Adat muda merindu, adat tua melara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Adat muda merindu, adat tua melara

‘ADAT muda menanggung rindu’ ialah ungkapan frasa yang membawa pengertian betapa romantisnya satu tahap hidup manusia dalam proses pertumbuhannya.

Frasa itu sering tersurat dalam kisah kepahlawanan ketika jejaka bersantai dalam hutan atau di tepi laut selepas berjaya dalam pertentangan, sedangkan ingatan kepada kekasih manis di kampung halaman begitu menerawang.

Lagu lunak yang  berpantun kuiz, dondang sayang,  bukan saja sentiasa menampung frasa begitu malahan digenapkan pula  dengan humor.

Oleh itu sepadanlah Saloma menempah nama kemasyhurannya dengan kata-kata manis itu yang amat dekat dengan sentimen hati orang muda dalam lagunya Madah Pujangga kira-kira 60 tahun dulu.

Ia bertepatan dengan kemasukan Jins Shamsuddin dalam dunia filem apabila beliau lulus ujian lakon layar untuk menjadi seorang pelakon di Studio Jalan Ampas, Singapura. Ujian itu dikendalikan sendiri oleh P Ramlee dengan menggunakan set untuk filem Anakku Sazali di mana P Ramlee menjadi heronya.

Kenapa Jins disebutkan di sini ialah memandangkan nasib yang dialaminya seperti  yang tertera dalam akhbar ini beberapa hari lepas sempena filem arahannya, Bukit Kepong, didigitkan untuk ditayangkan semula pada ulang tahun kemerdekaan nanti.

Seorang yang kacak dan lampai sehingga akhir-akhir ini berubah begitu rupa dilanda penyakit yang secara saintifik dipanggil Alzheimer, mungkin boleh disebutkan sebagai kenyanyukan, di mana ingatan begitu terjejas sehingga tidak tahu di mana berada, sudah makan atau belum, atau entah berentah siapa di sekeliling dan mereka yang dikawani begitu lama.

Justeru, Jins yang disayangi berjuta peminat begitu lama, sejak zaman muda yang menanggung rindu hingga ke zaman tua yang menanggung lara.

Kali akhir saya berjumpa Jins ialah di perayaan merdeka di Stadium Merdeka apabila stadium bersejarah itu digunakan semula buat pertama kali setelah begitu lama terbiar.

Beliau baru mendapat anugerah Tan Sri. Meskipun berusia 72 tahun, beliau masih kacak. Tidak ada kebongkokan atau kegemukan. Kini beliau berusia 80 tahun.
Suatu ketika saya pernah bertanyakannya, bagaimana beliau kekal langsing?

“Ibu saya kata, jangan makan sampai kenyang,” jawab Jins. Mungkin betul, mungkin tidak; tetapi saya lebih cenderung untuk mempercayai bahawa Jins diberikan Tuhan anatomi yang tidak boleh menjadikannya gemuk.

Saya mempunyai kawan di kampung asal saya yang kekal langsing baik apa dan sebanyak mana dia makan, namun sebagai manusia biasa, dia tidak lari dihinggapi penyakit seperti orang lain juga.

Maka penyakit yang dialami Jins kini masih belum mempunyai ubat yang terbukti boleh menyembuhkan, tetapi kejumpaan ubat terakhir sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa tidak berapa lama lagi akan ada ubat berkenaan di jual di rak farmasi.

Soalnya ialah masa – dan bilakah gerangannya. Kekayaan dan keanehan hidup membuka selera makan dan aktiviti hidup seluas mungkin tetapi selepas  menikmati segalanya itu akan menunggu di hari tua - yang selalu disebut ‘kemudian hari’ - iaitu akibatnya. Lemah jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, tulang-tulang, sendi-sendi dan sebutlah pelbagai lagi.

Maka sang doktor pula tidak habis-habis memberikan nasihat agar kita harus makan berpatutan, jangan terlebih makan apa-apa saja, makan mesti berimbang, kerap mengikuti senaman dan sebagainya lagi. Namun itu semuanya ialah realiti lagu lara orang tua dan lagu rindu si anak muda.

Kata arwah bapa saudara saya ketika beliau berusia lebih 50 tahun: “Masa muda, kita rasa tak akan mati…” Pada masa itu dua kelengkeng kakinya sudah dipotong kerana sakit kebisaan darah.

Kata-katanya itu terarah kepada dua perkara: ibadat dan senaman. Beribadat bagaikan akan mati esok. Bersenam bagaikan hidup berpanjangan.

Beliau giat mengikuti rejim senaman yang tunjuk ajar bertulis dibelinya melalui pos dari sebuah entiti di Ipoh selepas beliau membaca sebuah iklan di akhbar.

Kehidupan lara seorang tua dalam usia 70an membawa saya kepada Harry and Tonto, sebuah filem Hollywood yang memenangi Oscar 1974 untuk pelakon lelaki terbaik, Art Carney.

Ketuaan dan ketidakmampuan membayar sewa membuatkan beliau terpaksa keluar dari sebuah apartmen di New York, lalu beliau menjelajah jauh ke arah barat kota raya itu untuk bersua dengan anak-anaknya. Kawan baiknya begitu lama, Tonto, seekor kucing pintar, menjadi teman perjalanannya. Pengertian hidupnya berlegar di sekitar kerenah Tonto.

Berjumpa dengan anak perempuannya , beliau berasa riang bagaikan anaknya masih dalam kemanjaan, tetapi beliau hampa kerana kemanjaan yang ditunjukkan Harry sudah salah tempat dan waktu, malah amat mengganggu.

Pergi pula ke rumah anak lelakinya, tetapi ternyata anaknya menghadapi masalah hidup yang lebih besar, bukan rindu seorang muda tetapi lara sebelum tua. Namun, Harry adalah potret seorang yang sihat!  
             
Muda-muda kerinduan semua, tua-tua monopoli bersama - dengan izin usia, InsyaAllah.  Ibadat semestinya; kesihatan jangan diabaikan.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Adat muda merindu, adat tua melara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ