Mengenang perhimpunan Bersih - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mengenang perhimpunan Bersih

PENGALAMAN di perhimpunan aman Bersih 4.0 baru-baru ini pada 29-30 Ogos 2015 boleh dikatakan amat menyeronokkan, malah terasa rendah diri dan mengujakan.

Walaupun saya boleh dikatakan veteran perhimpunan seperti itu, tetapi setiap kali menghadiri sesebuah perhimpunan ia bagaikan satu pengalaman yang baharu.

Ia amatlah mengasyikkan untuk berarak dengan ratusan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Ini berlaku walaupun terdapat pelbagai ugutan dan ancaman daripada pihak-pihak tertentu.

Walaupun setiap di situ terdiri daripada bangsa, agama dan latar belakang sosioekonomi yang berbeza, menghabiskan dua hari bersama di pekarangan Dataran Merdeka menjadikan kita lebih rapat.

Kita berjaya menunjukkan kepada negara dan juga dunia bahawa walaupun rakyat sememangnya dahagakan perubahan dan sudah penat dengan salah guna kuasa pihak tertentu, tetapi kita tetap boleh mengekspresi sentimen-sentimen ini dalam keadaan yang aman.

Pujian seharusnya diberikan kepada penganjur dan juga polis kerana memastikan perhimpunan dijalankan dengan aman.

Bersih 4.0 jelas membuktikan bahawa kebebasan berhimpun boleh dijalankan dengan tanggungjawab di Malaysia, sekiranya kedua-dua pihak orang awam dan pihak berkuasa memainkan peranan masing-masing dengan baik.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad juga, yang selama ini tidaklah begitu mengamati kebebasan hak rakyat, turut menghadirkan diri - tetapi itu lain kisahnya.

Namun begitu, amatlah dikesali kerana Maria Chin Abdullah dan rakan-rakan Keadilan saya, Sim Tze Tzin dan Lee Chean Chung, dan juga para aktivis Mohd Fariz Musa, Mandeep Singh dan Adam Adli semuanya telah dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 4 (2) (c) Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk perhimpunan #KitaLawan yang sebelumnya.

Bekas Bendahari Pemuda Pas, Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, juga telah dikenakan tuduhan hasutan.

Ia amatlah tidak bertanggungjawab bagi pihak kerajaan untuk membazirkan masa mahkamah dengan tindakan-tindakan yang remeh sebegitu.

Saya rasa perlu ulangi di sini bahawa, saya percaya keputusan mahkamah rayuan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad v PP bermakna tidak ada seorang rakyat Malaysia yang boleh dikenakan tindakan mahkamah atas alasan perhimpunan haram.

Jika ada yang bertindak ganas atau cuba memprovokasi orang ramai - maka ambil tindakan terhadap individu tersebut.

Perdana Menteri Najib Razak dan pentadbirannya sepatutnya meraikan perkembangan demokrasi yang telah dicapai dan hentikan pendakwaan serta penganiayaan yang bersifat politik ini.

Pada masa sama, seperti dijangkakan, ada beberapa pihak yang kita semua tahu, telah cuba menjadikan protes Bersih sebagai satu isu perkauman dengan mengatakan bahawa Melayu telah menjauhkan diri daripada perhimpunan tersebut dan ia dikuasai oleh kaum Cina.

Saya sendiri berada di pekarangan dataran, dan saya langsung tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan. Saya boleh lihat orang Melayu di merata-rata tempat. Lagipun, ramai peniaga Melayu — yang menjual makanan, air, kelengkapan lain seperti banner, topeng — mendapat keuntungan yang lumayan pada hujung minggu itu.

Setiap yang berada di situ, termasuklah masyarakat Cina, bandar, juga merupakan rakyat negara ini. Keresahan mereka juga adalah benar dan patut diambil kira sama dengan orang lain.

Kita sekarang di abad ke-21, dan malulah sekiranya kita masih lagi menghakimi seseorang itu hanya kerana warna kulitnya dan bukan keperibadiannya.

Apa yang lebih menggusarkan adalah ada juga yang hendak melakukan satu “perhimpunan lawan”, pada Hari Malaysia yakni 16 September.

Saya mengakui mereka juga mempunyai hak untuk berhimpun, sama seperti Bersih. Tetapi tidak ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menakut-nakutkan dan mengugut orang lain.

Kami berharap agar pihak berkuasa dapat mengendalikan situasi itu nanti dengan konsisten sepertimana mereka mengendalikan Bersih.

Satu persoalan yang perlu diutarakan; Bersih menyatukan rakyat Malaysia, apa yang hendak dicapai oleh mereka ini? Namun begitu kita tidak boleh mempunyai dwi-standard.

Saya cuma mahu mereka beringat, sekiranya mereka melakukan demonstrasi, ramai yang akan melihat dan menghakimi tindak-tanduk mereka.

Kepada semua rakyat Malaysia, saya ingin katakan bahawa Bersih 4.0 merupakan satu kejayaan yang besar.

Ia mampu mengorak langkah kepada sesuatu yang lebih baik untuk negara ini jika kita terus bersabar, memberi pertimbangan dan mempunyai visi yang jelas tentang bagaimana kita hendak menggerakkan negara ini ke hadapan.

* Penulis Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia

0 Komentar untuk " Mengenang perhimpunan Bersih "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ