3D Scrabble bantu hafal formula kimia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

3D Scrabble bantu hafal formula kimia

KESUSAHAN menghafal dan mengingati formula, struktur kimia, persamaan dan jadual berkala yang terdapat dalam silibus kimia tingkatan 4, memberikan idea kepada Sa’datul Farihah dan bapanya Mohd Tajudin Mohd Ali untuk mencipta 3D Scrabble.

3D Scrabble dicipta pada 2011 ketika Sa'datul Farihah menuntut tingkatan 4.

“Ia adalah idea bersama bapa kerana kami berbincang bagaimana untuk mengatasi masalah yang saya alami,” katanya.

Selepas menceritakan masalah itu kepada bapanya, dan setelah berbincang, terhasillah Taj’s’ Dimensional Chemistry Scrabble dengan menginspirasikan daripada permainan sahiba.

Bantu pelajar ingat dengan mudah

Sa'datul Farihah berkata, Taj’s Dimesional Chemistry Scrabble berbeza dengan permainan sahiba.

“Taj’s Dimensional Chemistry Scrabble merupakan permainan 3D yang dibuat daripada kayu.

Setiap sisi kayu mempunyai simbol-simbol, cas-cas di mana ia dapat membantu para pemain khususnya pelajar untuk mengingatinya dengan mudah,” kata pelajar semester pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Metalurgi di Universiti Malaysia Perlis.

Mengambil contoh bongkah kayu yang mempunyai simbol Mg yang merujuk kepada magnesium, maka di belakang bongkah tersebut pula mempunyai cas ionnya iaitu Mg2+.

“Sisi lain bongkah itu diwarnai dengan warna elemen tersebut sekali gus dapat membantu daya ingatan dan imaginasi para pemain khususnya pelajar untuk mengingati sesuatu simbol dan persamaan kimia tersebut,” katanya.

Cara penggunaan

Sa’datul berkata, 3D Scrabble memerlukan minimum dua orang pemain.

“Permainan ini mudah dimainkan iaitu seorang akan menyoal soalan yang boleh didapati dalam buku kimia (sedang diusahakan penghasilannya khusus untuk permainan ini) dan akan dijawab melalui penyusunan blok-blok mengikut simbol atau persamaan,” katanya.

Simbol-simbol atau persamaan yang dijawab akan diberikan markah.

“Dari situ pemain bukan sahaja berseronok malah kebarangkalian untuk mengingati simbol-simbol struktur kimia adalah tinggi jika dimainkan selalu,” katanya.
Hingga kini, produk itu sudah digunakan di semua sekolah seluruh Malaysia sejak awal tahun ini.

“Pada mulanya, produk ini dijual kepada tiga sekolah menengah sekitar Selangor sahaja.

"Dengan mengambil kira bilangan sekolah menengah di Malaysia saya rasa jika dapat bekerjasama dengan badan atau syarikat berkenaan, produk itu mampu dipasarkan terutamanya di sekolah menengah dengan mengambil kira pelajar tingkatan 4 dan 5 sebagai sasaran," katanya.

Permainan ini juga boleh dijadikan sebagai permainan keluarga.

Dijual dengan harga RM300

Sa'datul Farihah yakin dengan cara pemasaran yang betul dapat mengenalkan produk ini di seluruh Malaysia, seterusnya membantu pelajar memahami subjek kimia dengan baik.

"Satu set 3D Scrabble dijual dengan harga RM300 hingga RM400. Sejak saya menggunakan formula tersebut ketika belajar tingkatan 4 dan 5, saya dapat menghafal formula dengan mudah dan menyelesaikan persamaan formula.

“Saya sentiasa mendapat A dalam subjek kimia. Dengan adanya permainan 3D Scrabble ini, ia mewujudkan persaingan sihat dan pembelajaran semakin efektif. Malah, ia juga mengeratkan hubungan guru dan pelajar,” katanya.

Sesiapa yang ingin mendapatkan 3D Scrabble boleh menghubungi Sa'datul Farihah melalui laman sosial instagram dan nombor telefon.

Sa'datul Farihah adalah pemenang bagi kategori Belia pada Anugerah WIF-KL 2012.

"Terima kasih kepada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) kerana memberi peluang untuk mengetengahkan idea dan inovasi saya hingga ke peringkat kebangsaan. YIM juga membantu dalam mengkomersialkan produk inovasi ini" katanya.

0 Komentar untuk " 3D Scrabble bantu hafal formula kimia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ