Labur RM1.5j buka restoran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Labur RM1.5j buka restoran

RANGKAIAN restoran berkonsepkan sajian Cina Muslim dari Selatan China, Amber Chinese Muslim Restaurant melebarkan sayap perniagaan dengan membuka cawangan pertamanya di Malaysia dengan pelaburan RM1.5 juta.

Pengarahnya, Ismail Nuh @ Cui Wei berkata, pemilihan Malaysia itu dibuat kerana negara ini sangat dekat di hati beliau, selain menjadi tumpuan masyarakat Cina Muslim untuk melancong di sini.

“Saya pernah menetap di Terengganu lima tahun pada 1994 memandangkan saya antara 30 pelajar Cina Muslim dari China yang diterima belajar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk ikuti pengajian di Terengganu.

“Selain itu, saya tertarik budaya umat Islam di sini. Malah, hubungan baik antara China dan Malaysia dari segi ekonomi juga memberi peluang luas untuk Amber Chinese Muslim Restaurant berkembang,” katanya ketika majlis pra pelancaran Amber Chinese Muslim Restaurant di Kuala Lumpur.

Ismail berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka 15 lagi cawangan di negara ini dalam tempoh dua tahun bagi mengukuhkan jenama Amber Chinese Muslim Restaurant di Malaysia.

“Pada tahun ini, kami akan buka dua cawangan iaitu di Kuala Terengganu, Terengganu dan Kuala Lumpur. Di Kuala Terengganu, kami sudah kenal pasti dua lokasi sesuai, namun masih belum buat pilihan, manakala di Kuala Lumpur, kami akan buka sama ada di Kampung Baru atau Ampang.

“Kami merancang buka dua konsep restoran melibatkan restoran komprehensif yang merangkumi menu seperti mi tarik, hidangan ala carte dan masakan panggang dan satu lagi pula berkonsepkan perkhidmatan segera yang hanya menyajikan mi tarik sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai hidangan Cina Muslim di restoran itu, beliau berkata, pihaknya guna rempah ratus dibawa khas daripada China bagi mengekalkan rasa tradisional, selain bahan masakan diguna tidak terdapat di pasaran tempatan.

Amber Chinese Muslim Restaurant yang beroperasi di Bangsar itu menawarkan lebih 40 menu makanan bertaraf lima bintang, antaranya mi tarik daging cincang, kambing rebus bersama sos kuning, sotong bakar dan kebab ayam dengan harga bermula RM2 hingga RM48.

Restoran berasal dari Lanzhou, China yang beroperasi sejak 2009 itu merupakan anak syarikat Amber Group Holdings dan mempunyai 19 cawangan di seluruh China.

0 Komentar untuk " Labur RM1.5j buka restoran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ