Risiko petugas media di zon konflik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Risiko petugas media di zon konflik

TANGGAL 2 September setiap tahun barangkali tidak membawa sebarang signifikan kepada umum. Namun dalam kalangan wartawan Malaysia, khususnya mereka yang terbabit dalam liputan konflik dan bencana, ia tarikh yang tidak mungkin kami lupakan. Penulis masih ingat pada tarikh itu genap empat tahun lalu, kami di Balai Berita NSTP khususnya di Berita Harian menerima panggilan dari Somalia memaklumkan seorang wartawan Malaysia meninggal dunia kerana terkena tembakan peluru sesat. Editor ketika itu mengarahkan penulis dan dua lagi rakan wartawan memeriksa mengenai kesahihan berita itu, termasuk menghubungi seorang rakan yang turut terbabit dalam misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) di kota Mogadishu.

Ternyata berita itu sahih dan rakan seperjuangan kami yang juga Jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, seorang suami dan bapa kepada dua anak lelaki masing-masing berusia lapan dan tiga tahun, sudah kembali menemui Penciptanya. Penulis rasa amat berat hati. Perasaan pula bercampur baur kerana langsung tidak pernah membayangkan bahawa saat seperti itu akan tiba. Lebih sebak apabila beberapa hari selepas itu penulis antara wartawan yang ditugaskan menemubual ahli keluarga Noramfaizul di Taman Serdang Raya, sehingga kepada pengebumian beliau di Tanah Perkuburan Islam, Universiti Putra Malaysia.


PENULIS (dua dari kanan) bersama Allahyarham Noramfaizul (kanan) ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin, pada Ogos 2010. 

Anak Noramfaizul masih kecil 

Tanpa sedar, penulis menangis dalam diam tatkala melihat anak bongsu Noramfaizul yang masih kecil dan tidak mengerti keadaan sebenar ketika dipangku isteri Allahyarham. Rakan-rakan wartawan lain ketika itu tidak putus-putus menziarahi rumahnya. Setahun sebelum itu pada Ogos 2010 ketika penulis masih bertugas dengan agensi berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), kami bersama-sama ditugaskan membuat liputan misi kemanusiaan KP1M di wilayah konflik Gaza di Palestin.

Masih segar lagi di ingatan penulis bagaimana kami wakil media, termasuk Allahyarham Noramfaizul, menginap di sebuah bilik wad di Hospital Al Quds, Talel Hawa, yang terletak betul-betul di tengah kota Gaza, yang baru sembuh dari 'luka peperangan' operasi Cast Lead rejim zionis yang mengorbankan lebih 1,400 nyawa warga Palestin. Bilik itu hanya mempunyai satu tingkap dan tidak mempunyai kipas dan kami (lebih daripada 10 orang) menginap di dalam bilik hospital itu yang dikatakan lokasi selamat sekalipun rejim Israel dilaporkan turut menjadikan hospital itu sebagai sasaran dalam peperangan hujung 2008 itu. Allahyarham Noramfaizul yang sering membiasakan dirinya sebagai 'abang' antara wartawan kanan yang amat kami hormati dan banyak membantu penulis membuat liputan ketika itu, malah dalam banyak keadaan beliau menjadi 'penyelamat keadaan'. Allahyarham Noramfaizul yang sebelum itu pernah membuat liputan di Gaza dan Pakistan adalah wartawan Malaysia pertama yang terkorban di zon konflik.

Ketika itu Committee to Protect Journalists (CPJ) menyenaraikan beliau sebagai wartawan ke-35 terbunuh di Somalia sejak 1992. Somalia yang terkenal dengan jolokan Tanduk Afrika dibelenggu perang saudara sejak 1991 selepas kejatuhan rejim Siad Barre. Malah, pertubuhan Reporters Without Borders (RSF) turut mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu dan mengiktiraf Allahyarham Noramfaizul antara 'senarai panjang' pengamal media yang terkorban ketika menjalankan tugas di bumi konflik Somalia. Dalam rekod negara, Noramfaizul adalah rakyat Malaysia keenam terkorban di Somalia selepas lima anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut ketika bertugas di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1993/1994. Ini termasuk Koperal Mat Aznan Awang dari 19 RAMD mekanis yang terkorban ketika operasi menyelamat tentera elit US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, pada 4 Oktober 1993 yang terkenal melalui insiden 'Black Hawk Down'.


APC Condor Malbatt 1 UNOSOM II melakukan rondaan sekitar Mogadishu, Somalia pada 1993. 

Kumpulan 20 negara berbahaya 

Somalia sehingga ke hari ini kekal dalam kumpulan 20 negara berbahaya di dunia dengan mencatatkan 57 kematian pengamal media sejak 1992. Iraq berada pada kedudukan pertama dengan 167 kematian pengamal media untuk tempoh sama. Penulis yang dihantar BH bagi membuat liputan misi kemanusiaan Mercy Malaysia di Mogadishu, Somalia pada Januari 2012 iaitu beberapa bulan selepas insiden membabitkan Allahyarham Noramfaizul mendapati, keadaan di sekitar 'Bulatan K4' amat menggerunkan. Kesibukan laluan dengan bangunan tinggi yang ada di sekitar kawasan itu menjadikan ia lubuk penembak tepat dengan aksesnya yang terbuka dengan salah satu darinya menghala ke Lapangan Terbang Mogadishu yang juga lokasi sensitif di Somalia.

Bulatan K4 yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang yang dikawal ketat Tentera Pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) adalah lokasi Allahyarham Noramfaizul dilaporkan terkena tembakan peluru sesat yang meragut nyawanya. Ketika kejadian, Noramfaizul dan rakan media Malaysia dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan yang terletak berdekatan kawasan itu sebelum kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki, ditembak pihak yang tidak dikenali pada ketika itu.

Bagaimanapun, siasatan AMISOM selepas itu mengesahkan Noramfaizul yang berada dalam konvoi misi kemanusiaan itu secara tidak sengaja ditembak oleh tentera pengaman dari Burundi. Seorang lagi Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut tercedera. Pemergian Allahyarham Noramfaizul pada tanggal 2 September 2011 wajar dikenang semua pihak khususnya dalam kalangan pengamal media di Malaysia.

Keluarga beliau juga seharusnya mendapat pembelaan sewajarnya kerana yang pergi, tidak akan kembali. Allahyarham membuktikan betapa kami, wartawan Malaysia, berada pada tahap sama dengan wartawan antarabangsa demi mencari dan melaporkan cerita sebenar, termasuk di zon konflik dan bencana, yang mungkin meragut nyawa pada bila-bila masa. Tidak seperti penulis media maya yang gah memanaskan apa juga keadaan, kami tidak akan berlindung di sebalik nama samaran.

Lebih jauh sekiranya mahu berlumba-lumba melaporkan sesuatu di media sosial tanpa memeriksa kesahihan sesuatu berita kerana kami sedar, harga yang dibayar adalah amat besar. Tahun ini saja lebih 40 pengamal media terbunuh di seluruh dunia, termasuk sembilan terkorban ketika pertempuran atau terperangkap dalam cross-fire. Sehingga hari ini, seramai 1,143 pengamal media terkorban di seluruh dunia sejak 1992 semata-mata mendapatkan cerita sebenar dan kerana itu kami akan terus mengenang pengorbanan rakan seperjuangan kami, Allahyarham Noramfaizul... Al-Fatihah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/80200
0 Komentar untuk " Risiko petugas media di zon konflik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ