Kepercayaan tanpa disertai keyakinan tak beri kesan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kepercayaan tanpa disertai keyakinan tak beri kesan

SABDA Rasulullah SAW: "Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat seketul daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati." (Riwayat Bukhari) Pesan Rasulullah SAW ini biasa di dengar, selalu dibaca namun pengertian mengenainya belum benar-benar sebati dalam diri. Menyedari hakikat itu, Ustaz Mohd Miftah Anuar memberi penekanan menerusi program Islam Itu Indah, Rabu lalu. Manusia punya hati, tetapi tidak menggunakan hati untuk memahami. Kecerdikan dan kebijaksanaan tidak hanya terletak pada akal, tetapi juga pada hati.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai." (Surah al-A'raaf, ayat 179)

Pandangan mata hati lebih telus 

Fitrahnya kita melihat dengan mata, tetapi jangan disangkal fungsi hati kerana pandangan mata hati lebih telus. Melihat haiwan dengan mata kasar akan terpandang haiwan, gunung ganang serta tumbuhan. Sedangkan jika dilihat alam dengan mata hati akan nampak fungsi alam serta ketundukan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepada-Nya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semula jadinya) akan cara mengerjakan ibadahnya kepada Allah dan memuji-Nya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan." (Surah an-Nuur, ayat 41)

Bebaskan hati daripada cengkaman yang menjauhkan diri daripada sifat hamba kepada Allah SWT dengan meletakkan keyakinan pada Ilahi. Menerusi keyakinan akan meresap dalam jiwa kewujudan Allah SWT. Terdapat perbezaan jika hanya tahu adanya Allah SWT berbanding miliki rasa yakin adanya Allah SWT. Menjadi Islam cukup sekadar percaya, namun bagi memastikan 'percaya' itu memberi kesan dalam kehidupan perlu kepada iman yang berada pada tahap yakin. Hasil daripada keimanan serta kepercayaan pada tahap yakin akan menghalang seseorang daripada melakukan kejahatan mahupun kemaksiatan. Seseorang itu bukan sekadar tahu Allah Maha Melihat, tetapi tahu, yakin dan rasa yang Allah Maha Melihat.

Miftah memberi perumpamaan seorang penembak tepat. Walaupun telah ditunjukkan sijil atau pengiktirafan bahawa beliau seorang yang berkemahiran, tetapi kita tetap tidak yakin untuk membiarkan beliau menembak sebiji epal yang diletakkan di atas kepala kita. Kita hanya tahu dia memiliki kemahiran, tetapi tidak yakin sepenuhnya. Begitu jugalah jika kepercayaan tidak disertai keyakinan maka ia tidak akan memberi kesan untuk melakukan mahupun meninggalkan sesuatu perkara. Selain itu, kita perlu memerdekakan hati daripada syirik.

Zaman sekarang, walaupun teknologi maju, tetapi akidah masih lagi ketinggalan zaman. Dalam dunia serba moden ini, ada juga yang menjadikan duit dan majikan sebagai tuhan. Kepercayaan ini wajib dibersihkan daripada bersawang dalam hati yang akhirnya akan merosakkan diri. Seterusnya, memerdekakan hati daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Mulakan dengan pengosongan jiwa daripada sebarang kekotoran hati seperti membersihkan bekas kosong sebelum memasukkan air baharu ke dalamnya supaya terjamin kebersihannya.

Peringkat mujahadah, tahali 

Peringkat ini dikenali sebagai peringkat mujahadah. Peringkat kedua dipanggil 'tahali' iaitu memasukkan sifat mahmudah atau sifat terpuji. Pada peringkat ini syaitan akan bermati-matian menghasut manusia dengan segala teknik tipu dayanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedangkan Allah menjanjikan kamu keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 268)

Pada masa sama Allah SWT menjanjikan pengampunan-Nya. Hanya manusia yang bijak dan punya hati merdeka mampu menilai serta memilih dengan tepat dan terbaik untuk dunia juga akhiratnya. Peringkat tajali mampu mencerahkan hati dan menyingkap ketenangan hakiki. Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/80794
0 Komentar untuk " Kepercayaan tanpa disertai keyakinan tak beri kesan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ