Jiwa merdeka hanya takut bala, azab Ilahi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jiwa merdeka hanya takut bala, azab Ilahi

Islam agama bertunjangkan kedamaian, kesejahteraan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan. Sejarah membuktikan kehidupan manusia sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW yang membawa syiar Islam berada dalam kehidupan jahiliah yang penuh dengan kezaliman, penindasan, maksiat dan kebencian. Islam hadir membawa rahmat dan kebaikan untuk sekalian makhluk serta alam, memerdekakan mereka daripada cengkaman kehidupan jahiliah. Ustazah Muzayannah Abdullah menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran di IKIMfm setiap Jumaat, jam 10 pagi menjelaskan merdeka dari konteks perjuangan.

Mukmin sejati 

Merdeka bermaksud membebaskan diri daripada belenggu penjajahan, manakala dalam konteks agama seseorang itu akan memperoleh kemerdekaan apabila menjadi seorang Mukmin sejati. Merdeka yang sebenar apabila seseorang Mukmin meletakkan perasaan takut hanya kepada Allah SWT. Sungguhpun secara zahirnya manusia di bumi ini diberi kuasa, memiliki harta kekayaan, pangkat dan kedudukan tetapi kekuasaan yang hakiki adalah milik Allah SWT. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Aku." (Surah al-Anbiya, ayat 92)

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang mempunyai jiwa merdeka, ketaatan dan ketakutan itu hanya kepada bala serta azab Allah SWT kerana tiada yang lebih bermakna bagi Muslim selain menambahkan keimanan untuk mendapat keredaan Allah SWT dunia dan akhirat. Islam mendidik manusia dengan panduan al-Quran dan hadis. Al-Quran sebagai sumber ilmu yang sempurna dan lengkap mengajar umat Islam menjadi Mukmin yang memahami hukum hakam selain menjadi sumber hidayah untuk membawa manusia ke jalan diredai Allah SWT. Hadis atau seruan sunah Rasulullah SAW pula merujuk kepada penjelasan Baginda mengenai sesuatu perkara secara lebih terperinci.

Al-Quran dan hadis umpama cahaya yang menyuluh jalan kehidupan manusia supaya tidak terpesong dengan tipu daya syaitan yang menyesatkan. Manusia yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul tidak akan meninggalkan seruan kedua-duanya. Ini juga satu bentuk dakwah dan kebajikan manusia sebagai simbol ketaatan kepada-Nya. Manusia yang menuruti perintah Allah SWT dan sunah Baginda pastinya tidak akan sesat selama-lamanya. Ini juga adalah nilai kemerdekaan sebenar iaitu apabila manusia dapat membebaskan hatinya dengan tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT. Manusia yang menuruti hawa nafsu dan bisikan syaitan pasti terperangkap dengan dosa. Allah SWT memerintahkan manusia menuruti segala perintah-Nya.

Harta kekayaan, pangkat dan kuasa hanya sekadar perhiasan dunia yang akan ditinggalkan kelak. Mukmin yang menuruti sunah Baginda nescaya akan memperoleh syafaat dan dipayungi rahmat Allah SWT. Muzayannah berkata, membangun manusia memiliki jati diri tinggi, berjiwa merdeka, akhlak mulia dan budi pekerti baik hendaklah bermula dari dalam kandungan lagi. Ibu bapa mesti memberi didikan Islam yang menyeluruh supaya pemahaman terhadap agama dipasak pada usia kecil dan akan terus menunjang dalam diri. Antaranya, mengasuh anak dengan akhlak dan sunah Rasulullah SAW.

Anak juga hendaklah dibesarkan dengan bacaan al-Quran, zikir dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Anak yang mendapat pendidikan agama yang baik pastinya menjadi insan yang memiliki nilai manusiawi tinggi. Didikan yang baik akan melahirkan generasi beragama seterusnya menyumbang kepada kemuliaan agama Islam itu sendiri. Anak dididik dengan agama Allah SWT yang sempurna inilah yang menentukan Islam pada masa akan datang. Menurut Muzayannah, hidup ini adalah satu perjalanan yang sentiasa dikejar oleh waktu. Seseorang yang menghabiskan hidupnya tanpa melakukan perkara bermanfaat akan mendapat kerugian selama-lamanya. Mukmin yang sentiasa membangunkan dirinya dengan ilmu akan memperoleh kelebihan dalam hidupnya.

Cari, tambah ilmu 

Oleh itu, seorang Mukmin hendaklah sentiasa mencari dan menambah ilmu pengetahuan supaya dapat memperbaiki diri. Orang yang tidak mengisi kehidupannya dengan ilmu diumpamakan sebagai 'orang yang membodohkan diri sendiri'. Melalui ilmu manusia akan mengubah nasib diri, meningkatkan pengetahuan dan membaiki akhlak. Ilmu akan mengubah manusia menjadi lebih baik dan bertambah baik. Jika seorang yang tidak ada daya usaha belajar dan mengutip sebanyak mungkin ilmu, tidak akan berubah serta terus hidup dalam kejahilan.

Umat Islam dianjurkan menambah ilmu pengetahuan setiap masa dengan cara membaca buku bermanfaat, mengisi waktu mendengar kuliah agama atau apa juga pengetahuan yang boleh meningkatkan kualiti diri. Menjalani kehidupan dengan mengamalkan ajaran Islam, menambah nilai diri dengan ilmu pengetahuan, menghidupkan sunah Rasulullah SAW dan istiqamah dalam amalan akan menjadikan kita umat Islam yang baik kepada Allah SWT.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/80284
0 Komentar untuk " Jiwa merdeka hanya takut bala, azab Ilahi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ