Beza pendapat jangan sampai cetus konflik permusuhan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Beza pendapat jangan sampai cetus konflik permusuhan

SELURUH warga Malaysia mestilah mengamalkan sifat sederhana dan menjauhi elemen ekstrem yang menjadi pembunuh keamanan serta keharmonian yang dibina hampir enam dekad lalu. Amalan itu sesuai dengan tuntutan Islam yang menekankan aspek keamanan dan kesejahteraan.

Islam bermaksud selamat, sejahtera, aman dan harmoni, maka sewajarnya umat Islam menjadi pendukung nilai kebaikan seperti cintakan keamanan, kedamaian serta keadilan sejagat. Pengucapan 'assalam' adalah terjemahan daripada perasaan kedamaian yang ada dalam hati seseorang.

Masyarakat negara ini beruntung kerana hidup dalam suasana harmoni dan aman tenteram. Nikmat itu patut disyukuri kerana keharmonian membolehkan umat Islam dan bukan Islam hidup bersama serta melakukan aktiviti secara bergandingan.

Semua itu dapat dikekalkan selagi semua pihak menghormati prinsip yang dipersetujui bersama. Mereka bebas berinteraksi dalam persekitaran sosial serta berintegrasi dengan semua lapisan masyarakat berbilang bangsa serta agama.

Sehingga ke saat ini, masyarakat masih mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, menggalakkan kesatuan, integrasi masyarakat, meluaskan ruang bersama, saling memahami serta menghormati.

Suasana yang kondusif ini tidak terdapat di negara lain yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan ras berbeza. Justeru, keharmonian ini perlu dipelihara demi kemaslahatan semua rakyat.

Perbezaan pendapat 

Perbezaan pendapat mengenai sesuatu isu bukan perkara baharu kerana masing-masing ada pandangan tersendiri. Bahkan dalam satu kumpulan besar pun perbezaan pendapat tidak boleh dihalang. Namun, membiarkannya secara tidak terkawal amat berbahaya.

Apatah lagi apabila ia membabitkan sentimen kemarahan dan kebencian. Sentimen sebegini menjadi api pemusnah dan kita telah diberi peringatan bahawa api tatkala kecilnya menjadi kawan, besarnya menjadi lawan.

Bagaimanapun, sikap longlai dalam menyelesaikan masalah sehingga menjurus kepada konflik berpanjangan boleh menjadi kuman berbahaya apabila merebak tanpa kawalan. Maka timbullah kata mengata, rendah merendah dan jatuh menjatuhkan dalam pertelingkahan tanpa batasan itu.

Apatah lagi virus sedemikian amat mudah tersebar melalui media maya. Pelbagai tulisan berserta gambar yang negatif dan mendorong ke arah pertelingkahan terus menerus menjadi viral. Tanpa ragu kita tidak mempersoalkan kesahihan berita dan gambar berkenaan, melainkan terus mempercayainya. Kesannya, muncul pelbagai sebaran perkara negatif dalam kehidupan bermasyarakat yang kini menjadi budaya yang menyeronokkan. Ia bertentangan peringatan Rasulullah SAW: "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya." (Riwayat at-Tirmizi)

Pengurusan konflik penting kerana konflik tidak dapat dielakkan. Jika konflik diuruskan secara proaktif, ini akan memberikan kelebihan kepada negara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, banyak risiko dan kesan terpaksa dihadapi rakyat. Kita tidak boleh membiarkan konflik dan pertembungan isu sensitif dibiarkan tanpa ada tindakan untuk menyelesaikannya. Lebih malang lagi apabila pelbagai isu sensitif dan mengancam perpaduan serta keharmonian diperbesarkan.

Empat peringkat tangani konflik 

Menurut Islam terdapat empat peringkat menangani konflik antara kaum iaitu pertama, al-Ta'aruf (berkenal-kenalan). Bagi masyarakat negara ini, hendaklah mengetahui dan mempelajari sejarah, latar belakang, budaya serta adat resam setiap kaum di Malaysia.

Keduanya, al-Tafahum (memahami) untuk menghilangkan prasangka kaum manakala ketiga, al-Tadhamum (bekerjasama) antara satu sama lain. Selepas kita memahami antara kaum, maka kita boleh bekerjasama dalam semua perkara.

Keempatnya, al-takaful (saling membantu). Tahap ini sebenarnya mampu untuk menghilangkan konflik dan rasa perkauman. Namun, semua bergantung kepada keinginan kita untuk mengekal dan mempertahankan keamanan serta kestabilan yang dinikmati sekian lama. Rasulullah SAW bersabda: "Demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman. Lalu ditanya, siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah? Jawab Baginda: iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pembentukan satu rupa bangsa yang berlainan dalam banyak perkara termasuk pegangan agama, kepercayaan, amalan dan adat resam bukan mudah untuk diuruskan. Namun, berkongsi hidup secara aman dan saling membantu bukanlah satu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/90267
0 Komentar untuk " Beza pendapat jangan sampai cetus konflik permusuhan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ