Kerjaya bidang pelancongan janji potensi besar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kerjaya bidang pelancongan janji potensi besar

KERJAYA dalam bidang pelancongan sentiasa menjanjikan potensi besar di pasaran kerja terutama dalam usaha Malaysia menarik 36 juta pelancong pada 2020, kata Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi Antarabangsa) Datuk Azizan Noordin.

Beliau berkata dengan perkembangan pesat sektor pelancongan negara ketika ini, kerjaya tersebut sememangnya mempunyai masa depan yang cerah.

"Setakat ini, kita ada 1.5 juta orang yang sudah bekerja dalam industri ini (pelancongan). Banyak lagi peluang ditawarkan untuk menampung keperluan (dalam sektor ini).

"Sektor pelancongan dan hospitaliti amat luas sebenarnya. Daripada perhotelan sehinggalah kepada mereka yang terlibat dalam industri penerbangan seperti juruterbang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pameran Kerjaya Pelancongan 2015, hari ini.

Pameran sehari bertema 'Today's talent, Tomorrow's success' anjuran Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik Malaysia Chapter (PMC) dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia itu, dirasmikan Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Zainol Abidin Omar di sini, hari ini.

Azizan memberi contoh, dalam industri perhotelan sahaja, terdapat 16,000 jawatan kosong daripada semua peringkat iaitu tukang masak, terapi spa dan sebagainya.

Azizan yang juga Pengerusi Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Malaysia berkata industri pelancongan bukan sahaja terhad kepada perhotelan dan hospitaliti, malah ia terbuka kepada pelbagai bidang lain seperti perhutanan dan veterinar.

Pameran kerjaya itu bertujuan menghubungkan pelajar dan pekerja yang berpotensi daripada pelbagai universiti dan kolej di Malaysia dengan organisasi dalam sektor pelancongan dan hospitaliti di bawah satu bumbung.

Ia juga menyediakan peluang yang baik bagi organisasi dalam industri itu untuk menjalin hubungan dan menyalurkan maklumat organisasi masing-masing bagi mendapatkan pekerja terbaik sama ada sepenuh masa, sambilan atau menjalani latihan praktikal.

Lebih 17 pempamer seperti Malaysia Airports Holdings Berhad, Grand Lexis Port Dickson, Genting Malaysia Berhad dan LEGOLAND Malaysia Berhad menyertai pameran itu.

Sempena pameran tersebut, PMC juga mengadakan Forum Kerjaya Pelancongan dan menjemput penceramah terkenal dalam sektor pelancongan, penerbangan, perhotelan dan pengembaraan untuk berkongsi pandangan dan cadangan mereka. - Bernama

0 Komentar untuk " Kerjaya bidang pelancongan janji potensi besar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ