Papar elemen nano pada produk - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Papar elemen nano pada produk

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyarankan syarikat yang menggunakan teknologi nano supaya memaparkan bahan berkenaan pada label produk mereka.

Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata, beberapa produk buatan tempatan sebenarnya sudah menggunakan teknologi nano sehingga kini.

“Antaranya termasuklah beberapa barangan elektronik seperti cakera keras (hard disk) dan lampu diod pemancar cahaya (LED). Begitu juga barangan kosmetik tertentu.

“Bagaimanapun, ada syarikat berkenaan tidak mempamerkan teknologi berkenaan pada produk mereka. Walhal, ia mampu memperluaskan penggunaan barangan itu,” katanya sempena Festival Kreativiti dan Nano di Pusat Sains Negara cawangan Wilayah Utara (PSNCWU), Gunung Keriang, Alor Setar, semalam.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Pusat Sains Negara, Misbah Jimbun dan Setiausaha Bahagian Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND), Dr Abdul Kadir Masrom.

Dr Noorul Ainur berkata, teknologi nano diperkenal pada 2000 dan memiliki banyak kelebihan antaranya dari segi perubatan.

Katanya, penggunaan teknologi nano dalam produk adalah menjimatkan, berkesan, tahan lama dan mesra alam kepada penggunanya sendiri.

"Teknologi nano bukan hanya memiliki manfaat seperti produk mesra alam malah ia dilihat mampu mencapai nilai pasaran dunia ASD 3 trilion (RM11.78 trilion) nanti.

"Mosti akan memberi fokus penggunaan teknologi nano dalam beberapa sektor iaitu pertanian dan makanan, perubatan, tenaga dan alam sekitar serta elektronik," katanya.

Menurutnya, Mosti enggan ketinggalan dalam teknologi nano untuk mencapai taraf negara maju.

"Nano Technology Graphene Plan ditubuhkan dua tahun lalu bagi membolehkan orang ramai memahami teknologi nano dengan lebih mendalam," katanya.

0 Komentar untuk " Papar elemen nano pada produk "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ