Bila bersembang jadi bertengkar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bila bersembang jadi bertengkar

APAKAH kita sedar bahawa kita kerap terjebak di dalam pertengkaran mengenai sesuatu perkara yang tidak penting pun untuk diri kita? Lazimnya pertengkaran itu bermula dengan sebuah pertanyaan kepada seorang rakan kerana niat untuk berbual-bual.

Namun, apabila kita mendengar jawapannya, kita mengambil serius dengan responsnya. Perkara yang santai pun boleh berubah menjadi sesuatu yang menghangatkan suasana. Walhal, dia juga menjawab sekadar berbasa-basi, hanya mengikut rentak bersembang dengan kita.

Misalnya, kita bertanya mengenai perhimpunan BERSIH, kepada rakan sambil menunggu tren tiba. Dan kawan kita pun menjawab soalan kita dengan penuh yakin dan bersemangat mengikut perspektifnya.

Jika dia bersetuju dengan perhimpunan BERSIH, dia akan memuji-muji tindakan para pendemonstran. Tetapi seandainya dia tidak setuju, dia akan mengkritik habis-habisan terhadap perhimpunan itu.

Kita pula akan memberi respons mengikut persepsi kita. Jika kita sependapat dengannya, maka perbualan akan menjadi semakin bersemangat. Sebaliknya jika kita dan dia mempunyai pandangan yang bertentangan, perbualan bertukar menjadi kritik mengkritik. Malangnya, jika berlarutan, ia boleh berakhir menjadi pertengkaran hingga bermasam muka.

Walhal, bukankah kita mulanya bertanya hanya sekadar ingin bersembang dengan seorang kawan? Kita bukannya menyoal penganjur perhimpunan itu ataupun polis. Jika kita bertanya pihak yang sepatutnya, baharulah padan jika kita mempersoal setiap jawapan kerana mereka adalah pihak yang berkait secara langsung dengan perhimpunan itu.

Sebaliknya, kita bertanya kepada seorang rakan yang sebenarnya hanya mendapat maklumat mengenai perhimpunan BERSIH melalui akhbar, televisyen dan internet. Dia pun sama seperti kita. Jadi, mengapa bersembang hingga boleh melarat sampai begitu?

Sembang-sembang yang berubah menjadi pertengkaran bukan setakat berlaku dalam perbualan secara bersemuka. Malah, ia terjadi dalam perbualan di alam maya. Secara peribadi, sudah beberapa kali saya terpandang rakan Whatsapp yang left group semata-mata kerana tidak bersetuju dengan mereka yang tidak sependapat dengannya. Mengapa sampai begitu jadinya?

Ia berlaku apabila kita bertanya kepada orang yang sama juga seperti kita ~ tidak ada pengetahuan lengkap mengenai sesuatu perkara yang menjadi pokok persoalan. Jika kita bertanya kepada orang yang bukan ahli, berkuasa, berkelayakan atau bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, maka maklumat yang kita terima, tentulah tersasar.

Hampir semua orang akan menjawab apa jua soalan yang ditanya walaupun tidak tahu jawapan yang sebenar. Niat asal kita menjawab adalah untuk tidak menghampakan orang yang bertanya. Namun, apabila membuka mulut, kita malu dianggap tidak tahu mengenai sesuatu yang ditanya. Lantas, kita pun main belasah sahaja dengan apa jua jawapan yang terlintas di fikiran.

Apabila tersilap menjawab, kita tidak pula mahu mengaku salah. Sebaliknya kita mempertahankan dengan hujah secara spontan dan logik. Logik bukan fakta. Kerana itu ia mudah goyah apabila dipersoal hingga berlaku pertengkaran yang tidak mendatangkan faedah bagi yang bertanya dan juga buat yang menjawab.

Orang yang bertanya pun tidak adil dengan kita. Apabila dia bertanya, dia bukan bertujuan untuk mendapat maklumat. Sebaliknya, apabila dia bertanya, biasanya dia sudah ada jawapannya yang tersendiri. Dia hanya mahu mendengar jawapan yang sama seperti apa yang sedang bermain di fikirannya. Apabila jawapan kita berlainan dengan jawapan yang sudah terpahat di fikirannya, maka mulalah dia mempersoal jawapan kita.

Akhirnya ia berubah menjadi pertengkaran apabila ego menguasai diri. Kerana ego, kita menjawab bukan setakat ingin mempertahankan jawapan. Sebaliknya, kita menjawab dan berhujah untuk memenangi pertengkaran itu. Bukankah yang diingini dalam sesebuah pertanyaan ialah sebuah jawapan yang boleh menambah pengetahuan kita mengenai sesuatu perkara? Apabila terjadi soal jawab, bukankah masing-masing boleh bertukar fikiran dan mempunyai perspektif yang pelbagai mengenai tajuk yang dibincangkan? Siapa menang, siapa kalah bukan natijah yang kita sama-sama inginkan.

Janganlah serius sangat apabila bersoal jawab dalam suasana sembang-sembang. Ia hanya pertukaran pendapat mengikut agakan masing-masing. Masing-masing pun bukan pakar mengenai sesebuah topik yang diperbualkan. Justeru, berpada-padalah apabila bertukar pendapat dan pandangan jika kita bukan mereka yang terlibat secara langsung ataupun ahli di dalam bidang yang dibicarakan.

Bertengkar dan berbalah pada hal yang sebegitu hanya menghabiskan beras kerana sebenarnya ia adalah perangai orang yang tiada ilmu di dalam sesebuah bidang yang dibicarakan.



Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

0 Komentar untuk " Bila bersembang jadi bertengkar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ