NGO pelengkap perjuangan memartabatkan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

NGO pelengkap perjuangan memartabatkan Islam

Tanggungjawab memartabatkan agama Islam di Malaysia bukan hanya terletak pada pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya ia tanggungjawab setiap umat Islam di negara ini. Acap kali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengambil peranan ini berdasarkan fokus pertubuhan masing-masing. Sebagai kuasa ketiga, NGO hendaklah dilihat sebagai melengkapi perjuangan memartabatkan Islam. Menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bukan 'agama rasmi' seperti difahami sesetengah golongan. Apatah lagi sebagai negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi sosial dan undang-undang. Islam yang dinyatakan adalah Islam dalam erti kata sebenar iaitu sebagai cara hidup, bukan terhad kepada amalan atau ibadah khusus semata-mata. Ia juga termasuk menjaga integriti badan perundangan seperti Parlimen dan agensi kerajaan supaya bebas daripada rasuah, salah guna atau menjadi ejen perpecahan dalam kalangan umat Islam serta hubungan dengan bukan Islam. Pembetulan secara dalaman umat Islam juga perlu dilakukan bagi memastikan negara maju dan dapat mendaulatkan Islam kerana umat Islam adalah komposisi penting dalam demografi rakyat Malaysia. Dalam isu antara agama pula, NGO dan pertubuhan politik mestilah bersatu atas asas akidah yang satu. Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi umat Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan antara agama dengan hikmah yang didasari perundangan Islam itu sendiri. Contohnya, penyeragaman undang-undang Islam masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan peguam sivil masih belum menjadi realiti. Malah, undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam di seluruh negara selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan masih belum dikuatkuasakan. Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang itu. Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Kenakan tindakan tegas Kerajaan dituntut mengambil tindakan tegas, termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam. Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warganegara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup. Oleh itu, pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu diperkasakan. Kementerian Penerangan perlu memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran serta melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji. Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak. Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan wujudnya sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa. Tolak usaha ekstremis Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama adalah ramuan utama kestabilan politik serta ketenteraman awam. Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak. Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama, termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak. Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal tanpa mengira agama. Jika pihak berkuasa agama tegas dalam melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata sangat lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain. Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat serta salah laku moral perlu dipertingkatkan. Kerajaan dituntut melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan. Beberapa hari lagi umat Islam akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Namun masih banyak lagi tindakan yang perlu diambil untuk mencapai kemenangan sebenar. Kemenangan ini hendaklah menjadi kesinambungan untuk umat Islam terus menang dalam memartabatkan Islam di tanah air tercinta ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/68334
0 Komentar untuk " NGO pelengkap perjuangan memartabatkan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ