Rebut peluang miliki tanah pertanian - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rebut peluang miliki tanah pertanian

AGROBANK menggalakkan lebih ramai orang awam terutama kakitangan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta membeli tanah pertanian menerusi pembiayaan Hartani-i, berkonsepkan patuh syariah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, Agrobank menawarkan kadar keuntungan kompetitif dan margin pembiayaan sehingga 100 peratus kepada pemohon yang layak.

“Berbanding dengan institusi-institusi kewangan yang mengenakan syarat lebih ketat untuk pembiayaan tanah pertanian, syarat pembiayaan Hartani-i. Kami lebih mudah termasuk tidak menetapkan jumlah maksimum pembiayaan dan ia tertakluk kepada kedudukan kewangan individu.

“Pembelian hartanah boleh dilakukan secara terus daripada penjual atau menerusi lelongan awam. Tempoh bayaran balik adalah sehingga 20 tahun atau sehingga berusia 60 tahun pada tarikh tamat tempoh pembiayaan,” katanya.

Wan Mohd Fadzmi berkata, permohonan pembiayaan ini terbuka kepada semua individu termasuk bukan Islam yang mempunyai pendapatan tetap dan stabil, termasuk golongan belia.

Katanya, penggunaan konsep Tawarruq dalam produk Hartani-i sesuai untuk semua golongan tanpa mengira agama dan bangsa.

“Konsep Tawarruq selaras dengan syariat Islam bagi mengelakkan riba dengan mewujudkan transaksi jual beli komoditi bagi pembiayaan ini. Dari segi kesesuaian produk itu sendiri, ia sesuai serta terbuka untuk semua pelanggan yang berkelayakan tanpa mengira agama dan tanah tersebut adalah untuk pertanian.

“Malah, lebih ramai pelanggan bukan Islam yang berminat dengan produk patuh syariah kerana ia terbukti lebih telus dan tidak mempunyai caj tersembunyi, selain mengaplikasikan keuntungan bersama,” katanya.

Beliau berkata, Hartani-i diperkenalkan bagi memberi galakan kepada orang ramai membeli tanah pertanian untuk menjalankan projek pertanian atau menambah aset.

“Pembelian tanah pertanian ini boleh jadi pelaburan untuk masa depan atau menjadi simpanan untuk hari tua terutamanya golongan profesional.

“Pembeli bukan sahaja boleh menambah pendapatan dengan bercucuk tanam di atas tanah yang dibeli, malah mereka juga boleh membina rumah untuk didiami,” katanya.

Menurutnya, Agrobank menyasarkan pertumbuhan pembiayaan RM109 juta bagi produk Hartani-i, pada tahun ini.

“Sehingga Jun 2015, sebanyak RM70 juta pembiayaan telah diluluskan. Kami yakin mampu mencapai sasaran itu dengan mengadakan Kempen Jom Beli Tanah secara agresif dan hebahan melalui medium media cetak dan elektronik,” katanya.

Sejak 2013 sehingga Jun lalu, katanya, sejumlah RM212.49 juta akaun Hartani-i melibatkan 1,191 permohonan telah diluluskan.

“Ia dijangka akan meningkat pada masa akan datang berdasarkan permintaan yang sangat menggalakkan terhadap produk ini,” katanya.

0 Komentar untuk " Rebut peluang miliki tanah pertanian "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ