang ada sedikit kelonggaran menggunakan bahasa asing, tetapi jangan menonjol. Perkara yang menonjol seperti huruf dan warnanya mestilah kepada bahasa kebangsaan. Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya kerana disebabkan sebahagian besar PBT masih tidak menguatkuasakan undang-undang kecil iklan yang ada. Sedangkan DBP memang ada menawarkan khidmat menyemak dan mengesahkan. Kita keluarkan pengesahan dan sijil, kemudian barulah PBT boleh keluarkan permit paparan di tempat awam. Tetapi kebanyakan kes tidak merujuk kepada DBP dan permit dikeluarkan sewenang-wenangnya oleh PBT. Ada juga paparan iklan yang haram.

S: Itu bermakna peruntukan kuasa sudah ada pada DBP, tetapi tidak dipedulikan PBT. 

J: Ya, arahan tidak dipatuhi, sedangkan keputusan Majlis Negara dalam aspek Majlis Tempatan, semua PBT diwajibkan merujuk kepada DBP dulu. Mana-mana iklan, nama jalan atau nama tempat mesti merujuk kepada DBP dan apabila disemak dan diluluskan, barulah dikeluarkan permit kebenaran iklan. Undang-undang kecil itu sudah lama wujud, soalnya penguatkuasaan tidak tegas.

 S: Bagaimana dengan hasil pemantauan DBP sendiri? Adakah penguatkuasaan begitu lemah dan berapa banyak PBT yang akur arahan? 

J: Kita buat tinjauan dan hanya 10 PBT saja yang tegas dalam aspek penguatkuasaan ini di seluruh negara. Anggaran ada lebih 100 PBT, tetapi hanya 10 yang mempraktikkan penguatkuasaan. Kita buat penarafan bintang dan daripada 10 PBT itu, hanya Shah Alam saja yang layak mendapat status lima bintang. Baki yang lain cuma empat bintang ke bawah. Baki lebih 90 lagi PBT itu, lagi rendah dan itulah masalahnya apabila kita tidak menguatkuasakan undang-undang kecil pengiklanan tadi. Itu sebab saya katakan tadi bahasa kebangsaan dipinggirkan.

S: Banyak nama jalan, lorong atau kawasan perumahan baharu tidak menggunakan bahasa rasmi yang mencerminkan identiti negara. 

J: Itu juga berkaitan penggunaan bahasa di tempat awam. Ia bukan saja berkaitan iklan dan paparan di tempat awam. Macam mana boleh timbul nama seperti Bangsar South City? Itu kawasan di Kerinchi, jika tak nak mahu gunakan nama Kerinchi, apa salahnya guna nama seperti Kota Bangsar Selatan. Bagaimana perkara itu boleh diluluskan sedangkan DBP tidak pernah dirujuk, tiba-tiba saja nama itu muncul. Itu contoh penggunaan nama tanpa rujukan, padahal permit sudah dikeluarkan tanpa kelulusan DBP.

S: Mungkin tiada aduan mana-mana pihak. Ataupun perlu tunggu aduan rasmi baru nak bertindak. 

J: Tidak sepatutnya begitu. Saya ambil contoh penggunaan nama Central Market. Ketika itu, saya berada di luar negara, DBP menerima aduan mengenai penggunaan nama Central Market. Saya arahkan pegawai menyiasat betul atau tidak perkara itu yang diiklankan. Kita kena teliti dan semak kerana mungkin maklumat itu salah. Apabila mereka siasat, aduan itu memang betul dan kami minta DBKL supaya mengarahkan pihak pengurusan Central Market tukar nama itu kepada Pasar Seni secepat mungkin. Syukur, semuanya berjalan lancar dan nama Pasar Seni kekal. DBKL bagi notis 14 hari kepada pengurusan dan arahkan mereka tukar nama. Jika mahu letak nama Central Market, ia dibenarkan tetapi mesti di dalam kurungan kecil. Jika nak tunggu aduan orang ramai, itu bermakna penguatkuasa itu leka kerana hanya menunggu aduan sedangkan undang-undang sudah ada.

S: Perbandingan dengan negara maju yang begitu membanggakan bahasa ibunda mereka. 

J: Saya ada pengalaman empat tahun bekerja di China. Lawatan kerja di Korea, Jepun dan menjadi pensyarah tamu di Jerman. Kesemua negara itu mengutamakan bahasa kebangsaan walaupun mereka negara maju. Di Perancis, ada kes sebuah syarikat dikenakan denda 500,000 Euro (RM2.4 juta) kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan Perancis. Ia sampai ke tahap itu. Kita boleh lakukan perkara sama, tetapi mungkin tak perlu sampai ke tahap itu. Negara maju lain mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Mereka tetap maju dan kita pun tidak menolak bahasa Inggeris.

S: Adakah DBP pernah mengadakan sebarang perbincangan untuk memastikan semua kementerian guna sepenuhnya bahasa kebangsaan? 

J: Bukan saja perbincangan, tetapi DBP secara proaktif telah melakukan audit bahasa. Melalui kaedah ini, kita nampak banyak perkara positif, makin banyak kementerian yang sedar dan peka, yang mengadakan pelbagai kursus. Kita sudah nampak hasilnya dan berharap perkara ini diteruskan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan konsep Munshi Muda di setiap kementerian. Kita mengadakan latihan bersama INTAN melatih pegawai di seluruh negara dan berharap jabatan serta kerajaan negeri juga melantik Munshi Muda mereka. Mereka ini bakal menjadi penggerak bahasa, pengawal, perunding bahasa di tempat masing-masing. Kursus latihan intensif selama seminggu untuk kumpulan 30 pegawai bagi setiap kursus. Kita berharap perkara ini ditingkatkan lagi. Semua pejabat akan ada Munshi Bahasa, ia seolah-olah pakar rujuk bahasa. Kita sudah mulakan program ini sejak beberapa bulan lalu dan kini sudah ada lebih 200 Munshi Muda. Mereka akan berterusan dibantu DBP dan mereka akan diberikan watikah.

S: Jika dinilai mengikut peratusan, di mana kedudukan bahasa rasmi ini dalam konteks pentadbiran sekarang? 

J: Agak sukar untuk menilai tetapi berdasarkan audit bahasa dalam aspek dokumen, ada yang mencecah tahap boleh tahan kerana ada yang layak menerima status empat bintang. Tetapi masih ada masalah kualiti, jadi ia belum mencapai tahap berpuas hati. Itu belum dikira jika kita hadir dalam mesyuarat. Begitu juga dengan persidangan yang masih menggunakan bahasa Inggeris padahal di negara asing, permulaan sidang bermula dengan bahasa ibunda, kemudian diikuti bahasa asing. Mesti ada dasar jelas oleh kerajaan dengan menentukan setiap persidangan antarabangsa hendaklah mengutamakan bahasa rasmi negara. Berdasarkan pekeliling JPA tahun 2011, ia cukup jelas mengenai perkara itu iaitu walaupun ia bertaraf antarabangsa, mesti ada bahasa kebangsaan.

S: Tentunya DBP begitu mengharapkan peruntukan perkara 152, Perlembagaan Persekutuan ini dipraktikkan sepenuhnya. 

J: Ia jelas menyebut bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa kebangsaan untuk perpaduan dan bahasa milik semua kaum tanpa mengira keturunan. Keduanya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ini termasuk pentadbiran dan juga pendidikan. Pendidikan juga termasuk dalam bahasa rasmi. Atas sebab itulah Akta Pendidikan 1966 menegaskan bahasa Melayu adalah bahasa utama dan ia mesti dipatuhi kerana sudah ditetapkan oleh Perlembagaan. Itu undang-undang tertinggi negara, jika kita tidak menghormati Perlembagaan negara, apa ertinya kita menyebut keluhuran perlembagaan di dalam Rukun Negara. Tetapi jika perlembagaan tidak dihormati, bagaimana kita boleh katakan luhurnya perlembagaan itu?

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/84933
0 Komentar untuk " Kurang jati diri punca bahasa ibunda terpinggir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ