Gara-gara berebut pusat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gara-gara berebut pusat

SECARA peribadi saya suka sekiranya pusat membeli-belah Ampang Park tidak dirobohkan. Harap-harap masih ada budi bicara antara kerajaan dengan pemilik dan penyewa untuk mengekalkan kompleks tersebut.

Seperti yang dilaporkan media, pusat yang menjadi rebutan itu kini dalam proses diambil alih oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, untuk membina Stesen Ampang Park bagi laluan MRT SSP.

Semua pihak ada kepentingan masing-masing – dari segi ekonomi, dan RM – dalam isu ini. MRT Corp menegaskan Projek Stesen Ampang Park tidak dapat dipindahkan ke lokasi lain kerana ia merupakan bahagian paling penting projek itu.

Stesen Ampang Park penting kerana laluannya akan disepadukan dengan laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.

Pemilik dan penyewa pula bertegas supaya pihak berkuasa memindahkan stesen itu ke lokasi lain, atau membayar pampasan sekurang-kurangnya RM5 juta bagi setiap lot – ada 214 lot kesemuanya – jika pengambilalihan bangunan itu mahu diteruskan.

Saya tidak ada apa-apa kepentingan ekonomi dan RM mengenai Ampang Park. Tetapi ada pelbagai sentimental dan nostalgia terhadap pusat membeli-belah pertama di KL itu yang mula dibuka pada 1973.

Masih teruna sunti dan baru setahun berkelana di ibu kota, kompleks tiga tingkat itu menjadi lokasi lepak bagi saya dan geng bujang lapuk yang menyewa rumah di No. 18-H, Jalan Raja Uda, Kampung Baru.

Sepuluh minit dari rumah naik teksi bermeter, 80 sen sudah sampai. Begitulah besarnya duit kita ketika itu. Hari ini tambang teksi untuk jarak yang sama, paling tidak pun RM5, tersekat-sekat lebih setengah jam sebab kesesakan lalu-lintas.

Awal bulan ketika poket masih padat, kami ke kompleks tersebut untuk membeli pelbagai keperluan – kasut, kemeja T, jean dan sebagainya. Hujung bulan poket kempis saya ke sana hanya untuk lepak sambil menjamu mata.

Ada ketikanya sebab tidak berduit dan tanpa tujuan, saya ke situ hanya untuk naik-turun eskalator. Ampang Park mengenalkan saya dan rakan serumah kepada alat yang ketika itu kami panggil ‘tangga elektrik’.

Namun, lebih dari sekadar tangga elektrik dan menjamu mata, pusat yang menjadi ikon KL ketika itu, banyak mengajar saya menjadi manusia. Selalu temu janji saya dan makwe terjadi di situ.

Lepas ronda-ronda dan window shopping saya dan dia menikmati rojak buah dan ABC di tingkat bawah. Habis menjamu selera kami ke tingkat tiga, menonton wayang, tiket RM1.25. Kuaci Cap Helang ketika itu hanya 15 sen sebungkus.

Jika menonton dengan makwe Melayu, filem Indonesia menjadi pilihan, termasuk Widuri Kekasihku lakonan – kalau tidak silap – Robby Sugara dan Yatie Octavia. Waktu itu ramai pelakon Indonesia menjadi hafalan dan khayalan – Roy Martin, Christine Hakim, Rima Melati, Selamet Reharjo, Suzana.

Jika menonton dengan makwe bukan Melayu – teman wanita saya ramai Cina – kita memilih filem Mandarin. Saya minat Chen Kwan Tai, Ti Lung, Lo Lieh. Aktres paling saya gilai ialah Lin Ching Hsia.

Di Ampang Park juga ada sebuah kedai muzik di tingkat bawah. Saya suka pada gadis jurujual di situ yang wajahnya sebiji Lin Ching Hsia. Sekiranya dengan makwe Melayu, saya selalu belanja kaset Rafeah Buang, Sharifah Aini, A. Ramlee, Broery Marantika dan lain-lain.

Makwe Cina banyak mengenalkan saya kepada kaset Inggeris. Saya mula minat Lobo, England Dan, Barbra Streisand, The Carpenters. Teman-teman Cina dan kaset-kaset itu banyak membantu saya memperbaiki bahasa Inggeris. Sebuah kaset ketika itu paling mahal RM5.

Empat dekad telah berlalu, Ampang Park sudah banyak berubah dan bersaing hebat dengan sekian banyak kompleks membeli-belah yang lebih gah di setiap sudut KL. Tetapi saya masih kerap mengunjungi Ampang Park.

Pawagam di tingkat tiga sudah tiada, tangga elektrik itu kekal seperti asal. Kedai muzik di tingkat bawah masih wujud, walaupun saya tidak nampak lagi ‘Lin Ching Shia’. Kaset sudah tidak dijual, sekarang semua CD, sekeping yang tulen paling murah RM50.

Ketika pusat membeli-belah tertua ini menjadi rebutan, timbul pula berita kerajaan ingin mengambil Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) untuk dijadikan taman rekreasi. Dibuka 1893 ini antara kelab golf tertua di Asia. Pemilik dan ahli kelab ini menentang keras hasrat kerajaan.

Maka menjadi perhatian umum sekarang apakah kerajaan akan berkeras mengambil kelab golf tersebut, sama seperti tegas dan keras untuk merobohkan Ampang Park?

0 Komentar untuk " Gara-gara berebut pusat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ