SEKUMPULAN Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta inovasi dalam bidang pemakanan bagi mengurangkan pembaziran makanan.
Ia bukan sahaja memberi manfaat kesihatan terutamanya kepada golongan yang amat mementingkan kualiti kesihatan terbaik untuk diri mereka.
Bagi yang berumur 30 tahun ke atas, cara pemakanan sihat dan rendah kolesterol mampu menangkis masalah kesihatan yang sering kali membelenggu golongan itu seperti diabetes, serangan jantung, strok dan sebagainya yang berpunca daripada makanan berminyak dan berlemak.
Bertitik tolak daripada kegerunan masyarakat terhadap penyakit yang berpunca daripada makanan, idea minyak Afdhal dicipta Prof Dr Suhaila Mohamed dari Institut Biosains UPM.
Menurutnya, minyak tersebut diformulasikan secara saintifik daripada ekstrak herba semulajadi yang boleh dimakan.
“Minyak ini boleh dijadikan sebagai bahan penambah dalam minyak masak untuk menggoreng.
“Ia juga sesuai dijadikan penambah perasa bagi salad sayur dan buah-buahan untuk menyedapkan lagi makanan ini,” katanya.
Prof Dr Suhaila berkata, kelebihan utama minyak Afdhal dapat memberi faedah kesihatan kepada pengguna.
Katanya, minyak tersebut dapat mengurangkan penyerapan minyak dalam makanan goreng.
“Ia juga dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol darah dan trigliserida.
“Produk ini mampu mengurangkan penyerapan minyak sehingga 85 peratus dalam makanan goreng,” katanya.
Beliau berkata, kelebihan minyak itu kepada pengguna adalah dapat membantu pengguna mencegah penyakit kardiovaskular dan kanser.
Boleh diguna 80 kali
Menurut beliau, minyak masak tersebut boleh digunakan secara berulang sebanyak 80 kali menggoreng dalam satu penggunaan.
Katanya, inovasi itu dapat mengelakkan pembaziran dalam penggunaan minyak untuk menggoreng dan digunakan berulang kali.
“Antara kelebihan lain produk ini, ia kaya dengan antioksida yang tinggi, antibakteria dan antihistamin.
“Semua bahan ini dapat meningkatkan tahap garing, rasa dan kualiti makanan goreng supaya bertahan lebih lama berbanding minyak biasa,” katanya.
Beliau berkata, minyak Afdhal dapat mencegah kerosakan minyak semasa menggoreng atau disimpan dalam bekas.
Katanya, teknologi yang diguna menjadikan makanan goreng kurang berbahaya kepada kesihatan.
Menurutnya, penghasilan nama minyak Afdhal pula diambil berdasarkan lima konsep utama menghasilkan minyak tersebut, iaitu anti-oksida (Antioxidant), bebas lemak tepu (Free of trans-fats), mengurangkan pembaziran (Decrease wastage, spoilage and allergy), kelebihan kesihatan (have health benefits), makanan tidak menyerap minyak (Anti-oil absorped in food) dan memanjangkan tempoh penggunaan (lengthen oil life and usage).
Terima pelbagai anugerah
Bagi Prof Dr Suhaila, penyelidikan bermula sejak 2008 itu, masih dalam proses penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Katanya, usaha keras yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu itu, turut mendapat geran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Kami juga mempunyai beberapa paten termasuklah di Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Singapura, Malaysia, Vietnam, India, Japan, China dan Indonesia.
“Usaha tanpa kenal putus asa ini turut memenangi beberapa anugerah dalam pelbagai pertandingan merupakan satu pencapaian membanggakan buat kami,” katanya.
Antara pencapaian yang diterima adalah pingat emas di BioMalaysia Award 2012, pingat perak di dalam pameran penyelidikan PECIPTA 2013 dan penghargaan di Malam Inovasi Kementerian Pendidikan 2013.
0 Komentar untuk " Manfaat minyak Afdhal untuk badan "