Zawara Coffee intai peluang francais - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Zawara Coffee intai peluang francais

ZAWARA Sdn Bhd (Zawara) menerusi Zawara Coffee berhasrat mengembangkan operasi perniagaan kedai kopinya menerusi rangkaian francais pada masa akan datang.

Pengasasnya, Nur Fadilla Abd Karim berkata, pada masa ini, Zawara Coffee dalam proses membangunkan sistem bagi membolehkan perniagaan kedai kopinya diuruskan dengan baik.

Katanya, syarikat itu mahu membangunkan sistem perniagaan di mana individu yang tidak pandai memasak atau tiada latar belakang dalam bidang perniagaan boleh mengendalikan Zawara Coffee.

“Kita memang ada simpan hasrat untuk kembangkan Zawara Coffee jadi francais. Sebelum ini, Zawara sudah dapat lesen francais untuk rangkaian butik Zawara.

“Untuk dapatkan lesen francais, Zawara Coffee perlu beroperasi selama enam bulan, barulah syarikat kita akan disemak sama ada layak ataupun tidak,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Nur Fadilla berkata, buat masa ini, Zawara Coffee sudah memulakan operasinya di Bukit Jelutong, Shah Alam sejak dua bulan lalu.

“Selepas raya ini, dua lagi cawangan Zawara Coffee akan beroperasi iaitu di Bangi, Selangor dan Setapak, Kuala Lumpur. Kedua-dua cawangan ini dalam proses ubah suai,” katanya.

Katanya, pembukaan Zawara Coffee mendapat sambutan menggalakkan kerana keyakinan orang ramai terhadap kedai kopi yang dikendalikan golongan Bumiputera.

“Pelanggan boleh makan di sini tanpa waswas kerana kami dapatkan bekalan daripada pembekal yang dipercayai. Selain itu, kami juga menjaga kualiti bahan mentah yang digunakan,” katanya.

Menurutnya, Zawara melabur sebanyak RM1 juta untuk membuka Zawara Coffee termasuk kos menjalankan kajian dan penyelidikan membangunkan menu serta central kitchen.

“Sebanyak 30 menu ditawarkan dengan 30 jenis kopi. Untuk kanak-kanak, kami tawarkan minuman milkshake supaya ibu bapa tidak pening memikirkan air yang sesuai untuk anak-anak mereka ketika berkunjung ke sini.

“Kami menawarkan hidangan yang sama sepanjang hari dan menu ini akan ditukar enam bulan sekali. Kalau sambutan baik untuk satu-satu jenis menu tertentu, kita akan kekalkan hidangan tersebut,” katanya.

Nur Fadilla turut mengalu-alukan mereka yang mahu membuka cawangan Zawara Coffee di kawasan lain yang menelan kos antara RM250,000 hingga RM650,000 bergantung kepada premis.

Katanya, Zawara menyasarkan untuk membuka 100 cawangan Zawara Coffee di Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

0 Komentar untuk " Zawara Coffee intai peluang francais "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ