Korban serendah RM2 sehari - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Korban serendah RM2 sehari

HARI ini genap seminggu Aidiladha. Di tempat kita Hari Raya Haji selalu dikaitkan dengan lembu. Walaupun dibolehkan kambing, kibas, unta dan lain-lain ternakan yang sesuai, orang kita lebih suka lembu sebagai haiwan untuk ibadah korban.

Maka tidak menghairankan kita mengimport lebih banyak haiwan tersebut di musim Aidiladha. Seperti yang diberitahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bekalan lembu dan kambing untuk musim ini adalah mencukupi.

Katanya, telah tersedia stok bekalan bulan ini sebanyak 54,200 ekor lembu dan 40,493 ekor kambing, sedangkan keperluan untuk penyembelihan korban adalah kira-kira 26,200 ekor lembu dan 12,324 ekor kambing. Maka tidak timbul isu tiada bekalan, juga tidak ada kes menyorok lembu!

Kejatuhan nilai ringgit turut memberi kesan ke atas mereka yang hendak melakukan korban. Harga lembu import naik hampir 100 peratus. Seperti kata seorang pengimport ternakan tersebut yang disiarkan media:

“Tahun lalu lembu dari Thailand hanya sekitar RM2,500 seekor. Tetapi pada tahun ini harga meningkat kepada RM4,000 seekor. Ringgit makin rendah, kalau tukar Baht tidak dapat banyak macam dulu.”

Lembu dari Australia lebih mahal. Tahun lalu, RM3,000 sudah dapat lembu yang bersaiz besar. Tetapi sekarang dengan harga RM3,500 hanya dapat lembu bersaiz biasa, dan RM6,000 untuk lembu bersaiz besar.

Kalau dulu satu bahagian korban hanya kira-kira RM500, tahun ini menjadi RM600 hingga RM900 satu bahagian.

Demikianlah, kejatuhan RM menyebabkan belanja ibadah korban untuk lembu dari luar, terutama lembu orang putih, menjadi lebih mahal.

Tahun lalu korban di Selatan Thailand hanya RM350 satu bahagian, tahun ini menjadi RM450.

Tetapi orang kita banyak duit, lembu naik harga pun ibadah korban tetap dilaksanakan, baik dalam negeri mahu pun luar negara. Ada yang bertanya, mana lebih baik korban di Malaysia atau di luar negara.

Maka saya teringat zaman kanak-kanak di kampung lebih setengah abad lalu. Jarang sekali orang kampung dapat makan daging, kecuali ada kenduri kahwin, atau ada orang korban lembu.

Kalau ada seekor lembu dikorbankan, itu sudah dikira sebesar-besar nikmat bagi orang kampung. Seorang mungkin dapat hanya dua kilogram, cukup untuk menampung keperluan keluarga selama seminggu. Sekampung sendawa kari lembu!

Bukan sahaja daging dan organ-organ dalaman, tulang-belulang ternakan tersebut juga menjadi habuan. Hatta kulit lembu korban juga diagih secara adil. Kulit itu dikeringkan, boleh buat sambal tumis, makan dengan pulut dan kopi-O. Alangkah nikmatnya...

Hari ini kehidupan lebih mewah, ramai orang tidak pandang pun kulit lembu korban. Malah kaki lembu korban pun tidak ada siapa yang sudi. Almaklumlah di KL hari-hari orang makan daging; mereka tidak tahu nikmat kulit lembu atau kaki lembu.

Maka pada hemat saya, untuk ternakan korban kita betul-betul dinikmati dan dimanfaatkan sepenuhnya, elok lakukan ibadah tersebut di wilayah-wilayah Islam yang jarang dapat makan daging, seperti di Selatan Thai, Myanmar dan lain-lain kawasan minoriti Islam. Mereka lebih memerlukan.

Ada yang kata kejatuhan nilai ringgit dan meningkatnya harga lembu, boleh menghalang mereka melakukan ibadah setahun sekali itu. Kalau ada niat kita dapat melakukan, dengan memulakan simpanan.

Sebenarnya kita hanya perlu menyimpan RM60 sebulan, atau RM2 sehari. Apalah nilai RM2, hanya dapat sekeping roti canai dan teh-o. Tetapi dengan menabung RM2 sehari genap setahun kita ada RM720, lebih dari cukup untuk satu bahagian korban.

Lagi pun RM60 sebulan bukanlah jumlah yang luar biasa bagi kebanyakan kita. Kita boleh top up kredit HP lebih RM60 sebulan, tambah nilai kad tol RM50 setiap dua minggu, RM100 lagi untuk makan piza sekeluarga setiap bulan. Beli tudung bawal setiap bulan pun lebih RM60.

Jadi, tidak ada alasan lagi untuk kita tidak boleh menyimpan RM60 sebulan @ RM2 sehari. Masukkan RM2 ke dalam tabung sebaik sahaja anda selesai membaca tulisan ini, dan teruskan menyimpan RM2 setiap hari.

Mudah-mudahan tahun depan anda boleh melakukan ibadah yang amat diberatkan ini, insya-ALLAH.

0 Komentar untuk " Korban serendah RM2 sehari "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ