Jual aset buka Al Hamra Heritage - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jual aset buka Al Hamra Heritage

SEMBILAN tahun bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di salah sebuah syarikat swasta, Norazlin Osman mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga empat anaknya.

Namun, sudah menjadi kebiasaan jika seseorang itu sudah biasa melakukan kerja dan apabila duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa di waktu lapang, akan mula merasa tidak senang duduk.

Itulah yang dialami oleh Norazlin selepas berhenti kerja dan dia mula berfikir untuk mencari sesuatu pekerjaan yang mampu mengisi masa terluangnya supaya dapat dimanfaatkan.

“Saya dah biasa bekerja dan bila duduk rumah selepas selesai kerja rumah, saya tidak tahu untuk lakukan apa. Jadi saya mula berfikir untuk memulakan perniagaan.

“Bila ada peluang untuk berniaga saya tidak teragak-agak untuk merebutnya dan saya ambil keputusan untuk membuka butik pakaian di Seksyen 7, Shah Alam, dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di butiknya di Shah Alam, Selangor.

Menurut Norazlin, keluarganya juga merupakan usahawan bermula daripada ayahnya dan diikuti adik-beradiknya yang lain.

“Saya mula berniaga secara tidak langsung sudah lebih lima tahun, cuma masa itu saya bekerja dan peluang untuk berniaga tidak banyak ketika itu.

“Kemudian, selepas berhenti kerja, saya mula mengambil langkah membuka butik Al Hamra Heritage di Shah Alam, dua tahun lalu dengan menjual aset yang saya ada sebagai modal permulaan,” katanya.

Hampir semua ahli keluarga berniaga

Lebih menarik lagi, keluarga Norazlin merupakan golongan usahawan, di mana ayahnya seorang usahawan begitu juga abang-abangnya yang lain.

Menurutnya, minat untuk berniaga sudah lama ada dalam dirinya sejak kecil lagi, namun peluang untuk menjalankan perniagaan masih belum ada sehinggalah selepas dia berhenti kerja.

“Saya mempunyai 11 beradik, sembilan lelaki dan dua perempuan di mana saya merupakan anak bongsu. Untuk pengetahuan, abang-abang saya juga merupakan usahawan.

“Kami semua memang minat berniaga dan darah usahawan itu memang sudah mengalir dalam diri kami adik-beradik dan kerana itu 99 peratus daripada kami merupakan usahawan,” katanya.

Norazlin berkata, pengalamannya melihat ayah serta abang-abangnya berniaga sudah cukup menggambarkan betapa sukar memulakan perniagaan kerana mereka bermula daripada kosong.

“Kalau kita tidak minat dan yakin untuk berniaga lebih baik jangan teruskan kerana cabaran yang akan kita hadapi bila berniaga bukanlah mudah dan saya sendiri melihatnya dalam keluarga saya.

“Tetapi Alhamdulillah suami dan anak-anak saya paling banyak menyokong saya, begitu juga keluarga saya yang tidak henti memberi tunjuk ajar melalui pengalaman dan ilmu yang diajar ayah saya,” katanya.

Cabaran sentiasa ada

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya selama bergelar usahawan, Norazlin berkata, dalam perniagaan cabaran sentiasa akan ada sejak memulakannya sehinggalah sekarang.

“Masa mula berniaga saya perlu menjimatkan kos memandangkan modal terhad. Jadi saya berfikir bagaimana untuk menjimatkan kos tetapi dapat menghasilkan butik yang cantik.

“Untuk itu, saya sendiri yang mencari dan membeli barang hiasan yang murah dan mengupah orang untuk melakukannya berbanding mengupah kontraktor yang sudah pasti meletakkan harga tinggi,” katanya.

Norazlin juga turut menghadapi kesukaran apabila ramai yang bertanya kepadanya mengapa memilih membuka butik pakaian memandangkan sekarang terlalu banyak perniagaan seumpamanya.

“Saya sudah tahu situasi dan risiko tersebut kerana sebelum membuka butik, saya sudah melakukan tinjauan sekitar Seksyen 7, Shah Alam di mana terdapat 39 butik pakaian ketika itu.

“Tetapi saya berfikir lain daripada yang lain dan mengambil keputusan membuka butik Al Hamra Heritage yang menyasarkan golongan berumur 30 tahun ke atas sebagai pelanggan dan juga golongan muda,” katanya.

Norazlin juga tidak lokek memberi nasihat kepada usahawan di luar sana supaya mempunyai ilmu mengenai perniagaan, mentor untuk membimbing dan kuat dari segi mental.

"Dalam dunia perniagaan jika dilihat dari luar memang indah terutamanya mendengar cerita untung, tetapi harus diketahui bahawa cabarannya terlalu luas dan memerlukan ilmu serta mentor membimbing kita.

"Paling penting bila berniaga jangan pernah campurkan duit perniagaan dengan wang peribadi kita kerana ia diibaratkan seperti merompak perniagaan sendiri dan akan menyebabkan perniagaan kita gulung tikar," katanya.

0 Komentar untuk " Jual aset buka Al Hamra Heritage "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ