Keputusan tidak laksana tambatan ringgit tepat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Keputusan tidak laksana tambatan ringgit tepat

KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak melaksanakan mekanisme tambatan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi menangani penyusutannya adalah bertepatan dengan situasi pada hari ini, kata penganalisis ekonomi.  

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr Nurhaizal Azam Arif berkata meskipun kejatuhan Ringgit berbanding dolar AS agak besar jika dibandingkan dengan mata wang asing lain, keadaan masih terkawal dan berbeza dengan senario krisis kewangan Asia pada 1997, yang disebabkan penyangak mata wang.

Katanya asas dan penanda aras ekonomi negara masih berada pada tahap baik walaupun sedikit perlahan selain unjuran yang diumumkan 'Fitch Ratings' pada Jun lepas meletakkan kedudukan matawang negara pada tahap 'A' sekali gus mengubah 'outlook' Malaysia daripada negatif kepada stabil.  

"Tahun ini negara berhadapan dua fasa kejatuhan. Fasa pertama ialah harga minyak dan fasa kedua melibatkan beberapa faktor seperti kemelut 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kelemahan ekonomi China dan ura-ura kenaikan kadar faedah di AS. Disebabkan itu, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia agak teruk berbanding mata wang negara lain di Asia.  

"Kejatuhan harga petrol menyebabkan kurangnya pendapatan yang berasaskan minyak dan gas manakala kelembapan ekonomi China menyebabkan ramai pelabur mengalirkan mata wang mereka ke AS bagi mengaut keuntungan daripada kemungkinan berlakunya peningkatan kadar faedah di sana," katanya kepada Bernama.

REJIM MATA WANG

Semasa Forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015 baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu),  Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata 1 Jan hingga 18 Sept tahun ini, Ringgit telah menurun 16.7 peratus berbanding dolar AS.  

Bagaimanapun, katanya keadaan ekonomi Malaysia adalah kukuh berbanding dengan kebanyakan negara rakan sebaya lain dan penunjuk ekonomi utama yang  terus menggariskan asas-asas yang kukuh di negara ini.

Fitch Ratings serta Standard and Poor Ratings Services dan Investors Service Moody, yang mengambil bahagian dalam forum, membuat kesimpulan bahawa  asas-asas negara, termasuk kewangan, masih baik walaupun terdapat isu-isu lain yang perlu diberi perhatian.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak akan memperkenalkan kawalan modal atau menambat Ringgit kepada Dolar Amerika Syarikat sebagai asas ekonomi Malaysia kekal kukuh seperti yang digambarkan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 4.9 peratus dalam suku kedua 2015.  

Mengenai rejim mata wang, Nurhaizal Azam yang juga pensyarah bidang perniagaan antarabangsa, berkata terdapat dua rejim mata wang utama dunia iaitu apungan bebas dan kadar tetap.  

"Mekanisme apungan bebas terdiri daripada dua kaedah. Pertama, apungan bebas mutlak di mana nilai mata wang ditentukan pasaran berdasarkan penawaran dan
permintaan.

Ini bermaksud jika permintaan tinggi, nilai sesuatu mata wang akan naik dan begitulah sebaliknya... Amerika Syarikat adalah negara utama yang menggunakan kaedah ini.

"Kedua adalah apungan terurus atau campur tangan bank turut dikenali sebagai 'managed float'. Bank pusat sesebuah negara akan campur tangan dalam pasaran bagi mengawal nilai mata wang untuk memastikan kestabilan mata wang negara masing-masing," katanya.    

Bagaimanapun, kata beliau apungan terurus lazimnya dilakukan oleh negara yang berkemampuan seperti Jepun dan negara maju lain untuk mengawal kedudukan mata wang supaya kondusif untuk aktiviti eksport dan pelaburan.  

Melalui cara tersebut, pihak bank pusat akan melakukan aktiviti pembelian untuk menaikkan nilai mata wang dan aktiviti jualan mata wang untuk menurunkan nilai.

Membincangkan tentang kadar tetap, Nurhaizal Azam berkata ia terdiri daripada dua kaedah iaitu kadar tetap dan tambatan.

"Kadar tetap merupakan kaedah yang jarang digunakan kecuali oleh negara-negara komunis yang menetapkan nilai mata wang mereka berbanding mata wang asing. Tambatan mata wang pula merupakan kaedah yang agak popular bagi banyak negara.  

"(Bagi Malaysia) tambatan Ringgit bermaksud negara mengikat dan menetapkan nilai mata wang tempatan berdasarkan mata wang utama dunia seperti dolar AS  atau kumpulan mata wang utama yang lain seperti Euro dan Yen. Sebagai contoh pada 1998, Ringgit ditambat pada RM3.80 = AS$1," katanya.  

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN TAMBATAN RINGGIT

Mengulas lanjut mekanisme tambatan Ringgit, Nurhaizal Azam berkata Bank Negara Malaysia (BNM) akan menetapkan nilai Ringgit pada satu nilai yang sesuai untuk dikawal dikenali sebagai aktiviti 'intervensi'.  

Apakah kebaikan dan keburukan mekanisme tambatan Ringgit?  

Menjawab persoalan itu, beliau berkata antara kebaikannya adalah nilai Ringgit akan menjadi tetap dan stabil selain dapat mengelakkan aktiviti spekulasi mata wang.
"Kestabilan harga di dalam negara akan memberi keuntungan kepada pengguna.

Selain itu, aktiviti seperti perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing yang masuk dapat dipermudahkan kerana risiko turun naik melampau mata wang  tempatan dapat dihindari," katanya.  

Namun begitu, mekanisme tambatan Ringgit juga mempunyai keburukan kerana ia memerlukan aktiviti pengurusan yang rumit dan mahal kerana BNM terpaksa 'mengawal' mata wang negara supaya sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan.  

"Ia bukanlah sewenang-wenangnya ditambat dan dibiarkan kerana bagi mengekalkan nilai tersebut, Bank Negara terpaksa menyediakan simpanan mata wang asing  yang tinggi bagi memastikan simpanan mencukupi untuk proses menjual atau membeli Ringgit di pasaran bagi mengawal nilai supaya sentiasa berada pada paras
yang ditetapkan.  

"Adakalanya sukar bagi bank pusat untuk mengawal mata wang yang akhirnya mungkin memberi implikasi buruk seperti yang berlaku terhadap mata wang Thailand pada 1997 yang ketika itu mengamalkan regim 'pegging'. Mereka terpaksa mengapungkan Baht disebabkan ketidakmampuan bank pusat menampung susut nilainya yang mencecah 20 peratus sekali gus menyebabkan panik dan mencetuskan Krisis Kewangan Asia pada 1997," jelasnya.  

Meskipun tambatan Ringgit mampu mengekang inflasi, Nurhaizal Azam berkata perkara itu hanya bersifat sementara kerana inflasi juga boleh berlaku ekoran kestabilan Ringgit yang mengakibatkan keupayaan mengimport dan berbelanja meningkat.

GALAKAN KEMASUKAN PELABURAN ASING

Bersetuju dengan rejim apungan bebas yang dijalankan ketika ini, Nurhaizal Azam tidak menolak bahawa pelbagai inisiatif boleh dilakukan kerajaan dan rakyat bagi  mengembalikan nilai Ringgit ke paras normal.

Secara konsepnya, ia boleh dilakukan dengan meningkatkan aliran masuk mata wang asing dan mengurangkan aliran keluar Ringgit.  

Bagi meningkatkan aliran masuk mata wang asing, kerajaan dan agensi pelaburan tempatan perlu mempergiat aktiviti menggalakkan kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) kerana Malaysia masih mempunyai kekuatan berkenaan berdasarkan ekonomi yang terus berkembang dan permintaan domestik yang baik.

Selain pelancong luar boleh menjadi faktor penyumbang kemasukan aliran mata wang asing ke negara ini, jumlah penuntut warga asing wajar dipertingkat kerana mereka adalah golongan yang konsisten berbelanja, sekali gus boleh membantu proses pengukuhan nilai Ringgit.  

"Negara perlu menawarkan sesuatu yang 'extraordinary' untuk bersaing dengan rakan serantaunya seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang menjadi tumpuan utama pelaburan langsung asing di Asean ketika ini. Walaupun gaji buruh dan kos diperlukan agak tinggi namun Malaysia mampu menghadapi saingan itu melalui kekuatan produktiviti, kemahiran, bakat, sikap serta semangat kerja yang 'extraordinary'. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh seluruh rakyat dan disertai semangat jitu untuk merealisasikannya," ujar beliau.

Malaysia perlu memaksimumkan eksport kerana kini negara berada dalam keadaan kondusif untuk aktiviti itu ekoran nilai barangan menjadi murah disebabkan kelemahan Ringgit.    

KEMBALI STABIL    

Bagi mengurangkan aliran keluar Ringgit, beliau berpendapat langkah seperti mengurangkan berbelanja di luar negara serta mengehadkan pengambilan warga asing untuk bekerja di negara ini wajar diambil.  

Tegasnya, pembekal barangan atau perkhidmatan perlu mencari gantian import kepada barangan tempatan kerana ia secara langsung boleh menggalakkan industri tempatan berkembang.  

"Di samping menggalakkan rakyat melancong dan berbelanja di dalam negara, inisiatif mengehadkan jumlah pekerja asing juga dapat mengurangkan aliran keluar mata wang yang biasanya dilakukan melalui kiriman wang ke negara asal mereka yang ketika ini didapati agak tinggi kadarnya," katanya.  

Meyakini bahawa nilai Ringgit akan kembali stabil ke paras normal, beliau tidak menolak bahawa terdapat kebaikan dan keburukan di sebalik kenaikan mahupun kejatuhan Ringgit kerana ia berfungsi secara 'equalibrium' atau 'jongkang-jongket' atau seperti roda yang berputar.  

Dalam apa jua keadaan, sama ada Ringgit turun atau naik, kemampuan negara untuk merangka dan menjalankan strategi yang bersesuaian adalah penting.  

"Jika penurunan nilai Ringgit selari dengan nilai mata wang Asia/Asean lain, pengekalan rejim apungan mata wang sekarang masih boleh dikekalkan," katanya.  

Namun, Nurhaizal Azam berkata jika kadar penurunan itu tidak selari, kerajaan dan BNM perlu mengkaji semula langkah yang patut diambil kerana mungkin terdapat  faktor lain yang mempengaruhi dan perlu diperbetulkan.  

"Jika berlaku 'irregularity' ia memerlukan kawalan atau penguatkuasaan tegas  dan mungkin ketika itu tambatan atau kawalan aliran keluar perlu dilakukan,"  tegasnya. - Bernama

0 Komentar untuk " Keputusan tidak laksana tambatan ringgit tepat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ