Ramainya bermotosikal tanpa lesen - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramainya bermotosikal tanpa lesen

TAK tahulah saya sama ada hendak ketawa, termenung atau menangis membaca kisah Ina, wanita kampung separuh umur yang baru-baru ini mengejutkan saya dengan pengakuan bahawa dia menunggang motosikal berpuluh-puluh tahun tanpa lesen.

Ina, saya kira, memang ‘layak’ memenangi ‘hadiah’ kerana ‘berjaya memecah rekod’ sebagai penunggang motosikal yang ‘handal’.

Bukan setahun, bukan 10 tahun, tetapi hampir 35 tahun dia menunggang motosikal tanpa lesen.

Saya benar-benar terkesima. Yang mampu saya lakukan setakat ini adalah menggaru kepala, memikirkan ‘kejayaan’ wanita itu yang sangat memeningkan saya.

Tidaklah saya berniat menyindir, menuding jari, membuat andaian, jauh sekali mahu mempersendakan mana-mana pihak.

Cuma saya tidak boleh fikir macam mana wanita itu boleh tidak dikesan selama hampir 35 tahun itu? Apakah dia ada ilmu untuk mengabui mata orang? Atau dia tunggang motosikal dalam hutan atau celah-celah rumah di kampung sahaja? Wallahualam.

Tetapi menurut cerita Ina sendiri, dia mula menunggang motosikal pada usia 12 tahun. Ibu dan bapanya pun tidak tahu di peringkat awal.  Apabila dia mahir, katanya, ayahnya membenarkan dia menunggang motosikal tetapi di kawasan kampung sahaja.

Tetapi apabila sudah berkahwin, dia melebarkan kawasan penjelajahannya hingga ke pekan untuk membeli barang keperluan dan ke sekolah anaknya.

Dalam tempoh hampir 35 tahun itu, hanya dia tahu berapa kali dia pernah bertembung dengan pihak berkuasa, tetapi berdasarkan pengakuannya, dia tidak pernah ditahan. Nasibnya sungguh baik.

Selepas membaca kisah ‘pengembaraan’ Ina yang penuh dengan bahaya dan cabaran itu, saya tidak dapat elak daripada memikirkan entah berapa ramai lagi penunggang motosikal dan pemandu kereta dan kenderaan lain di negara ini yang mempunyai pengalaman dan rekod yang sama seperti apa yang ‘dicapai’ oleh wanita itu.

Kenyataan di bawah ini adalah antara apa yang saya temui bagi menjawab sedikit persoalan yang berlegar dalam fikiran. Ia di luar daripada apa yang saya jangkakan.

Rupa-rupanya kira-kira 3.35 juta penunggang motosikal di seluruh negara dikesan tidak memiliki lesen.

Jumlah itu berdasarkan kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.

Itu hanya penunggang motosikal yang dikesan. Berapa ramai lagi penunggang motosikal tanpa lesen yang belum dikesan? Bagaimana pula pemandu kereta dan kenderaan lain yang tidak memiliki lesen? Wallahualam!

Degupan jantung saya menjadi kencang apabila cuba memikir dan membayangkan keadaan dan kemungkinan daripada kewujudan begitu ramai penunggang dan pemandu tanpa lesen di negara ini.

Cuma yang membuat saya rasa lega sedikit adalah apabila mengetahui pihak berkuasa sendiri tidak membiarkannya begitu sahaja.

JPJ berjanji akan menentukan 3.35 juta penunggang motosikal tidak berlesen itu akan memperoleh lesen dalam tempoh lima tahun akan datang.

Usaha itu, menurut laporan Berita Nasional Malaysia, akan dilakukan melalui Program 1Rakyat 1LESEN atau myLESEN, khusus untuk belia dan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi penduduk berumur 40 tahun ke atas di Sabah dan Sarawak dan 45 tahun ke atas di Semenanjung.

Sejak kedua-dua program dilancar pada tahun 2009, JPJ berjaya mengeluarkan lesen menunggang B2 kepada 62,903 penduduk daripada 154 program diadakan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 6,668 membabitkan penduduk di Terengganu.

Kita percaya pihak berkuasa dan penguat kuasa akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan tidak membiarkan penunggang motosikal dan pemandu kenderaan, apa lagi yang berkaitan dengan perkhidmatan awam, wujud di jalan raya dengan bebas.

Kemalangan yang berlaku akibat cuai dan tidak mengikut undang-undang di jalan raya dan di lebuh raya melibatkan penunggang motosikal dan pemandu kenderaan yang memiliki lesen dan layak berada di jalan raya sudah cukup banyak.

Kalau penunggang dan pemandu tanpa lesen yang menggunakan jalan raya dan lebuh raya tidak dapat dikesan dengan cepat dan dikenakan tindakan sewajarnya, mereka mungkin boleh menjadi punca kepada peningkatan nahas dan kehilangan nyawa yang sepatutnya boleh dielakkan.

Lebih cepat ia dapat diatasi, lebih baik.

0 Komentar untuk " Ramainya bermotosikal tanpa lesen "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ