Jiwa hijrah jiwa muhasabah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jiwa hijrah jiwa muhasabah

HIJRAH peribadi adalah sesuatu yang dituntut oleh agama. Jiwa muhasabah yang tinggi menjadi asas kembalinya kita kepada fitrah menginsafi kesilapan lalu, kembali bertaubat dan ingin mentaati perintah ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW.

Manusia sering terbawa-bawa oleh nafsu amarah dan nafsu lawamah yang menatijahkan keburukan. Manusia sering memiliki kemahuan yang tidak terbatas sedangkan kemampuannya terbatas.

Manusia mudah membuat persepsi buruk terhadap sesuatu dan orang lain tanpa usul periksa yang teliti. Akhirnya pekerti diri menjadi buruk dan akibat buruk itu tertimpa pula kepada orang lain dalam bentuk fitnah dan syak wasangka.

Jiwa muhasabah adalah pancaran awal kepada jiwa hijrah. Menginsafi kesilapan dan dosa lalu adalah permulaan kepada hijrah. Hijrah diri dari kemungkaran kepada kemakrufan amat dianjurkan oleh Islam.

Manusia tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan dosa kerana pada diri manusia memiliki sifat nisyan (lupa) dan ghaflah (lalai).

Tradisi nubuwah atau kenabian membawa risalah wabasyira (khabar gembira) dan wanazira (peringatan) kepada umat manusia supaya menginsafi mengenai kebesaran ALLAH sebagai Pencipta dan menyedari kealpaan diri hingga menyebabkan kemungkaran terjadi.

Orang-orang berhijrah ingin kembali kepada fitrah diri. Berada dalam fitrah diri bermakna berada dalam redaNya. Reda ALLAH terhubung kepada yang mencintai makruf dan mengelakkan diri daripada kemungkaran.

Jiwa makruf tersangat penting bagi manusia. Ia mencegah diri daripada melakukan dosa hingga menyebabkan diri terjebak dalam kemungkaran.

Jiwa maaruf adalah jiwa yang yakin akan kebesaran ALLAH yang Maha Tahu akan apa yang kita lakukan. Ia menjadi benteng untuk melakukan dosa dan meletakkan diri kita sentiasa dalam berpahala.

Islam itu adalah agama dakwah dan tarbiah. Al-Quran dalam Surah al Imran ayat 104 menyatakan asas pentingnya dakwah untuk membangun jiwa makruf dan mencegah jiwa mungkar supaya hidup manusia terpandu dan terpedoman dengan jalur hidup diredai ALLAH.

Hidup dalam reda ALLAH adalah asas kukuh bagi orang-orang yang melakukan hijrah diri. Dia menginsafi mengenai kesilapan lalu, kesombongan yang pernah dimiliki, sikap tidak bersyukur yang dilalui dan tekun mengejar dunia sehingga lupa kepada ganjaran akhirat.

Reda ALLAH membawa maksud apa saja yang kita fikir, rasa dan amal sentiasa dikaitkan dengan ALLAH. Mengaitkan sesuatu dengan pertimbangan ALLAH membawa kita mengetahui salah-benar akan sesuatu, maaruf-mungkar mengenainya dan berazam serta bertekad untuk tidak terjebak dalam perangkap kemungkaran hingga ALLAH murka kepada kita.

Muhasabah yang diikuti dengan taubat boleh menjadikan diri manusia berada dalam fitrah semula dan bertekad untuk menyambung kehidupan yang lebih tenang dan terpedoman.

Prinsip Islam menerusi al-Quran dan as Sunnah sentiasa mendidik manusia berada dalam fitrah tidak saja untuk dirinya, tetapi juga orang lain.

Kemungkaran yang berlaku kini adalah akibat manusia terputus ikatan dengan ALLAH, meraikan runtunan nafsu tanpa batas, tidak melakukan solat dan ibadah yang seperlunya dan amat terdedah dengan hal-hal yang mengheret mereka ke arah kemungkaran.

Manusia jenis ini selalunya akan menyesal di kemudian hari. Sebab itu Islam menawarkan ilmu kepada pemeluknya supaya dengan ilmu menjadikan manusia terpedoman dan menerima pencerahan.

Tanpa ilmu apalagi ilmu al-Quran dan as Sunnah manusia berada dalam keadaan jahil dan kegelapan, menyebabkan manusia tidak dapat membezakan yang baik dengan buruk.

Oleh itu jiwa hijrah perlu ada pada kita supaya wujud kewaspadaan selalu bahawa cabaran dalam hidup yang sifatnya zahiri dan batini sentiasa ada.

Jiwa muhasabah yang kita miliki harus dijadikan sempadan dalam melakukan sesuatu supaya jangan terlanjur atau melakukan sesuatu melampaui batas.

Asas ini penting dijadikan pedoman kerana hijrah diri harus membawa kita kepada ikatan jemaah supaya kehadiran kita di tengah-tengah masyarakat sifatnya memberi manfaat.

Ikatan jemaah sama ada dalam solat mahupun di luar solat amat dituntut supaya kita berasakan diri ini sebahagian daripada orang dan orang lain adalah sebahagian daripada kita.

Muhasabahlah kunci yang paling utama supaya hijrah diri berlaku dengan lebih bermakna lantaran tanpa hijrah ke arah fitrah hidup insan akan menjadi tidak tentu arah.

* Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Jiwa hijrah jiwa muhasabah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ