Menteri kata kuning lebih hancing - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menteri kata kuning lebih hancing

*POLIS kata 50,000, pihak penganjur kata kira-kira 100,000, malah ada media (bukan Sinar Harian) menyebut kira-kira 200,000. Memang tidak dapat dipastikan berapa sebenarnya yang menyertai Himpunan Rakyat Bersatu, Rabu lalu.

Apa yang pasti Padang Merbok penuh sesak dibanjiri baju merah yang dikatakan datang dari seluruh pelosok negara, untuk mempertahankan apa yang disebut ‘maruah Melayu’.

Syabas kepada beberapa pemimpin Umno yang naik ke pentas di padang berkenaan dan berapi-api berucap, disambut dengan tempik sorak dan nyanyian lagu-lagu patriotik daripada peserta.

Jangan bimbang, pemimpin-pemimpin parti yang penuh semangat itu tidak akan disoal siasat oleh polis, sebab ini bukan perhimpunan haram.

*DUA minggu terdahulu, ibu negara dibanjiri warna kuning perarakan Bersih 4.0, selama dua hari menjelang perayaan kemerdekaan 31 Ogos. Polis tidak memberi permit, maka yang kuning itu dianggap haram.

Sama seperti merah, kuning pun tidak dapat dipastikan berapa ramai yang turut serta. Tetapi setiap sudut berhampiran Dataran Merdeka bertukar kuning sepanjang dua hari. Masing-masing boleh buat anggaran sendiri.

Masing-masing ada agenda. Kuning didakwa mahu memberi gambaran buruk kepada kerajaan, dan mendesak Datuk Seri Najib meletak jawatan Perdana Menteri. Merah pula menyokong dan mempertahankan Najib.

Walaupun berada di Kota Kinabalu, Najib terharu dengan perhimpunan merah di KL. Ramai lagi yang sayangkan beliau...

*SAMA seperti perhimpunan haram kuning, perhimpunan halal merah pun meninggalkan banyak sampah sarap di pusat bandar. Petugas Alam Flora bertungkus-lumus membersihkan sampah.

Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, bil kos pembersihan akan dihantar kepada pihak penganjur perhimpunan merah.

Menurut Rahman, seperti yang disiarkan media, walaupun ada sampah tetapi baju merah tidak sebusuk baju kuning. “Kali ini tidak ada bau air kencing,” katanya.

Sebelum ini menteri berkenaan telah menghantar bil RM65,000 kepada penganjur Bersih 4.0. Apakah kurang bau hancing bererti kos pembersihan yang akan dikenakan kepada baju merah kurang daripada RM65,000?

*HANCING  atau tidak, secara keseluruhan kedua perhimpunan kuning dan merah berjalan dalam suasana aman. Maka pujian patut diberi kepada peserta yang mematuhi undang-undang, juga kepada pihak polis yang berjaya mengawal keadaan.

Waktu perarakan kuning dulu ada provokasi memijak gambar pemimpin, juga ada letupan mercun. Pihak penganjur menegaskan provokasi itu bukan dilakukan oleh Bersih.

Pada perarakan merah pun ada sedikit provokasi yang akhirnya memaksa polis melepaskan tembakan meriam air untuk menyuraikan provokasi di Jalan Petaling.

Kekecohan tersebut menyebabkan seorang anggota polis patah jari tangan ketika cuba menghalang mereka manakala seorang lagi anggota cedera di bahagian kepala dipercayai terkena benda keras.

Seperti perhimpunan kuning, penganjur merah juga memberitahu kekecohan itu tiada kaitan dengan perhimpunan, dan dilakukan oleh pihak lain yang ada agenda tersembunyi. Maka Si kaki busuk itu perlu dihukum.

*SETAKAT ini dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan di hadapan Jalan Petaling selepas sekumpulan peserta Himpunan Rakyat Bersatu cuba merempuh kawalan polis.

Menurut polis, mereka ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah.

Sebelum ini polis telah menahan dan menyoal siasat beberapa orang yang memijak gambar pemimpin dan meletupkan mercun semasa perhimpunan kuning.

Beberapa orang pemimpin politik pembangkang juga telah dipanggil membantu siasatan berhubung penyertaan dalam perhimpunan haram Bersih 4.0.

Tun Mahathir pun akan dipanggil untuk siasatan. Orang ramai tertanya-tanya bila mantan PM itu akan disoal siasat.

*AKHIR kalam, pujian patut diberi kepada PDRM yang tegas dan tidak memilih bulu dalam tindakan ke atas mana-mana individu yang melakukan provokasi dan kekecohan pada perhimpunan dan perarakan.

Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam menegakkan keamanan awam polis akan bertindak ke atas siapa sahaja yang melanggar undang-undang.

Katanya seperti yang disiarkan media: “Dalam hal seperti ini polis sememangnya buta warna (colour blind), dan akan bertindak tanpa mengira merah, kuning, atau lain-lain warna.” Tabik datuk!

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Menteri kata kuning lebih hancing "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ