Berapa nilai kabinet baharu? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Berapa nilai kabinet baharu?

BERAPA agaknya nilai @ harga kabinet baharu? Tidak ada jawapan tepat. Sebenarnya tidak ada siapa berani atau berupaya untuk memberi harga yang paling munasabah. Sebab semuanya bergantung kepada beberapa perkara.

Pertama, siapa tukang buat? Kalau sudah biasa dengan tukang atau jurujual, kita mungkin dapat harga yang lebih berpatutan. Itu pun kalau dia tidak kenakan kita. Sebab banyak tukang atau kontraktor penipu, kaki putar belit.

Dia kata harga murah, dan tunjukkan pada kita sebut harta setiap bahan. Katanya: “Kita sudah kawan lama, harga yang saya tawarkan paling murah untuk awak, saya tak ambil untung walau setengah sen. Kalau dengan orang lain saya kenakan harga lebih tinggi.”

Jangan tidak tahu, pada semua orang dia cakap seperti itu. Konon tidak ambil untung, pada hal dia sakau untung berlipat-lipat-lipat kali ganda. Almaklumlah, nama pun kaki pembelit, mana dia kira dosa atau pahala.

Kedua, apa jenis bahan yang hendak digunakan? Kontraktor atau tukang akan membuka katalog tebal yang di dalamnya ada berbagai-bagai bahan untuk dipilih – semua dalam warna-warni dan reka bentuk paling cantik.

Ada bahan daripada plastik kelas premium, tidak boleh terbakar, kalis air, kalis serba-serbi. Ketuk dengan lesung batu pun tidak menjadi masalah. Plastik jenis ini memang keras, ikut apa sahaja kita hendak buat ke atasnya.

Kalau tidak berkenan plastik, ada pelbagai jenis kayu yang dijamin boleh tahan hingga hari kiamat. Ada kayu cengal yang lebih kukuh dari besi kursani. Ada kayu jati yang ditebang secara haram dari hutan simpanan. Ada juga merbau, kapur, keruing. Pendek kata pilih sahaja mana yang sesuai.

Ketiga, suasana dan situasi semasa. Sekiranya tempahan dibuat sebelum pelaksanaan GST, harga adalah lebih murah. Tetapi oleh sebab cukai tersebut telah dikuatkuasakan harga dengan sendirinya naik 6 peratus. Kalau harga RM1,000 kena tambah RM60. Kalau harga RM100,000 kena tambah RM6,000.

Keempat, aksesori. Kabinet sahaja tidaklah mencukupi, mesti ada aksesori-aksesori lain sebagai penyeri. Mesti ada lampu di celah-celah tingkat, mesti ada cermin, penutup automatik, pelapik barang, dan lain-lain. Semua ini ada sebut harga tertentu.

Apabila bahan asas utama telah dipilih, pelan dan reka bentuk telah berkenan di hati, dan harga telah dipersetujui, barulah perjanjian membina kabinet ditandatangani. Cengkeram atau wang pendahuluan pun dibayar kepada tukang buat.

Kemudian kedengaran tang-tung-tang-tung tukang kerja pagi-petang siang-malam, hendak berehat pun terganggu. Dalam pada itu ada pula bayaran-bayaran lain sebagai tambahan bahan-bahan yang difikirkan dapat mencantikkan kabinet.

Perihal kabinet, pada hemat saya, suami – tidak kira kedudukan – baik ikut sahaja kehendak isteri. Dialah yang mencadangkan sama ada kayu jati, kayu cengal, atau lain-lain bahan. Ikut sahajalah cadangan dia, hatta jika diketahui bahan yang dikatakan baik itu adalah daripada kayu yang mudah dimakan anai-anai.

Dulu, kini dan selamanya orang perempuan @ isteri memang lebih tahu mengenai hal-hal kabinet. Ada benda-benda yang perempuan lebih arif dari lelaki. Tidak ada siapa boleh menafikan hakikat ini.

Lagipun dialah nanti yang akan menggunakan kabinet tersebut setiap masa. Dialah yang mengelap debu kabinet. Dia juga yang mengikis dan membersihkan sekiranya ada benda melekat atas kabinet. Maaf cakap, sesetengah isteri mungkin sayangkan kabinet lebih daripada sayangkan suami.

Barang diingat walaupun sebagai suami segala cadangan dan keinginan isteri telah dipenuhi, itu belum tentu dapat memuaskan hati isteri. Boleh jadi setelah semuanya siap, ada sahaja yang tidak kena dengan kabinet itu.

Walaupun telah menepati reka bentuk asal, apabila telah siap nampak pula sudut sana tidak sesuai dengan tema. Ada bucu-bucu tertentu yang nampak tidak ngam. Ada juga permukaan yang apabila ketuk-ketuk dengan tangan, ternyata macam kayu tidak solid, seolah-olah lompong di dalam.

Maka, ada kemungkinan suami kena buat kabinet baru. Pendek kata, kalau isteri jenis cerewet, lebih-lebih lagi jenis yang tidak takut suami, dari semasa ke semasa kena buat kabinet.
Boleh pokai suami!

Tidak ada prejudis, tiada bahasa kias, juga tanpa madah beralas. Saya bercakap mengenai kabinet dapur, bukan kabinet-kabinet lain.

0 Komentar untuk " Berapa nilai kabinet baharu? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ