Impian bertukar realiti - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Impian bertukar realiti

HASRAT dua sahabat menggapai impian membangunkan produk berasaskan buah tunjuk langit suatu ketika dahulu kini menjadi realiti.

Dengan bimbingan TPM Biotech Sdn Bhd, Technology Park Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Dr Mohd Faizal Wahidin dan Tyzo Idriss mampu merealisasikan impian tersebut.

Ditubuhkan tiga tahun lalu, syarikat Tyzo Sdn Bhd menggunakan modal dari kocek mereka sendiri sebanyak RM100,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Faizal berkata, idea tercetus setelah ahli keluarganya mengalami masalah kesihatan berulang menyebabkan dia mencari inisiatif sendiri.

“Memandangkan kesihatan ibu tidak menentu, ramai mengesyorkan dia mencuba sejenis herba tempatan iaitu buah tunjuk langit.

“Bermula dari situlah, saya mengkaji mengenai buah tersebut apabila kesihatan ibu beransur pulih daripada penyakit kencing manis,” katanya.

Mengambil keputusan untuk memasarkan buah tersebut ke pasaran komersial, dia mengeluarkan produk teh, kopi, minuman coklat dan kapsul berasaskan buah tunjuk langit atau nama saintifiknya Swietenia Macrophylla.

Katanya, terdapat empat inovasi produk berasaskan buah tunjuk langit berjaya dihasilkan dalam bentuk minuman dan kapsul seperti Swietenia Coffee, Swietenia White Tea, Swietenia Chocolate dan Swietenia Capsule.

“Rasanya agak pahit jika dimakan begitu sahaja dan kami mengambil keputusan menjadikan ia minuman berperisa seperti kopi, coklat dan teh.

“Bagi mengekalkan khasiat yang terkandung dalam buah ini, kami menggunakan teknologi canggih biarpun ia diolah dalam bentuk minuman dan kapsul,” katanya.

Dr Mohd Faizal berkata, produk berasaskan buah tunjuk langit ini dihasilkan kerana mahu mencari kelainan dalam industri perubatan herba tanpa mengekstrak pati buah tersebut.

Mementingkan kualiti dalam perniagaan itu, dia berkata pembungkusan setiap produknya dipilih secara teliti agar dapat menembusi pasaran tempatan.

“Jika dilihat sekarang, ramai mengeluarkan produk tersendiri dan kami memerlukan satu kelainan bagi pengguna mudah mengingati jenama Tyzo ini.

“Kami jadikan persaingan hebat ini sebagai salah satu cabaran dan bergantung kepada kreativiti untuk menonjolkan produk masing-masing,” katanya.

Ditipu kilang pembungkusan

Di awal pembabitannya, Dr Mohd Faizal pernah menghadapi tamparan hebat apabila produknya hampir menemui kegagalan dek ditipu syarikat pembungkusan.

Menceritakan kisah getir ketika itu, dia menggunakan khidmat kilang pembungkusan di selatan negeri, namun tidak memenuhi piawaian yang dikehendakinya.

“Mungkin tiada pengalaman dalam bidang ini, kami beri sepenuh tanggungjawab pembungkusan terhadap kilang tersebut, namun hasilnya sangat mengecewakan.

“Saya terkejut dengan fasa pertama produk kami tidak seindah diharapkan kerana semuanya berterabur,” katanya.

Dia berkata, terdapat  bungkusan tidak kemas dan bocor, bahkan menerima aduan pengguna bahawa serbuk mengeras dalam bungkusan.

Katanya, banyak masalah timbul sehingga dia terpaksa menghentikan pengeluaran produknya itu.

“Saya kecewa dengan pihak terbabit yang menggunakan logo tanpa kelulusan.

“Banyak lompong berlaku membuatkan kami lebih berhati-hati memilih syarikat pembungkusan,” katanya.

Begitu juga penerimaan masyarakat terhadap produknya itu kerana tidak ramai mengenali jenama tersebut.

“Ia agak perit untuk bertahan memandangkan banyak masalah berbangkit, namun kami cekalkan hati,” katanya.

Selepas mengalami pengalaman ditipu kilang terbabit, Dr Mohd Faizal bernasib baik kerana dapat bekerjasama dengan TPM Biotech dalam segala perkara pengeluaran.

Katanya, syarikat tersebut menyediakan platform terbaik kepada mereka dari segi penyelidikan, pembangunan produk, konsultansi mengikut akta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Halal daripada Jakim serta perkhidmatan pengilangan kontrak.

Tembusi pasaran global

Sementara itu, Tyzo Idriss selaku Pengarah Urusan berkata, buah tunjuk langit terbukti membantu mencegah, mengatasi dan merawat pelbagai jenis penyakit secara tradisional.

Katanya, kandungan flavanoids dalam buah itu melancarkan peredaran darah, membekalkan nutrisi dan oksigen sebagai agen anti oksida.

“Selain mengeluarkan produk Kopi Buah Tunjuk Langit, kami menghasilkan produk kepada bentuk papan setelah mendapat permintaan tinggi restoran serta kafe,” katanya.

Dengan kemudahan kilang berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP), Analisis Titik Kawalan Kritikal Bahaya (HACCP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), kami percaya produk ini mampu menembusi pasaran antarabangsa termasuk
Brunei dan Singapura.

Jelasnya, buah tunjuk langit mengandungi khasiat kesihatan membantu dalam rawatan diabetes, kegemukan, migrain, tekanan darah tinggi, serangan jantung, senggugut dan gout.

Dengan bantuan TPM Biotech, pihaknya bersyukur Tyzo Sdn Bhd diberi peluang mempromosikan produk di Pameran Halfest, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, Karnival Usahawan Desa (KUD), Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Minggu
Perusahaan Kecil Serderhana (PKS) anjuran SMECorp.

0 Komentar untuk " Impian bertukar realiti "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ