Undang-undang perhimpunan aman - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Undang-undang perhimpunan aman

HAK untuk berhimpun dengan aman dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Hak ini juga merupakan hak asasi manusia.

Hak untuk berhimpun boleh disekat oleh Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan. Parlimen boleh menggubal undang-undang yang membuat sekatan yang difikirkan perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan Malaysia atau ketenteraman awam.

Namun demikian, apa-apa sekatan yang dikenakan mestilah wajar dan berkadar mengikut tujuan sekatan tersebut dikenakan.

Harus terdapat kaitan di antara sekatan yang dikenakan dengan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Hujah-hujah bahawa perhimpunan aman tidak boleh dibenarkan kerana ia akan menyebabkan kesusahan ramai bukanlah suatu alasan yang boleh digunakan untuk menyekat kebebasan berhimpun.

Sebelum ini, di bawah undang-undang Seksyen 27 Akta Polis, penganjur perhimpunan harus mendapatkan lesen, atau ‘permit’ daripada OCPD daerah tersebut sebelum apa-apa perhimpunan diadakan.

Sekiranya perhimpunan diadakan sebelum mendapat permit, perhimpunan itu adalah suatu perhimpunan haram dan sesiapa yang menyertai perhimpunan tersebut melakukan kesalahan di bawah akta tersebut. Maka, tiada perhimpunan boleh diadakan tanpa mendapatkan permit terlebih dahulu.

Seksyen 27 Akta Polis sudah dimansuhkan. Ia bukanlah undang-undang terpakai. Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) menggantikan akta tersebut. Akta ini digubal untuk memastikan hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata dapat diamalkan.

Di bawah APA, tidak ada keperluan lagi untuk mendapatkan permit. Sebaliknya, penganjur perhimpunan mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu OCPD secara bertulis 10 hari sebelum mana-mana perhimpunan diadakan.

Selepas pemberitahuan diberikan, OCPD boleh mengenakan syarat atau sekatan ke atas perhimpunan tersebut, tetapi tidak punya kuasa untuk menghalang atau menafikan perhimpunan itu.

Suatu perhimpunan tanpa pemberitahuan bukanlah perhimpunan haram. Penganjur mungkin melakukan kesalahan, tetapi pihak polis tidak boleh menghalang perhimpunan tersebut hanya kerana pemberitahuan tidak diberikan.

Dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad vs pendakwa raya, mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa peruntukan yang menjenayahkan penganjur perhimpunan kerana tidak memberitahu OCPD adalah tidak mengikut Perlembagaan.

Oleh itu, walaupun penganjur masih punya tanggungjawab untuk memberi notifikasi, kegagalan berbuat demikian bukanlah suatu kesalahan jenayah.

Malangnya, polis masih beranggapan bahawa mereka masih punya kuasa untuk membenarkan atau menafikan kelulusan untuk mengadakan perhimpunan aman. Mereka masih berkata tentang ‘perhimpunan haram’ dan ‘tidak memberi kelulusan’, walaupun mengikut Akta Perhimpunan Aman mereka tidak mempunyai kuasa seperti ini.

Di bawah Kanun Keseksaan, memang mempunyai kesalahan terlibat  dalam ‘perhimpunan haram’. Tetapi perhimpunan haram dalam Kanun Keseksaan bukanlah suatu perhimpunan aman yang tidak diberi pemberitahuan.

Kesalahan di dalam Kanun Keseksaan untuk ‘perhimpunan haram’ adalah kesalahan terlibat dalam suatu perhimpunan yang mana terdapat percubaan atau tindakan jenayah. Sekiranya perhimpunan itu aman dan tidak melibatkan jenayah, mana ia bukanlah ‘perhimpunan haram’ di bawah Kanun Keseksaan.

Pihak polis juga boleh mendapatkan perintah daripada Majistret untuk menghalang suatu perhimpunan di bawah Kanun Acara Jenayah.

Namun demikian, mesti terdapat alasan-alasan kukuh untuk membuat permohonan tersebut, contohnya menghalang kemudaratan kepada orang lain atau ia membahayakan nyawa, kesihatan dan keselamatan atau untuk menghalang rusuhan. Tanpa alasan-alasan ini, perintah tersebut tidak wajar diberikan.

Ada beza di antara himpunan aman dan rusuhan atau perhimpunan yang tidak aman. Bagi perhimpunan yang tidak aman atau bersenjata, terdapat undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa.

Tindakan pihak berkuasa baru-baru ini yang telah membenarkan perhimpunan aman Bersih 4.0 berjalan tanpa apa-apa insiden adalah suatu langkah yang baik.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Undang-undang perhimpunan aman "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ