Hampiri pelan perpaduan negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hampiri pelan perpaduan negara

MINGGU lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup mengumumkan bahawa Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang ditubuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan dipengerusikan Tan Sri Samsudin Osman, untuk menyediakan Pelan Perpaduan Negara, telah menyiapkan kerjanya dan bakal dibentangkan di Kabinet.

Laporan MKPN, yang disediakan pasukan diketuai Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, adalah komprehensif. Ia terhasil daripada lima jawatankuasa MKPN, 18 Dialog Perpaduan, lebih 20 perbincangan meja bulat dan pertemuan dengan pelbagai pemegang taruh dan penyelidikan-penyelidikan Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (Kita-UKM).

Laporan MKPN mengakui keunikan masyarakat Malaysia, iaitu multi-etnik, multi-budaya dan multi-bahasa. Majoriti rakyat memahami, mengapresiasi dan menerima kewujudan perpaduan dalam kepelbagaian.

Malahan, bagi majoriti, kepelbagaian ini adalah kekuatan kita, dan justeru, kita mesti berusaha mempertahankan ciri keunikan ini, memastikan keadilan, kesaksamaan dan inklusiviti.

Secara kolektifnya, komuniti-komuniti Malaysia mengalami kedua-dua “saat-saat perpaduan” dan “saat-saat perbezaan”, yang diartikulasi melalui cara kita mengapresiasi dan memahami sejarah, perkembangan semasa dan aspirasi masa depan.

Ini menyebabkan perlunya untuk diperkukuhkan budaya berdialog sebagai cara meleraikan perbezaan-perbezaan dan mencari pertemuan-pertemuan dalam khalayak yang sedang meningkat pertembungan-pertembungannya, akibat isu-isu etnik, agama, bahasa dan budaya yang ditimbulkan.

Pertembungan-pertembungan ini membayangkan jarak dan kurang percaya antara individu-individu serta kumpulan-kumpulan, dan ia perlu ditangani.

Inti pati terpenting laporan MKPN ialah “Sembilan Keberhasilan Utama”, iaitu: Meningkatnya perundingan antara kumpulan-kumpulan etnik dan agama. Ini pendekatan holistik dan inklusif yang akan menambah baik persefahaman antara komuniti-komuniti yang berbeza. Ia akan memperkasa kesepaduan sosial dan perpaduan nasional.

Meningkatnya literasi demokrasi dan kematangan politik bagi menambah baik hubungan multi-etnik dan multi-agama. Ini kritikal buat pembangunan negara yang berkesan.
Kefahaman yang holistik dan berimbang tentang kedudukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara-perkara 3, 4, 8, 10, 11, 152 dan 181, sebagai asas-asas negara-bangsa.

Setiap rakyat perlu mengapresiasi perkembangan Perlembagaan dari segi sejarah, perundangan dan politik, serta kefahaman tentang hak dan tanggungjawabnya sebagai warganegara.

Wujudnya mekanisme bukan-kehakiman untuk mediasi dan penyelesaian konflik. Setiap rakyat dapat mengakses mekanisme tersebut dan berasa yakin yang prosesnya adil, saksama dan telus.

40 peratus terendah semua komuniti mempunyai akses sepenuhnya pada perkhidmatan sektor awam. Setiap rakyat, tanpa mengira etnik, sub etnik, agama, politik, geografi, gender dan seksualiti, mempunyai akses dan berasa dilayani sebagai rakan semanusiawi dan sewarganegara.

Komitmen yang bertambah baik terhadap kepelbagaian etnik dan gender dalam pengambilan dan kenaikan pangkat di tempat kerja sektor awam dan swasta.

Kefahaman dan apresiasi budaya-budaya multi-etnik dalam kalangan komuniti-komuniti, termasuk pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa-bahasa komuniti yang lain.

Tahap perhubungan etnik dan perpaduan nasional sentiasa dipantau dan dinilai. Dasar-dasar dan mekanisme MKPN diperkukuhkan secara institusional.

Oleh kerana sebahagian ahli MKPN berpartisipasi aktif dalam jawatankuasa-jawatankuasa lain, maka, sebahagian daripada keberhasilan di atas, telah, sama ada diterima pakai atau dikongsi, oleh resolusi jawatankuasa-jawatankuasa tersebut.

Contohnya, pendekatan inklusiviti Rancangan Malaysia ke-11, yang dilancarkan baru-baru ini, telah pun mengambil kira soal-soal perundingan dan B40 (keberhasilan pertama dan kelima).

Ujian terbesar ialah tentang kandungan laporan MKPN yang menyentuh persoalan-persoalan sukar. Contohnya, cadangan Akta Harmoni Nasional. Walaupun kerajaan telah membuat keputusan pusingan-U dengan tidak memansuhkan Akta Hasutan, namun, kerajaan sepatutnya tidak bermasalah untuk bersetuju dengan dua lagi komponen Akta baru ini, iaitu menangani diskriminasi dan menubuhkan mekanisme mediasi.

Tetapi, Laporan MKPN bukanlah pengakhir kerja-kerja perpaduan nasional. Masih ada yang perlu ditangani. Contohnya, politik perkauman.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Hampiri pelan perpaduan negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ