Fikir dulu sebelum bengang! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fikir dulu sebelum bengang!

SAMBIL hirup kopi O kaw, saya belek apa yang Mark Zuckerberg telah munculkan sebagai kewajipan hidup warga dunia masa kini – Facebook.

Mata – dan hati juga tentunya – tertancap pada begitu banyak curhat (curahan hati) para netizen mengenai cadangan Kerajaan Pulau Pinang untuk melarang pembesar suara digunakan dalam aktiviti masjid melainkan azan.

Ya, seperti dijangka, munculnya isu seperti ini pasti memunculkan ramai pembela agama. Berbagai-bagai komen dilontarkan. Ada sesetengahnya bawa hujah berfakta namun yang lebih banyak, berbaur emosi dan mereka itulah sasaran saya.

Sesetengahnya  memang saya kenal. Kerana mengenali mereka, teringin saya bertanya: “Yang bersungguh-sungguh sangat ni, hangpa sendiri macam mana?”

Adakah mereka sendiri ke masjid berjemaah solat fardu setiap waktu, ataupun setidak-tidaknya dua, tiga waktu setiap hari?

Jangan pula kerana bertanya begini, saya dituduh sokong DAP.  Juga bukan maknanya saya setuju dengan apa yang mahu dilakukan. Fokus saya ialah mengajak orang Islam muhasabah diri, jangan semberono emosi kerana emosi hanya akan menjerumuskan kita ke dalam kancah yang mungkin memalukan diri sendiri.

Pernah berlaku di Singapura,  orang bukan Islam minta perlahankan bunyi azan. Petisyen itu dibawa ke parlimen. Ahli-ahli parlimen Islam bantah.

Kuan Yew sendiri turun meninjau di masjid-masjid pada waktu solat dan pada sidang yang berikutnya, beliau bertanya ahli parlimen Islam, “apa rasionalnya azan?”

Mereka menjawab: “Untuk mengajak Muslim datang ke masjid bersolat.”

Berkatalah Kuan Yew: “Jika azan sepatutnya mendapat respons sekurang-kurangnya 500 penduduk Islam sekitar masjid, mengapa hanya ada dua baris (lebih kurang 30 anggota jemaah) sahaja yang hadir.”

Beliau bertanya lagi: “Dalam keadaan ini, permintaan siapa yang perlu kita pertimbangkan, majoriti penduduk yang berasa azan mengganggu mereka atau cuma 30 orang yang menyahut azan dan hadir ke masjid?”

Cerita ini buat kita terpukul. Walaupun larangan di Pulau Mutiara tidak melibatkan azan, jujurnya saya bimbang apa yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Lumrah manusia, diberi betis, minta peha!

Kalaulah cara Kuan Yew digunakan, orang Islam akan kalah dalam hujah yang berpaksi rasional.

Memang menyedihkan melihat sesetengah masjid, jemaah tidak sampai 10 orang sedangkan hal solat berjemaah, kita sudah diberi amaran menerusi hadis: “Tidak ada solat bagi mereka yang berjiran dengan masjid melainkan di masjid.”

Dalam riwayat lain, Abdullah bin Ummi Maktum RA yang buta minta pelepasan Nabi SAW untuk solat di rumah kerana tidak ada sesiapa untuk memimpinnya ke masjid terutama pada waktu malam, juga kerana antara rumahnya dengan masjid terdapat belukar yang mengganggu perjalanan.

Nabi bertanya Abdullah sama ada azan didengari di rumahnya, jawab Abdullah, “ya”.

Nabi SAW berkata: “Hendaklah kamu ke masjid.”

Ibnu Mas’ud RA pula berkata: “Aku telah melihat kita (semasa hayat Nabi SAW) dan tidak ada yang tinggal (tidak bersolat di masjid) melainkan orang munafik yang diketahui akan kemunafikannya.”

Dalam satu peristiwa, Nabi SAW mendapati sangat sedikit jemaah Subuh lalu baginda bertegas: “Aku hampir mahu menyuruh orang lain jadi imam, kemudian aku keluar membakar rumah orang-orang yang bersolat di rumah mereka.”

Pada ketika itu, solat Subuh dan Isyak di masjid jadi pembatas karakter mukmin dengan munafik. Munafik meringankan solat berjemaah Subuh dan Isyak atas dasar kemunafikan mereka kerana suasana gelap menyebabkan orang tidak nampak mereka ke masjid.

Pentingkanlah solat berjemaah kerana itu petunjuk kualiti ummah paling nyata. Banyak lagi hadis  yang menekankan peri pentingnya solat berjemaah kepada kita secara individu, juga ummah keseluruhan.

Pastinya ini akan menerbitkan rasa hormat, gerun dan kagum bukan Islam kepada Islam. Kalau kita berjaya memadatkan masjid-masjid pada setiap waktu tidak perlulah himpunan kebangkitan bangsa dan agama untuk orang lain berasa gerun dan menghormati kita.

Perasan itu akan datang sendiri kerana itulah tanda kita umat berkualiti.

Baik untuk ke hadapan membela agama dan bangsa, terutama apabila datang situasi yang mencurigakan namun apa yang lebih baik ialah letak sesuatu pada tempatnya. Isi diri dengan nilai terpuji dituntut agama, jadikan kita insan yang berkualiti sepatutnya dan janganlah mendahulukan emosi politik daripada jati diri Islam. Jangan hanya tahu ‘hangin’ apabila orang lain melakukan sesuatu yang kita rasa telah mencabar agama kita sedangkan kita sendiri pun tidak kisah pada tuntutan agama.

Kopi O saya pagi semalam sememangnya ‘kaw’ tetapi hati saya payau melihat orang kita semakin kacau bilau.

0 Komentar untuk " Fikir dulu sebelum bengang! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ