Larangan bersumpah tinggalkan kebaikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Larangan bersumpah tinggalkan kebaikan



Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 224)

Di hujung ayat 223, surah al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan orang beriman yang bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan mereka jangan menderhakai serta menyalahi perintah-Nya. Di sini Allah SWT menyebut antara perbuatan perlu dijaga dan ditakuti adalah bersumpah dengan nama Allah SWT sebagai penghalang melakukan kebaikan, ketakwaan atau melakukan islah sesama manusia.

Syeikh Muhammad Tantawi ketika menghuraikan ayat itu menyatakan maksudnya ialah janganlah engkau jadikan bersumpah dengan nama Allah SWT suatu penghalang bagi kamu daripada berbuat kebaktian, takwa dan islah di antara orang ramai. Ada sebahagian manusia apabila diajak melakukan kebaikan tetapi dia tidak mengingininya lalu dia menyatakan, "Aku bersumpah dengan nama Allah aku tidak akan melakukannya," lalu Allah SWT dalam ayat ini melarang perbuatan itu.

Syeikh Al-Maraghy dalam tafsirnya menambah, jika kamu bersumpah tidak mahu melakukan perbuatan itu, maka hendaklah kamu membayar kifarat sumpah dan buatlah kebaikan kerana membuat kebaktian, takwa dan islah itu lebih baik daripada berpegang dengan sumpah. Sebahagian mufassirin menghubungkan ayat ini dengan peristiwa yang berlaku kepada Abdullah bin Rawahah, seorang sahabat nabi yang bersumpah dengan menggunakan nama Allah SWT untuk tidak masuk campur urusan iparnya, Bashir bin al-Nu'man dan tidak berusaha mendamaikannya dengan isterinya. Dengan alasan dia bersumpah untuk tidak masuk campur urusan mereka, tidak harus baginya melanggar sumpahnya lalu ayat ini dinuzulkan.

Kisah Saidina Abu Bakar

Ayat ini mempunyai persamaan dari sudut larangan bersumpah untuk meninggalkan kebaikan seperti yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar As-Sidiq yang bersumpah tidak akan lagi akan memberi nafkah kepada kerabatnya yang terbabit memfitnah anaknya Aisyah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nur, ayat 22)

Allah SWT menegur Abu Bakar dan semua orang yang mempunyai kelebihan supaya memberi bantuan kepada orang miskin, kaum muhajirin dan sesiapa sahaja memerlukan bantuan. Janganlah mereka bersumpah untuk tidak memberi bantuan kerana orang terbabit pernah melakukan kesalahan. Apa yang sepatutnya ialah orang berharta dan berkelapangan itu berjiwa besar, berlapang dada dengan memaafkan kesalahan mereka. Apabila Abu Bakar mendengar ayat itu, beliau memaafkan Misthah Ibnu Asasah dan membatalkan sumpahnya serta meneruskan bantuannya kepada Misthah seperti biasa. Allah Maha Mengetahui sumpah yang dilafazkan dan niat yang tersimpan di hati, sama ada baik atau buruk. Oleh itu, janganlah menjadikan sumpah sebagai alasan untuk tidak menyumbang kepada ketakwaan dan kedamaian sesama manusia. Ibnu Abbas berkata, ayat itu memberi pengertian jangan kamu jadikan sumpah sebagai penghalang daripada melakukan kebaikan, sebaliknya jika kamu sudah bersumpah, keluarkanlah bayaran kifarat sumpah dan buatlah kebaikan.

Bayar kifarah 

Jika kamu bersumpah untuk tidak berbuat kebaktian, tidak bertakwa dan tidak berlaku islah kepada orang ramai, maka kamu lebih baik tidak berpegang dengan sumpah itu, sebaliknya bayarlah kifarat sumpah dan berbuatlah kebaikan. Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membuat sesuatu sumpah, kemudian dia melihat sesuatu yang lain lebih baik daripada sumpah itu, maka hendaklah dia melakukannya (melanggar sumpah) dan hendaklah membayar kifarat sumpahnya." (Riwayat Muslim) Berpandukan hadis dan sebab nuzul ayat berkenaan, sumpah tidak digalakkan terutama apabila amalan kebaktian terhalang. Sumpah menggunakan nama Allah SWT sepatutnya berperanan bagi mengukuhkan sesuatu untuk tujuan positif bukan yang negatif.

Oleh sebab itu, Allah SWT melarang kita melakukan perbuatan sedemikian dan menyuruh memilih cara yang baik. Jika bersumpah untuk meninggalkan sesuatu, pasti kita boleh lakukan dengan syarat kita wajib membayar kifarat sumpahnya. Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, sesungguhnya jika seseorang kamu terus berdegil dengan sumpahnya terhadap ahlinya (sedang dia melihat ada yang lebih baik daripada sumpahnya) maka perbuatan itu adalah berdosa baginya di sisi Allah daripada membayar kifarat sumpahnya yang sudah diwajibkan Allah ke atasnya." (Riwayat Bukhari)

Hubungan antara suami isteri sering kali berlaku keretakan disebabkan pelbagai cabaran dan masalah dalam rumah tangga. Islam mahukan jalan penyelesaian dicari supaya krisis tidak berlarutan sehingga akhirnya membawa kepada perceraian. Keluarga dan masyarakat sekitar tidak seharusnya memandang kecil perkara ini kerana sesebuah rumah tangga bagaikan satu jasad, kadang-kadang jasad ini diserang demam ringan yang perlu dicarikan ubatnya dengan segera, semakin lewat mencari ubat semakin bertambah penyakit sedia ada. Talak atau pembubaran ikatan perkahwinan adalah jalan yang terakhir selepas semua ubat tidak lagi berkesan. Namun, nama Allah SWT tidak boleh disalahgunakan bagi tujuan yang salah dan tidak membina. Jika ada sesuatu yang mendatangkan kebajikan, jangan jadikan sumpah sebagai halangan berbuat kebaikan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71764
0 Komentar untuk " Larangan bersumpah tinggalkan kebaikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ