Peraturan IP ketat tidak galak inovasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peraturan IP ketat tidak galak inovasi

KEBANYAKAN negara di dunia adalah net intellectual property importer di mana pengimportan harta intelek ke dalam negara adalah lebih banyak dari jumlah yang dieksport.

Intellectual Property (IP) atau Harta Intelek ini boleh didefinisikan sebagai hasil rekaan minda seperti ciptaan (inventions), karya seni, penulisan, simbol, imej, perkataan, reka bentuk dan sebagainya yang didaftarkan sebagai hak eksklusif perekanya mengikut undang-undang sedia ada melalui hak paten (patent), cap dagang (trademark), hak cipta (copyright) dan lain-lain.

Sistem IP ini perlulah mengimbangi hak pereka dengan kepentingan masyarakat bagi mewujudkan suatu keadaan di mana lebih banyak hasil kreatif dan inovatif dapat dicipta dan dipasarkan untuk kegunaan ramai seterusnya menjanakan pendapatan bagi penciptanya.

Perlindungan harta intelek di Malaysia berada pada tahap agak tinggi di mana negara kita adalah penandatangan kepada Konvensyen Paris, Konvensyen Berne dan juga perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Intelek (TRIPS) di bawah naungan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Selain itu, Malaysia juga adalah ahli kepada Pertubuhan Harta Intelek Sedunia.

TRIPS menetapkan kadar minimum perlindungan dan penguatkuasaan oleh negara penandatangan. Namun, ia tidak melarang negara-negara terlibat bagi meletakkan standard lebih tinggi jika diperlukan.

Hak Intelek setiap warganegara harus dilindungi oleh semua negara penandatangan serta hak sama rata yang tidak merugikan perlu diberikan semua. TRIPS juga tidak menghalang negara penandatangan dari memilih untuk menegakkan polisi kesihatan dan menolak kepentingan komersial jika keadaan memerlukan.

Walaupun TRIPS dianggap komprehensif, ia dianggap tidak memadai bagi negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) yang menambah peraturan lebih ketat di dalam beberapa perjanjian perdagangan bebasnya (FTA) dan ini dikenali sebagai TRIPS-Plus atau TRIPS+.

AS menggunakan TRIPS-Plus di dalam beberapa FTA dengan negara-negara seperti Jordan  pada 2000, Chile (2003), Singapura (2003), Australia (2004), Morocco (2004) dan juga dengan Amerika Tengah di bawah CAFTA (2004).

Berbeza dengan TRIPS, TRIPS-Plus tidak mengambil kira tahap pembangunan sesebuah negara dan menganjurkan peraturan lebih ketat dari segi penguatkuasaan Hak Intelek mirip kepada undang-undang domestik AS.

Jika peraturan mirip TRIPS-Plus dimasukkan ke dalam perjanjian TPP, negara membangun akan menghadapi pelbagai masalah termasuklah dari segi kos untuk mengaplikasikannya.

Ada yang percaya, mengetatkan peraturan bagi IP akan menggalakkan inovasi dan menambah pelaburan langsung asing (FDI). Walau bagaimanapun, kajian tempatan yang dilakukan Ida Madieha Azmi dan Rokiah Alavi (TRIPS, Patents, Technology Transfer, Foreign Direct Investment and the Pharmaceutical Industry in Malaysia) menunjukkan bahawa perlindungan IP yang lebih ketat tidak semestinya akan menjana lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara seperti pembinaan kilang, technology transfer atau pemindahan teknologi serta peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Malah, mereka merumuskan: 'Sesungguhnya, Malaysia hanyalah pengikut teknologi dan tidak akan mendapat manfaat dari undang-undang hak paten yang lebih ketat melainkan jika langkah-langkah lebih drastik dan komprehensif dilakukan untuk menambah baik kapasiti teknologinya.”

Jika Malaysia menandatangani perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPP), kita akan dibebankan dengan undang-undang lebih ketat yang mungkin akan menghalang penjanaan hasil kreatif dan inovasi.

Ini kerana kebanyakan produk baharu yang dihasil merupakan penambahbaikan atau menggunakan teknologi sedia ada dan bukan 100 peratus rekaan baharu secara total. TPP akan menghalang proses adaptasi berikut.

Walaupun voluntary licence boleh diberikan kepada pihak lain untuk mengadaptasi sebuah produk asal, tidak ramai pemegang paten sanggup memberikan hak sementara ini kerana mereka bimbang produk baru itu akan memberi saingan hebat kepada produk keluaran mereka.

Sejak 2009, lebih 1,000 permohonan paten atau inovasi kepada produk sedia ada (utility innovation) diterima MyIPO (Intellectual Property Corporation of Malaysia) setiap tahun dari pemohon tempatan. Data menunjukkan pemohon asing lebih ramai dari pemohon tempatan.

Pada 2014, sebanyak 6,321 pendaftaran asing direkodkan berbanding 1,439 permohonan (18.5 peratus) yang dihantar warga Malaysia. Pada tahun sama, 86 peratus kelulusan dari keseluruhan permohonan paten/inovasi diberikan kepada pihak asing.

Pembayaran royalti yang disalurkan ke luar negara merugikan Malaysia. Trend ini tidak pernah berubah sejak sistem ini diwujudkan di Malaysia hampir tiga dekad yang lalu.

Persoalannya, adakah perlindungan IP yang lebih ketat diperlukan untuk menjana inovasi di Malaysia?

Kajian dilakukan beberapa ahli akademik Korea mendapati perlindungan paten lebih kuat hanya diperlukan apabila negara itu sudah mencapai tahap inovasi lebih matang.

Laporan The Economics of Intellectual Property in the Republic of Korea ini juga menganjurkan tahap perlindungan Hak Intelek sesebuah negara perlu mengambil kira tahap pembangunan ekonominya.

Tahap perlindungan IP yang tinggi tidak sesuai bagi negara-negara yang mempunyai kebolehan teknologi yang masih rendah.

Beatrice Lindstrom, di dalam kajiannya mengenai impak TRIPS-Plus kepada negara di Asia Pasifik, menyatakan akan ada peralihan dari segi penghasilan ciptaan baru dan inovasi dari negara Barat ke negara Timur; terutamanya dengan pelaburan yang dibuat dalam sektor pendidikan seperti di India dan China yang menyaksikan lebih ramai graduan dilahirkan dalam bidang kejuruteraan, contohnya, berbanding dengan di AS pada waktu yang sama.

Oleh itu, katanya, TRIPS-Plus tidak akan mendatangkan faedah besar kepada AS pada jangka masa panjang apabila pusat inovasi berpindah ke Asia.

Malaysia perlu menghasilkan lebih ramai saintis dan pencipta yang dapat menghasilkan produk atau ciptaan baru.

Oleh itu, kerajaan patut memperuntukkan lebih banyak dana dalam sektor pendidikan bagi melahirkan lebih ramai inventor tempatan dan juga geran dan sokongan bagi aktiviti R&D serta penghasilan produk dan teknologi baru dan bukan membazirkan wang dengan meneruskan perundingan TPP yang mengekang negara membangun dari meningkatkan daya usaha kreativiti rakyatnya.

Kita perlu berazam untuk menjadi 'net intellectual property exporter pada suatu hari nanti dan bukan kekal sebagai net intellectual property importer.

Related Post

0 Komentar untuk " Peraturan IP ketat tidak galak inovasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ