Rompers pilihan baju raya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rompers pilihan baju raya

BAJU Melayu dan baju kurung menjadi satu kemestian setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun pengguna kini mempunyai pelbagai alternatif pakaian lain seperti dress dan jubah.

Bukan sahaja baju kurung dan baju Melayu dewasa menjadi tumpuan, malah pakaian kanak-kanak dan bayi juga mempunyai permintaan tinggi untuk musim perayaan.

Sebelum ini, agak sukar untuk mendapatkan baju Melayu dan baju kurung dalam saiz bayi.

Tambahan pula, material kainnya yang tidak sesuai dengan kulit bayi membuatkan ibu bapa tidak menjadikannya sebagai pilihan utama untuk si kecil mereka, sebaliknya memilih rompers untuk keselesaan bayi masing-masing.

Kini, kebanyakan rompers yang dijual di pasaran menggunakan kain kapas baju T didatangkan dalam bentuk baju kurung dan baju Melayu untuk dipakai bayi sempena lebaran ini.


Rompers lebih selesa

Usahawan, Nurol Huda Mas’on, 32, berkata, dia lebih gemar membelikan rompers untuk dua anak kembarnya yang berusia lima bulan kerana material kain yang selesa.

“Sebelum ini, anak-anak saya memang pakai rompers kerana ia mudah dipakai dan bayi rasa selesa, seakan-akan macam dia pakai baju tidur.

“Saya tidak pernah nampak orang jual rompers baju Melayu dan baju kurung sebelum ini. Kebetulan, ketika saya membeli-belah baju raya untuk anak, penjual mengatakan mereka ada jual rompers baju raya bayi dan saya terus membelinya untuk anak-anak saya,” katanya.

Suri rumah, Nazura Mohd Isa, 42, pula berkata, dia membelikan rompers baju Melayu untuk anak lelakinya kerana pemakaiannya yang senang dan mudah.

“Potongan rompers adalah lurus dan apabila kita dukung bayi, bajunya tidak terangkat,” katanya.


Tingkatkan mood raya

Menurut pekerja swasta, Mohd Shah Che Ahmad, 27, pengeluaran rompers baju Melayu dan baju kurung disifatkannya boleh meningkatkan mood untuk beraya kerana ia ditawarkan dengan pelbagai pilihan warna.

“Jika tiada rompers baju Melayu dan baju kurung ini, kemungkinan saya dan isteri akan memilih baju T biasa untuk bayi kami yang berusia tiga bulan.

“Kalau pakai baju biasa, kuranglah sikit mood untuk beraya berbanding dengan pakai baju Melayu dan baju kurung,” katanya.

Mohd Shah berkata, dia memilih rompers baju Melayu untuk bayinya supaya mereka sekeluarga kelihatan sedondon di hari lebaran.

“Rompers ini mudah dipakai dan selesa untuk bayi kerana material yang dipakai sesuai untuk bayi,” katanya.

Menurutnya, rompers bayi agak sukar untuk dicari di pasaran secara terbuka kerana kebanyakan peniaga menjualnya secara atas talian (online).

“Saya beli rompers baju Melayu untuk bayi saya ketika membeli-belah di sebuah pasar raya terkemuka pada harga RM35,” katanya.

Dalam pada itu, suri rumah, Sariah Tahir, 31, berkata, pada hari raya nanti, anak lelakinya akan menggayakan rompers baju Melayu berwarna putih yang dibelikan ibu saudaranya.

“Pada saya, pemakaian rompers amat praktikal sebab ia juga memudahkan saya menukar lampin anak,” katanya.


Permintaan tinggi

Sementara itu, Pengurus Nako Sdn Bhd, Nor Ilyana Abdul Rahman berkata, permintaan pelanggan terhadap rompers baju Melayu dan baju kurung begitu tinggi.

“Saya mula buat pesanan rompers daripada pembekal pada April lalu. Bila saya cakap dengan pelanggan yang saya akan jual rompers baju Melayu dan baju kurung, ada di antara mereka terus tempah dan buat pembayaran walaupun barang belum sampai lagi,” katanya.

Nor Ilyana yang juga pemilik butik Awesome Baby Licious berkata, trend rompers baju Melayu dan baju kurung baru sahaja bermula pada Januari lalu dan ia kebanyakannya dijual secara online.

“Sebab itu, apabila ia mula dijual di pasaran secara terbuka, sambutannya sangat menggalakkan, mungkin kerana reka bentuknya yang kelihatan menarik dan comel apabila dipakaikan pada bayi.

“Pertama kali saya jual rompers ini, kami keluarkan 250 helai dan ia habis dijual dalam masa tiga minggu,” katanya.

Sempena Aidilfitri ini, beliau mengeluarkan 1,000 helai rompers baju kurung dan baju Melayu yang dijual pada harga RM59, dengan 10 pilihan warna.

“Lebih 60 peratus terjual pada pertengahan Ramadan lalu. Kalau stok sedia ada habis, saya terpaksa meminta bekalan daripada kedai rakan peniaga lain bagi menampung permintaan,” katanya.

0 Komentar untuk " Rompers pilihan baju raya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ