Hati-hati dengan ejen penipu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hati-hati dengan ejen penipu

CHERYL (bukan nama sebenar) bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur. Dengan pendapatan bulanan RM4,500, sepatutnya sudah cukup baginya untuk menampung hidupnya di ibu kota memandangkan masih bujang.

Tetapi, Cheryl sebenarnya mempunyai baki tertunggak kad kredit hampir RM80,000 kerana kerap melancong ke luar negara sejak beberapa tahun ini.

Menurut Cheryl, dia melancong ke luar negara setiap hujung tahun dan gemar beli dan mengumpul barangan antik daripada negara dilawatinya.

Cheryl tidak sedar hutang kad kreditnya meningkat akibat digunakan untuk melancong sehingga tidak mampu untuk membayar hutang kad kredit tersebut walaupun bayaran minimum sebanyak lima peratus.

Dalam keinginan Cheryl membayar balik hutang kad kreditnya, dia terbaca mengenai satu syarikat pengurusan hutang yang boleh membantu menyelesaikan masalah hutang.

Selepas menelefon syarikat itu, satu pertemuan diaturkan antara Cheryl dengan wakil syarikat. Setelah perundingan dilakukan, wakil syarikat itu berjaya meyakinkan Cheryl, mereka boleh berbincang dengan pihak bank untuk menyelesaikan hutangnya dan meminta bayaran RM8,000 iaitu sepuluh peratus daripada jumlah hutang Cheryl .

Tanpa berfikir panjang, Cheryl terus memberikan RM8,000 kepada wakil syarikat itu. Namun selepas beberapa hari menunggu, tiada panggilan telefon diterima. Cheryl juga beberapa kali menelefon tetapi gagal.

Barulah Cheryl sedar, dirinya ditipu. Sudahlah hutang kad kreditnya tidak dapat diselesaikan, ditambah kehilangan RM8,000 akibat ditipu wakil syarikat tersebut. Dengan perasaan kecewa, Cheryl pergi ke bank pengeluar kad kreditnya memohon bantuan.

Pihak bank menasihatkannya pergi ke AKPK untuk mendapatkan bantuan.

Kaunselor AKPK memberitahu Cheryl, memang ada sindiket penipuan di mana terdapat mereka yang mengaku wakil daripada sesebuah agensi, termasuk AKPK yang boleh membantu menyelesaikan hutang dengan pihak bank dan meminta sejumlah wang kononnya sebagai bayaran fi kepada proses tersebut.

Tetapi akhirnya mereka hilang selepas menerima wang daripada mangsa. Kaunselor juga memberitahu Cheryl, perkhidmatan AKPK adalah percuma dan orang ramai boleh datang terus ke pejabat AKPK untuk berurusan. Cheryl kemudian dibantu buat pelan pembayaran balik hutangnya dengan jumlah  mampu dibayar setiap bulan.

Cheryl berjanji akan membayar balik hutangnya kepada bank dan berasa gembira kerana akhirnya bebanan hutangnya dapat diselesaikan. Dia berazam untuk menjejaki perbelanjaan mengikut kemampuannya, seperti kata pepatah “Ukur baju di badan sendiri”.

0 Komentar untuk " Hati-hati dengan ejen penipu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ