C-Drac ganti penutup longkang besi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

C-Drac ganti penutup longkang besi

SITUASI hampir terjatuh atau kaki tersadung dalam longkang mungkin pernah dialami segelintir individu.

Ini kerana, kebanyakan penutup longkang sedia ada yang diperbuat daripada besi, sering menjadi sasaran kecurian oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan atas angin memandangkan logam ada nilai pasaran yang tinggi.

Kes kecurian itu juga memberikan implikasi tinggi kepada pihak tertentu seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengalami kerugian menggantikan semula penutup lubang atau longkang yang hilang.

Walaupun ada sesetengah kawasan menggunakan konkrit menutup longkang seperti di jalan-jalan besar, namun bahan itu tetap mengandungi unsur besi di dalamnya.

Ia menyebabkan kesukaran untuk mengangkat dan mengangkut penutup longkang tersebut akibat bebanan besi itu.

Menyedari perkara itu, pensyarah di Jabatan Mekanikal (Industri Mekanik), Institut Kemahiran Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Lumpur, Mohamad Shahidan Roslan tampil mencipta penutup longkang komposit yang lebih dikenali sebagai ‘Composit Drain Cover’ (C-Drac).

Mohamad Shahidan tidak berseorangan mencipta inovasi itu, sebaliknya beliau dibantu oleh dua rakannya, Mustafar Muhammad dan Juraidi Jamal.

Guna bahan semula jadi

Menariknya, C-Drac ciptaan mereka itu dihasilkan dengan menggunakan bahan semula jadi berteknologi hijau tidak membahayakan pengguna iaitu hampas kelapa.

Mohamad Shahidan berkata, idea menggunakan hampas kelapa itu timbul selepas melihat orang mengumpul bahan itu di pasar yang akhirnya dibuang begitu sahaja apabila ia tidak lagi digunakan.

“Saya lihat orang bagi ayam makan hampas kelapa, tetapi dalam kuantiti yang sedikit, selebihnya pula dibuang. Saya merasakan berlaku pembaziran di situ.

“Bermula dari situ, saya bersama dengan rakan-rakan pembantu saya menjalankan penyelidikan sendiri untuk menghasilkan penutup longkang daripada komposit hampas kelapa,” katanya.

Menurutnya, kajian hampas kelapa yang dijalankan bermula 2011 itu mengambil tempoh masa lama sehingga 2013 untuk mencari komposisi yang sesuai bagi menghasilkan penutup longkang yang kukuh dan tahan lama.

“Kami juga perlu mencari kaedah rawatan terhadap hampas kelapa supaya ia tidak berkulat kerana haiwan dan serangga suka dengan komposit. Selepas itu, barulah kami menghasilkan C-Drac menggunakan hampas kelapa ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil produk yang diperoleh itu diuji ketahanannya dari segi suhu, cuaca, berat dan sebagainya dengan merujuk American Society Testing Material (ASTM).

“C-Drac ini mampu bertahan dalam tempoh lima tahun atau lebih.

“Pengguna tidak perlu risau dengan kos penyelenggaraannya kerana harganya yang murah memandangkan penutup longkang komposit ini boleh dikitar semula dengan meleburkannya dan membuatnya semula,” katanya.

C-Drac itu juga telah dipatenkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada awal tahun lalu.

Penutup longkang komposit itu boleh digunakan di pelbagai tempat seperti sekolah, premis kerajaan dan kawasan perumahan.

Mula komersialkan C-Drac

Bermula tahun ini, Mohamad Shahidan melakukan pensampelan C-Drac untuk tujuan komersial. Beliau berkata, mereka menerima geran sebanyak RM30,000 daripada Unit Inovasi Mara sebagai usaha pra mengkomersialkan C-Drac.

“Kami sudah letak sampel C-Drac di sekolah dan bangunan awam supaya mereka boleh melihat dan mencubanya sendiri. Jika berminat, mereka boleh mula menempahnya,” katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan, mereka akan mengeluarkan 90 C-Drac melibatkan tiga varian berbeza mengikut ketahanan berat iaitu 400 kilogram (kg), 500 kg dan 1,000 kg yang dijual pada harga antara RM40 hingga RM50.

Katanya, C-Drac yang dihasilkan mengikut saiz standard longkang di negara ini.

“Jika mendapat sambutan ramai, kami akan memikirkan langkah untuk mengeluarkan C-Drac secara besar-besaran supaya manfaatnya dapat dirasai semua orang.

“Setakat ini, ada beberapa pihak yang menunjukkan minat dengan C-Drac kami. Kami akan mula mengkomersialkan tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Muhammad Aziph Mustapha berkata, C-Drac antara satu produk menarik yang bertanding dalam 'Cabaran Inovasi Inklusif' anjuran YIM, April lalu dan berjaya memenangi tempat ketiga.

"Di YIM, kami sentiasa menghargai semua inovasi akar umbi yang kami temui. Sekiranya inovasi tersebut mempunyai potensi untuk dibangunkan, kami sedia memberikan sokongan," katanya.

0 Komentar untuk " C-Drac ganti penutup longkang besi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ