Industri kasut terus berkembang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Industri kasut terus berkembang

KASUT menjadi keperluan masyarakat untuk dipakai setiap hari tidak kiralah sama ada ke tempat kerja, berjalan, berhibur mahupun bersukan.

Industri kasut dilihat berpotensi untuk diterokai memandangkan ia dipakai oleh semua lapisan masyarakat.

Walaupun Malaysia mempunyai usahawan tempatan dalam industri pembuatan kasut, namun jumlahnya amat kecil terutamanya golongan Bumiputera, berbanding dengan jenama lain yang boleh didapati di negara ini.

Keadaan bertambah keruh lagi dengan persepsi masyarakat setempat terhadap kasut keluaran tempatan yang dikatakan tidak mempunyai kualiti setanding dengan jenama antarabangsa.

Industri kasut tempatan dijangka terus berkembang dalam tempoh lima tahun ini seiring usaha Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020.

Pengarah Bahagian Gaya Hidup Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, sepanjang tempoh itu, pemain dalam industri kasut tempatan akan berusaha membaiki reka bentuk dan kualiti keluaran kasut Malaysia dengan menggunakan teknologi pembuatan lebih tinggi, moden dan terkini supaya dapat mencapai kapasiti pengeluaran pada tahap maksimum.

“Industri ini juga akan berusaha untuk meningkatkan penjenamaan kasut keluaran Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar kasut yang utama.

“Dari segi pemasaran pula, syarikat kasut Malaysia akan memperluaskan pasaran ke negara-negara yang telah mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia,” katanya ketika ditanya mengenai industri kasut tempatan pada masa akan datang.

Setakat ini, syarikat kasut tempatan terlibat dengan pembuatan kasut, pengilangan, urusan jual beli dan memiliki lesen untuk mengeluarkan jenama kasut yang terkenal.

“Berdasarkan rekod Persatuan Pengilang Kasut Malaysia (MFMA), sebanyak 1,000 syarikat mendaftar sebagai ahli persatuan yang mana 80 peratus daripada jumlah itu adalah terdiri dari bukan Bumiputera, manakala selebihnya 20 peratus adalah Bumiputera,” katanya.

Kebanyakan syarikat kasut Malaysia sudah menembusi pasaran negara-negara Asean, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Brazil, United Kingdom dan Mexico.

“Syarikat kasut Malaysia dikenali dengan kualiti dan reka bentuk yang jauh lebih berkualiti dan menarik berbanding keluaran negara lain. Rekabentuk dari Malaysia adalah unik kerana latar belakang budaya kita yang warna-warni.

“Produk kasut Malaysia juga memenuhi spesifikasi dan standard piawaian yang ditetapkan negara-negara pengimport,” katanya.

Pada 2014, jumlah eksport kasut Malaysia meningkat empat peratus kepada RM493 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Lima negara pengimport utama kasut tempatan adalah Singapura, Thailand, Arab Saudi, UAE dan Hong Kong,” katanya.

Menurutnya, untuk pameran industri kasut, Matrade menyertai pameran Global Destination for Shoes and Accessories (GDS) & Tag It di Dusseldorf, Jerman sejak 2012 hingga sekarang.

“Syarikat kasut Malaysia mendapat sokongan amat baik daripada pembeli yang menyertai pameran ini di mana pada 2015, industri ini mencapai potensi jualan melebihi RM40 juta,” katanya.

Pada masa akan datang, Matrade terus memberi galakan dan bantuan dari segi khidmat nasihat, seminar, mencari pasaran untuk syarikat kasut tempatan serta membimbing syarikat Malaysia supaya lebih bersedia memasuki pasaran antarabangsa.

“Matrade akan terus mengenal pasti dan menyertai pameran perdagangan antarabangsa ke negara-negara yang berpotensi tinggi dalam industri ini,” katanya.

0 Komentar untuk " Industri kasut terus berkembang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ