MyFon bantu pelajar buat panggilan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MyFon bantu pelajar buat panggilan

BERPENGALAMAN selama 15 tahun dalam bidang telekomunikasi mendorong Shafiee Saleh, mewujudkan kad prabayar untuk memudahkan pelajar sekolah menengah dan rendah berhubung dengan keluarga.

Menggunakan nama MyFon di bawah syarikat Pure Spectrum Technologies Sdn Bhd (Pure Spectrum), Shafiee yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif berkata, pengenalan MyFon merupakan alternatif alat komunikasi bagi pelajar di sekolah.

“Kita tahu peraturan sekolah tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah dan ini menyukarkan mereka untuk berhubung dengan ibu bapa selepas tamatnya sesi persekolahan.

“Selain itu, kemudahan telefon awam di sekolah yang semakin berkurangan juga merupakan objektif mengapa kami memperkenalkan MyFon,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kuala Lumpur.

Menurut Shafiee, melalui MyFon, pelajar akan diberi dua kad sim untuk kegunaan di telefon bimbit dan  di terminal MyFon Public Phone (MPP) yang dipasang oleh Pure Spectrum di setiap sekolah terlibat.

“Jadi pelajar tidak perlu membawa telefon bimbit ke sekolah, sebaliknya hanya perlu bawa dan masukkan kad sim yang direka khas untuk digunakan di MPP dan boleh menghubungi ibu bapa mereka atau menghantar dan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Dari segi kadar panggilan pula, 10 sen akan dicaj bagi rangkaian sama dan rangkaian lain. Manakala untuk SMS pula hanya lima sen akan dicaj ke mana-mana rangkaian dan 10 sen seminit untuk kadar penggunaan MPP,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah pengguna MyFon, Shafiee berkata, buat masa ini terdapat hampir 20,000 pengguna talian tersebut di mana 90 peratus adalah dari pelajar sekolah menengah.

“Kami juga telah memasang MPP di 102 sekolah di Semenanjung Malaysia dengan tumpuan utama adalah kepada sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah asrama harian.

“Ini kerana kami melihat ada keperluan dan permintaan untuk diletakkan di sekolah berasrama dalam memudahkan pelajar berhubung dengan keluarga mereka menggunakan MPP,” katanya.

Pure Spectrum turut menyasarkan 200,000 pengguna prabayar dan pasca bayar MyFon sehingga hujung tahun ini selari dengan sasaran 5,000 MPP akan dipasang di sekolah-sekolah Semenanjung Malaysia tahun ini.

“Buat masa ini perkhidmatan kami berada di kebanyakan sekolah di Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Untuk Terengganu, Kelantan dan Pahang masing-masing hanya sebuah sekolah sahaja.

“Bagi Sabah dan Sarawak kami masih belum lagi menembusi pasaran sana walaupun ada banyak permintaan dan Insya-ALLAH pertengahan tahun hadapan kami cuba memperkenalkan MyFon di sana,” katanya.

0 Komentar untuk " MyFon bantu pelajar buat panggilan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ