Kepelbagaian hidupan marin tarikan pengunjung ke Sabah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kepelbagaian hidupan marin tarikan pengunjung ke Sabah

Lautnya yang membiru dan dipenuhi terumbu karang serta diadun pasir putih bersih bak saujana mata memandang menjadikan pantai timur Sabah bukan sahaja syurga kepada penyelam kerana menawarkan pemandangan dasar laut yang memukau dan penuh warna-warni, tetapi juga habitat hidupan marin yang pelbagai spesies ikan sehinggalah kepada spesies hidupan bercangkerang.

Kepelbagaian hidupan marin ini juga menjadikan Sabah terkenal dalam kalangan penggemar makanan laut dan antara aktiviti yang menjadi sebahagian atur cara pelancong iaitu mengunjungi restoran yang menawarkan sajian laut. Sama ada hidangan premium yang ditawarkan restoran terkenal dan bertaraf lima bintang atau yang dijual di tepi jalan, ia tetap menjanjikan kepuasan.  

Satu daripada hasil laut yang mendapat tempat dalam kalangan pelancong di Sabah adalah kima iaitu sejenis kerang yang apabila matang sebesar tapak tangan bayi, isinya hidangan segar digemari pelancong. Isi kima juga dikeringkan seperti makanan laut lain dan menjadi antara ole-ole dari Sabah.

Cangkerang kima dijadikan bahan hiasan 

Kima hampir serupa dengan tiram antara penyumbang pendapatan penduduk Sabah. Hampir serupa dengan tiram, kima atau nama saintifiknya Tridacna gigas/Chama gigantea adalah lebih besar dengan cangkerang yang lebih menarik. Ia mendiami perairan terumbu karang yang berkedalaman 20 meter dan boleh membesar sehingga melebihi satu meter selain boleh mencapai umur sehingga ratusan tahun. Selain isinya yang dimakan, cangkerangnya boleh dijadikan bahan hiasan.

Kesempatan berada di Pulau Bohey Dulang yang berada dalam perairan Semporna, Sabah, baru-baru ini, memberikan kefahaman kepada penulis akan makhluk ini selain menyaksikan bagaimana usaha pemuliharaannya dilaksanakan bagi memastikan ia terus memenuhi perairan Sabah sekali gus memberi sumbangan pendapatan kepada penduduk pulau-pulau sekitarnya terutama masyarakat Palau atau Bajau Laut.

Menurut Pembantu Penyelidik, Pusat Pembenihan Kima Gergasi Taman Marin Tun Sakaran, Moksidi Pistino, berkata, selain menjalankan penyelidikan terhadap hidupan laut berkenaan, pusat itu bertindak sebagai ejen memastikan kelangsungan hidup kima di perairan sekitarnya yang mana benih kima yang disenyawakan akan dilepaskan ke laut apabila mencapai usia dan besar yang sesuai.

Moksidi berkata, kima yang terdapat di situ ada yang membesar sehingga 60 sentimeter dan ada yang beratnya sehingga dua kilogram, malah ada yang sudah berumur 10 tahun dan bagi tujuan pembiakan, kima yang berusia 10 hingga 12 bulan sudah boleh dijadikan induk.

Sebagai tarikan pelancong ke pulau berkenaan yang juga antara destinasi wajib dikunjungi pelancong ke Semporna, pusat berkenaan menyediakan beberapa tangki pameran untuk membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih mendalam mengenai hidupan marin berkenaan dan melihat bagaimana usaha pemuliharaan yang dijalankan.

Pemandangan perairan indah 

Pulau Bohey Dulang adalah sebuah pulau yang menjanjikan pemandangan perairan yang cukup indah bagi pengunjung yang sanggup mendaki bukitnya yang berketinggian kira-kira 600 meter. Walaupun laluan mendaki disediakan, namun ada masanya ia agak mencabar, terutama pada pendakian yang sedikit curam, manakala pada muka bumi yang landai ia memberikan sedikit kepenatan kerana perjalanan agak jauh.

Seorang pengunjung ditemui yang dari gaya langkah dan tahap staminanya menunjukkan sudah biasa dengan aktiviti merentas hutan dan mendaki bukit, berkata, bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang dan teringin mendaki bukit di pulau ini, sebaiknya mendaki Bukit Tabur di Taman Melawati, Hulu Klang, sebagai persediaan kerana tambahnya, rugi jika sudah sampai, tetapi tidak dapat ke puncak kerana pemandangan yang disajikan sangat menakjubkan dan memperlihatkan betapa indahnya alam ciptaan Allah SWT.

Lanjutan bercerita mengenai kima, bagi masyarakat Bajau Laut, antara penduduk yang mendiami kawasan perairan pantai timur Sabah, kima yang diperoleh akan direbus bagi memudahkan kerja mengeluarkan isinya dari cangkerang sebelum dikeringkan dan dijual kepada peraih di Semporna. Mencari kima yang hidup di kawasan terumbu karang di sekitar perairan Laut Sulawesi adalah sebahagian mata pencarian masyarakat ini, selain menangkap ikan yang juga dijual bagi membolehkan mereka mendapat wang untuk membeli beras atau ubi kayu yang akan dimakan bersama hidupan laut ini.

Seorang penduduk Pulau Sibuan berketurunan Bajau Laut, Sabaldati Jilan, berkata anak masyarakat itu sudah diajar dengan kehidupan laut sejak kecil dan mereka tidak menghadapi masalah dalam membantu keluarga mencari kima kerana kemahiran menyelam dan berenang yang dimiliki selain menyedari ia adalah cara untuk mereka mendapatkan wang.

Pasaran rumpai laut 



SABAH pengeluar terbesar rumpai laut.

Satu lagi hidupan laut yang tidak kurang menarik dan turut menjadi perhatian di kawasan pantai timur Sabah adalah rumpai laut yang mana usaha pembiakannya banyak dijalankan penduduk yang tinggal di kawasan pinggir pantai yang mana kedalaman lautnya agak sederhana. Mendapat pasaran baik dalam kalangan penduduk tempatan dan di Semenanjung, malah turut dieksport ke beberapa negara bagi penghasilan produk kosmetik dan farmaseutikal, penternakan rumpai laut menjanjikan pendapatan yang baik kepada penduduk yang mengusahakannya dan juga pemandangan menarik.

Deretan pancang yang ditanam di laut yang diikat dengan tali dan menjadi tempat rumpai laut membesar, ditandai dengan botol plastik bagi memudahkan penglihatan sama ada pemilik ruang penternakan atau perahu yang melalui kawasan perairan, mewarnai persekitaran kawasan perairan. Tidak jauh dari kawasan ternakan adalah ruang untuk menjemur rumpai laut yang bersekali dengan rumah pengusahanya. Rumpai laut dipasarkan dalam bentuk kering.  

Kaedah penternakan yang dikenali sebagai rawai itu diperkenalkan Jabatan Perikanan Sabah dan difahamkan Sabah adalah pengeluar terbesar rumpai laut di negara ini dengan keluasan kawasan ternakan yang dicatatkan pada tahun 2014 adalah 12,895 hektar.

Apa yang membuatkan Sabah menjadi pengeluar terbesar adalah kerana keadaan pesisir pantainya yang sesuai bagi pertumbuhan hidupan marin ini. Asalnya rumpai laut tumbuh liar dan menjadi antara makanan sampingan penduduk atau dijadikan sebagai sayuran yang dihidangkan bersama nasi atau ubi kayu. Ubi kayu antara bahan yang digunakan penduduk tempatan sebagai pengganti nasi.

Sementara itu, bercakap mengenai makanan laut yang terdapat di Sabah, meninjau kemeriahan jualan pelbagai jenis ikan dan makanan di pasar malam pekan Lahad Datu, memberikan satu pemandangan yang mengasyikkan. Pelbagai jenis ikan juga sotong dan udang yang dibakar memberikan banyak pilihan kepada orang ramai untuk menikmatinya sama ada diratah begitu saja atau dimakan dengan ubi kayu yang dibentuk bulat memanjang.

 Pengalaman makan-makan menyeronokkan 



PASAR malam Lahad Datu menawarkan pelbagai makanan tempatan.

Dengan harga berpatutan yang ditawarkan ia memberikan pengalaman makan-makan yang menyeronokkan di samping pelbagai jenis kuih tempatan yang ditawarkan gerai di sekitar pasar malam berkenaan sebagai pemanis mulut selepas menikmati kesegaran ikan bakar yang dijual. Kedudukan pasar malam berkenaan di tepi laut, memberikan aroma tambahan terhadap ikan bakar yang disusun cantik sebagai halwa mata kepada pengunjung.

Menariknya, ikan yang siap disusun itu akan dipanaskan semula apabila ada pesanan bagi memberikan pelanggan kepuasan menikmatinya.

Apa pun, apa yang dipaparkan adalah sebahagian daripada kepelbagaian hidupan marin yang terdapat di pantai timur Sabah dan berkunjung ke pasar ikan di sekitar bandar di kawasan ini memberikan satu lagi pengalaman yang tidak kurang menariknya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/85164
0 Komentar untuk " Kepelbagaian hidupan marin tarikan pengunjung ke Sabah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ