Kongsi budaya bukan makna tunduk kepada kekufuran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kongsi budaya bukan makna tunduk kepada kekufuran


Dunia sudah semakin mengecil menjadi apa yang disebutkan Marshall McLuhan sebagai 'global village' atau perkampungan global disebabkan kewujudan internet. Budaya dan adat sesuatu masyarakat atau kaum akan mudah dikesan, diketahui bahkan turut ditiru serta diserap oleh bangsa lain kemudiannya. Ketika umat Islam menyambut hari raya baru-baru ini, berlegar beberapa persoalan berhubung apakah hukum 'menyerupai orang bukan Islam' atau dalam bahasa Arabnya disebut 'al-tasyabbuh bil kuffar' membabitkan beberapa perbuatan yang asalnya adalah amalan bangsa lain. Contohnya, pemberian sampul duit raya yang asalnya ditiru dari sampul ang pow bangsa Cina ketika merayakan Tahun Baharu Cina. Hadis sahih daripada Baginda SAW melalui pelbagai jalur periwayatan antaranya daripada Abdullah ibn Umar yang menegah menyerupai kaum kafir: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka." (Riwayat Abu Dawud) Hadis ini jika difahami secara umum seolah membawa maksud apa sahaja amalan yang kita tiru menyerupai kaum lain khususnya bukan Islam, maka kita juga menjadi sebahagian daripada mereka dan kafir. Fahaman sebegini salah dan tidak merujuk kepada syarah atau tafsiran ulama muktabar berhubung mafhum sebenar hadis itu. Tokoh hadis dan imam Mazhab Shafie, Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki (wafat 974 hijrah) dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra dalam bab al-Riddah (Murtad) menyebut, menyerupai kaum kafir terbahagi kepada tiga hukum. Pertama, apabila ada unsur reda dengan kekafiran mereka maka hukumnya haram dan jatuh kafir. Kedua, apabila ada unsur meninggikan syiar agama bukan Islam, tetapi tiada niat reda dengan kekufuran mereka, hukumnya haram dan berdosa. Ketiga, apabila tiada niat menyerupai sama sekali, maka hukumnya harus. Daripada syarah Imam Ibn Hajar al-Haytami itu dapat difahami menyerupai kaum kafir itu ada yang diharamkan dan ada diharuskan. Diharamkan dalam Islam apabila kita meniru, menyerupai amalan atau perbuatan membabitkan amalan khusus ajaran agama bukan Islam dan meninggikan syiar agama mereka. Jika kita meniru amalan agama bukan Islam dan reda dengannya, maka ia boleh membawa kepada kafir, manakala jika kita tidak meredainya tetapi masih meniru amalan itu, ia tetap berdosa dan haram. Adapun dalam hal bukan khusus membabitkan amalan agama orang bukan Islam, maka ia diharuskan. Hakikatnya, hari ini banyak meniru, mengambil dan menggunakan perkara berasal daripada bukan Islam.

Guna teknologi ciptaan Barat 

Segala kemudahan dan penciptaan teknologi hari ini hampir semuanya berasal daripada bukan Islam khususnya Barat tetapi umat Islam seluruh dunia menggunakannya hatta di Makkah dan Madinah pun. Pernah suatu ketika heboh dibincangkan apakah hukum menggunakan Facebook kerana ia diasaskan oleh seorang Yahudi bernama Mark Zuckerberg? Jika mengambil kira ia berasal daripada penciptaan orang bukan Islam dan menggunakannya maka bermakna menyerupai mereka, maka haramlah menggunakan Facebook. Bukan sahaja Facebook, termasuk elektrik, lampu, kereta, kapal terbang, telefon dan sekalian yang lain kerana tiada satu pun daripada penciptaan umat Islam. Allamah Sayyid Muhammad Amin ibn Abidin al-Shami atau lebih dikenali sebagai Ibn Abidin dalam kitabnya Radd al-Mukhtar ala al-Dur al-Mukhtar menyebut, Baginda SAW sendiri pernah memakai alas kaki diperbuat oleh bukan Islam. Peristiwa itu menjadi dalil tidak semua oleh bukan Islam itu haram digunakan secara mutlak. Berpakaian seperti mana kita pakai hari ini, berkemeja, berseluar panjang, bertali leher atau makan menggunakan sudu serta garpu adalah antara perkara asing dan luar daripada adab umat Melayu Islam. Dahulu, umat Melayu memakai kain sarung atau pelikat dan Barat memperkenalkan fesyen berseluar. Adakah haram hukumnya berseluar dan menggunakan sudu garpu ketika makan? Tidak, kerana ia tiada kena mengena dengan ajaran agama Kristian atau agama lain sekalipun bukan berasal daripada amalan umat Islam. Namun tidak dinafikan memakai pakaian melambangkan identiti Islam itulah lebih baik. Begitu juga setiap kali tiba sambutan Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Peringatan akan muncul suara yang memilih berpegang kepada pandangan segelintir ulama Timur Tengah mengharamkannya kerana tidak berasal daripada ajaran Islam.

Perbezaan amalan agama, adat 

Benar ia bukan ajaran Islam seperti sambutan hari lahir, kemerdekaan, Hari Guru, Hari Polis, Hari Pahlawan, namun sambutan itu juga tiada kena mengena dengan amalan agama bukan Islam. Ia lebih kepada adat dan hari peringatan bagi menghargai sumbangan golongan walaupun. Ia bukan budaya Islam asalnya, namun ia tidak salah. Sambutan hari itu sudah pasti bukan menyamai atau menyaingi perayaan yang disyariatkan Islam kerana yang disyariatkan hanyalah Aidilfitri dan Aidiladha sahaja seperti tegas Baginda SAW melalui hadisnya. Umat Islam digalakkan untuk berbeza daripada bukan Islam dan mempunyai identiti tersendiri. Malah, digalakkan mengikut amalan anbia serta salihin yang sentiasa ingin menyerupai golongan mulia walaupun kita bukan sebahagian daripada mereka. Bagaimanapun, ketika di sana ada keperluan dan maslahah yang lebih besar untuk umat Islam turut mengambil apa yang baik daripada amalan masyarakat bukan Islam, maka ia dibenarkan apabila menepati syarat iaitu ia bukan syiar agama orang kafir dan amalan khusus amalan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/70532
0 Komentar untuk " Kongsi budaya bukan makna tunduk kepada kekufuran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ