Usah berpuas di bulan puasa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usah berpuas di bulan puasa

HARI pertama puasa, pagi-pagi lagi sudah diuar-uarkan dengan pelbagai juadah berbuka. Apa yang dimakan ketika sahur dua jam lalu belum betul-betul hadam di perut, sudah terbayang pula apa yang hendak dikunyah masuk Maghrib nanti.

Siaran radio yang didengar dalam kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan mempromosi beraneka bufet Ramadan yang ditawarkan di hotel dan restoran-restoran eksklusif – hidangan lazat dengan harga sekian-sekian.

Aneh, dulu, kini dan selamanya, orang kita memang suka berjamu-jamu dan terlebih berpuas-puas sepanjang Ramadan al-Mubarak. Ternyata bagi sesetengah orang, GST dan kemelesetan ekonomi tidak sedikit pun menjadi halangan untuk makan besar.

Malah lucu, dua minggu sebelum melihat anak bulan Ramadan, saya sudah menerima banyak undangan ke majlis berbuka puasa. Anak bulan pun belum nampak orang kita sudah mengatur program berbuka puasa!

Antara undangan berbuka yang awal saya terima ialah daripada seorang bekas diplomat di Jalan U-Thant, KL. Beberapa agensi dan jabatan kerajaan juga siang-siang sudah menghantar undangan serupa.

Syarikat-syarikat korporat terkemuka, dan GLC – tidak termasuk 1MDB – turut mengundang pihak media ke majlis berbuka puasa. Selain gambar beraneka juadah, pada kad-kad undangan juga tertulis: “Surau dan ruang solat tarawih disediakan!”

Pendek kata belum langsai hari pertama puasa, undangan berbuka sudah tersusun di atas meja, sesetengahnya bertindih pada hari yang sama. Saya yakin sehari dua ini akan banyak lagi undangan berbuka puasa di atas meja.

Walaupun setiap tahun diingatkan menerusi kuliah dan ceramah para ustaz bahawa Ramadan adalah untuk menahan diri daripada juadah – supaya timbul keinsafan dan simpati terhadap fakir miskin – ternyata nasihat ustaz belum dihayati.

Hatta, seruan dan ingatan supaya jangan membazir, dan amaran membazir itu sahabat iblis, semuanya tidak melekat di hati, seperti biasa masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Hakikatnya ialah sepanjang bulan mulia inilah kita sentiasa terlihat, tercium dan tertunjuk seribu satu makanan dan minuman yang meliurkan. Bazar Ramadan muncul hampir di setiap ruang kosong.

Jalan dan lorong tertentu ditutup untuk memberi ruang dan peluang kepada peniaga menjual beraneka juadah. Ayam golek, ikan percik, nasi kerabu, nasi minyak, sup ekor, sambal sotong, sambal petai, roti bom, karipap...sebut apa sahaja semua ada.

Tunjuk itu, capai satu. Cium itu, bungkus satu. Almaklumlah berpuasa, melihat ubi keledek bakar pun terliur semacam. Akhirnya kedua belah tangan tidak cukup membimbit bungkusan-bungkusan berisi makanan dan minuman.

Seperti yang dilaporkan media semalam, orang kita memang kemaruk makan – macam tidak puas-puas – sepanjang bulan puasa. Tidak kira apa saiz perut, mereka membeli makanan tanpa mengawal nafsu.

Dan, mereka memang menepati sahabat iblis, kerana membazir. Angka-angka yang ditunjukkan dalam laporan media membuktikan jumlah makanan yang terbuang setiap hari sepanjang Ramadan dan musim raya ialah 1,000 tan @ 1 juta kilogram.

Ini termasuk makanan yang dibeli tetapi tidak habis dimakan, akhirnya dibuang dalam tong sampah depan rumah, juga makanan tidak habis dijual di Bazar Ramadan dan tidak dapat dikitar semula, lalu dilonggokkan dalam tong sampah awam.

Tikus, anjing dan kucing pun tidak dapat menghabiskan makanan yang dibuang itu. Pada hal sejuta kilogram makanan yang dibuang itu dapat menampung tujuh juta orang yang kelaparan di merata pelosok dunia.

Di tempat kita orang membuang sejuta kilogram makanan sehari @ 30 juta kilogram sepanjang bulan puasa, sedangkan – seperti yang kita lihat di TV setiap hari – di lain-lain bahagian dunia berjuta-juta orang termasuk kanak-kanak kebuluran setiap hari.

Orang berduit di tempat kita sanggup membayar RM100 – RM150 per kepala untuk berbuka di hotel lima bintang, sedangkan mereka hanya larat makan sepinggan nasi, seketul ayam yang nilainya mungkin tidak sampai RM20. Ini juga satu pembaziran!

Secara peribadi, walaupun ada undangan makan besar di hotel, tahun ini saya berazam untuk banyak berbuka dan bermoreh di surau. Satu yang saya tidak boleh lepaskan ialah teh tarik istimewa Haji Ismail yang lebih sepuluh tahun menjadi trademark di Surau Al-Mukminin PJS 9, berhampiran Sunway Lagoon. Selamat berpuasa!

Related Post

0 Komentar untuk " Usah berpuas di bulan puasa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ