AGAMA: Sayangi, pelihara anak yatim kewajipan setiap umat Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

AGAMA: Sayangi, pelihara anak yatim kewajipan setiap umat Islam

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak yatim. Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak yatim itu amatlah baiknya dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara kamu (yang seagama) dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Baqarah, ayat 220) Perkataan yatim disebut sebanyak 23 kali dalam al-Quran dan ia pasti memberi satu isyarat jelas kepada umat Islam bahawa mereka perlu memberikan perhatian serta pembelaan untuk membolehkan anak yatim hidup selesa, sempurna seperti orang lain yang mempunyai ayah dan ibu. Daripada Abu Ummah, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya." (Riwayat Ahmad) Mengulas hadis riwayat Ahmad itu, Al-Hafizah Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: "Cukuplah sebagai bukti yang menetapkan dekatnya kedudukan nabi dengan kedudukan orang yang mengasuh anak yatim, kenyataan bahawa antara jari tengah dan jari telunjuk tidak ada jari yang lain." Ayat itu antara puluhan ayat menyarankan supaya hubungan dengan anak yatim ini bukan hanya sekadar memberi makan minum atau pakaian sahaja, tetapi juga layanan perasaan dengan mencampuri mereka penuh rasa cinta dan kasih sayang sebagaimana hubungan dengan adik beradik. Umat Islam wajib memperbaiki keadaan mereka dengan memberikan pendidikan, bimbingan moral dan menguruskan harta kekayaan mereka. Jangan dipersia-siakan nasib mereka sehingga moral menjadi rosak dan hak mereka terbengkalai. Dahulunya, sebahagian penjaga anak yatim mencampurkan makanan anak yatim dengan makanan mereka, harta anak yatim dengan harta mereka untuk sama-sama dilaburkan dalam perniagaan menyebabkan ada kala berlaku penganiayaan terhadap anak yatim. Asingkan makanan Lalu turun ayat yang memberi ancaman kepada mereka daripada memakan harta anak yatim. Sejak itu, orang yang beriman berasa keberatan untuk makan bersama anak yatim sehingga mereka asingkan makanan anak yatim daripada makanan mereka. Ada orang yang memelihara anak yatim lalu dia memberi makan kepadanya dengan hartanya dan jika makanan itu lebih atau berbaki, maka disimpan semula supaya dapat dihidangkan kepadanya sekali lagi dan jika makanan itu rosak, maka ia terus dibuang. Mereka melakukan demikian supaya terhindar daripada memakan harta anak yatim dan ancaman Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala." (Surah al-Nisa, ayat 10) Bagaimanapun, langkah memberatkan seperti itu bukan daripada ajaran Islam dan boleh merugikan anak yatim. Oleh sebab itu, al-Quran sekali lagi mengembalikan umat Islam kepada sikap yang sederhana dan menggunakan cara mudah bagi menghadapi perkara ini. Mengusahakan kebaikan untuk anak yatim itu lebih baik daripada membuat pengasingan kerana tidak ada apa-apa kesalahan dalam percampuran dengan mereka selagi percampuran itu mendatangkan kebaikan kepada mereka. Ayat ini menjelaskan kewajipan umat Islam memelihara kepentingan golongan yang lemah dalam masyarakat terutamanya anak yatim untuk mendapat perhatian terhadap keselamatan diri serta harta benda mereka. Ada beberapa sebab anak yatim perlu diberi perlindungan secukupnya iaitu kerana mengabaikan mereka berkemungkinan merosakkan mereka dan selanjutnya merosakkan masyarakat, sedangkan Allah SWT tidak menyukai kerosakan dan akibat yang bakal terjadi disebabkan kerosakannya. Anak yatim mempunyai kehormatan dan tidak harus diabaikan. Ada kemungkinan tersirat di sebalik anak yatim itu watak dan nilai yang cukup tinggi di mana mereka akan menjadi manusia hebat suatu hari nanti seperti Rasulullah SAW, Nabi Musa yang juga anak yatim. Sungguh jauh perbezaan antara orang yang niat hatinya untuk melakukan kerosakan dan orang yang ingin berbuat baik. Ayat ini menyarankan pihak yang memelihara kepentingan anak yatim supaya menyerahkan sahaja kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang mengetahui segala isi hati. Berbuat baik Sebagai anggota masyarakat yang penyayang, kita perlu berbuat baik kepada anak yatim dan memberi ruang kepada mereka bukannya mengambil kesempatan terhadap mereka bagi menjana kesenangan atau kekayaan peribadi atas nama anak yatim. Banyak hikmah dan kebaikan apabila anak yatim itu dijaga dengan baik antaranya Allah SWT akan memberi rahmat, kasih sayang-Nya kepada kita dan keluarga serta dapat merasakan ketenangan serta kebahagiaan yang sukar untuk diungkapkan. Justeru menyayangi dan memelihara anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam dan ia satu daripada tuntutan al-Quran yang ada kala diambil mudah atau dilupakan oleh kita. Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/65779
0 Komentar untuk " AGAMA: Sayangi, pelihara anak yatim kewajipan setiap umat Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ