Ekspedisi korban eratkan silaturahim umat Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ekspedisi korban eratkan silaturahim umat Islam

IBADAH korban sangat dituntut dalam Islam sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah dan hukumnya sunat muakkadah. Kini, menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia untuk menyertai ibadah korban di luar negara. Matlamatnya jelas bagi memastikan umat Islam di sana yang tidak mampu melaksanakan ibadah korban dapat turut menghayati roh disyariatkan ibadah itu sementara yang berkorban pula benar-benar merasai nikmat daripada kesediaan berkongsi rezeki dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

Perluas ekspedisi korban 

Seperti tahun sebelumnya, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuka peluang kepada umat Islam di negara ini untuk bersama menyertai Program Korban dan Akikah yang diadakan di Kemboja. Buat julung kalinya, tahun ini PKPU turut mengadakan program sama di Aceh, Indonesia dan Vietnam sebagai usaha meluaskan ekspedisi korban kepada penduduk Islam di kedua-dua negara supaya mereka dapat merasai manfaat daripada disyariatkan tuntutan itu sebagai simbol persaudaraan. Ibadah korban adalah landasan terbaik untuk menjalinkan silaturahim sesama umat Islam tidak kira di mana mereka berada dan menjadi petunjuk bahawa yang berkemampuan turut merasai penderitaan saudara mereka yang daif serta memerlukan sumbangan.

Bantu masyarakat di Kemboja 

Sejak tujuh tahun lalu, PKPU dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif membantu masyarakat Islam di Kemboja, Cambodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA), menganjurkan program korban bersama penduduk di beberapa buah kampung terpilih di Kemboja. Bagi program korban dan akikah kali ini, PKPU menyasarkan 500 ekor lembu untuk diagih-agihkan daging korban di tiga negara dilawati khususnya kepada golongan daif. Justeru, PKPU mengalu-alukan penyertaan kepada mereka yang berminat melaksanakan ibadah korban.

Sedia dana pendidikan 

Pada masa sama, PKPU turut mengharapkan sokongan umat Islam menyumbang kepada dana pendidikan umat Islam bagi membina sekolah di negara yang dikunjungi bagi memastikan kanak-kanak di sana mendapat pendidikan lebih baik. Ekspedisi di Kemboja membolehkan PKPU dengan kerjasama CMIA membina Kompleks Pendidikan Islam Phnom Penh hasil daripada lebihan dana dan wakaf umat Islam negara ini. Majlis pecah tanah projek itu dilakukan pada Oktober 2013. Kompleks pendidikan itu akan dirasmikan pada 26 September ini, ia menyediakan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi.

Sementara itu, PKPU mengalu-alukan mereka yang ingin menyertai ekspedisi korban dan akikah ke Aceh berharga RM2,000 yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan, makan minum termasuk satu bahagian korban lembu. Mereka yang berminat boleh menghubungi penyelaras program korban di Aceh, iaitu Nik Mohd Nasrun Nik Abdullah di talian 012-6048875 atau Zakaria Othman di talian 019-3951481. Pada masa sama, PKPU mengharapkan sumbangan wang tunai untuk membeli pakaian anak yatim di sana selain mengisi dana pendidikan sekolah dan asrama anak yatim melalui akaun khas PKPU atas nama Korban PKPU JAKIM, akaun Bank Islam 16018010018914.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/82230
0 Komentar untuk " Ekspedisi korban eratkan silaturahim umat Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ