Wakaf medium penggerak ekonomi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Wakaf medium penggerak ekonomi



WAKAF berperanan memperkasakan ekonomi dan memperkukuhkan komuniti ekonomi Bumiputera.

Timbalan Pengerusi Awqaf Holdings Berhad (Awqaf), Mohamad Sahar Mat Din berkata, sepatutnya wakaf dijadikan agenda arus perdana sistem ekonomi negara kerana sistem ekonomi yang diamalkan kini hanya mengulangi sistem sedia ada iaitu sistem kapitalis.

Menurutnya, model yang diguna pakai adalah kaya akan terus menjadi kaya dan tidak ada  konsep keadilan sedangkan ia adalah salah satu prinsip ekonomi Islam.

“Wakaf boleh menyusun semula sistem ekonomi negara. Pemikiran kita mengenai wakaf adalah instrumen tradisional, konvensional atau keperluan agama dan kebajikan seperti membangunkan masjid, madrasah dan pusat tahfiz dan pondok.

"Sedangkan wakaf ditransformasikan untuk membangunkan Islam seperti mana zaman kegemilangan Islam sebelum ini.

“Wakaf yang diperkenalkan Awqaf ialah Wakaf Korporat yang merupakan transformasi konsep Wakaf Konvensional yang ditadbir urus oleh entiti korporat secara profesional dan komersial,” katanya kepada Sinar Harian.

Wakaf Korporat

Mohamad Sahar berkata, Awqaf memperkenalkan Wakaf Korporat dengan membina perniagaan, menghimpun aset, menambah nilai dan memupuk daya keusahawanan yang mampu menjana peluang ekonomi baharu di kalangan masyarakat menerusi kaedah perniagaan korporat bersumberkan dana waqaf.

“Amalan mewakafkan harta kepada hak dan kepentingan orang ramai masih rendah di kalangan rakyat Malaysia kerana masih meneruskan pemilikan individu. Wakaf dapat menghapuskan sifat pentingkan diri sendiri dan memupuk seseorang mementingkan kepentingan orang lain melebihi diri sendiri,” katanya.

Jelasnya, dengan adanya wakaf, ia mampu meningkatkan ekonomi masyarakat dan meneruskan usaha memelihara kebajikan masyarakat.

“Melalui Awqaf yang menguruskan tadbir harta, kekuatan ekonomi umat Islam dapat dipelihara dengan penglibatan dalam projek komersial seperti pembangunan hartanah yang dapat menjana pendapatan lumayan.

“Pengenalan Wakaf Korporat masih baharu di Malaysia dan Awqaf perlu membuktikan peranannya dan menjadikan wakaf relevan dan bersesuaian dengan peredaran zaman,” katanya.

Wakaf serendah RM1,000

Katanya, pembangunan aset hartanah Awqaf yang pertama ialah aset hartanah komersial bernilai RM300 juta yang juga merupakan konsep Wakaf Korporat dibangunkan di Putrajaya dan yang pertama di dunia selepas diperkenalkan Pengerusi Awqaf, Tan Sri Muhammad Ali
Hashim.

“Saya mengalukan masyarakat di luar sana dan syarikat korporat membuat pelaburan wakaf dalam projek ini iaitu Taman Korporat Awqaf iaitu RM1,000, RM10,000 dan RM100,000. Setakat ini, jumlah yang diperolehi hampir RM900,000 dan menjangkakan menjelang akhir tahun ini, Awqaf akan menerima wakaf bernilai RM2 juta.

“Taman Korporat Awqaf ini menempatkan empat lot komersial yang dilengkapi pejabat, dewan persidangan, kafeteria dan unit kedai. Harga yang ditawarkan serendah RM450,000 seunit,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, pihaknya menerima 20 peratus tempahan dan menjelang 2016, ia akan meningkat.

“Pembangunan projek ini dibiayai sepenuhnya Awqaf yang menggunakan kira- kira 1/3 dana daripada dana wakaf selebihnya adalah diperolehi melalui jualan premis serta wang disumbangkan ahli wakaf.

“Setelah siap nanti, kita akan mengagihkan 30 peratus daripada jumlah keuntungan untuk tujuan kebajikan. Awqaf juga merancang untuk menjadikan Wakaf Korporat terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan,” katanya.

Mohamad Sahar berkata, dalam penguasaan ekonomi, umat Islam di negara ini perlu merebut peluang dalam pembangunan hartanah kerana ia penting dan perlu diberikan tumpuan bagi memastikan industri itu tidak dimonopoli bangsa tertentu.

“Kita perlu merebut peluang tersebut bagi memastikan keseimbangan ekonomi berdaya saing,” katanya.

0 Komentar untuk " Wakaf medium penggerak ekonomi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ