Terjebak cinta pua kumbu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Terjebak cinta pua kumbu

KECINTAAN mendalam terhadap warisan tradisi di negeri kelahirannya, menyebabkan aura Personaliti WOW ini terarah ke hasil seni berkenaan.

Tekad meningkatkan martabat seni tenunan kain pua atau dikenali sebagai tenunan ikat dihasilkan oleh wanita Iban di Sarawak, itu yang kini jadi tumpuan Dr Welyne Jeffrey Jehom.

Tanpa ada pengetahuan asas mengenai hasil seni terbabit, Pensyarah Kanan Program Pengajian Pembangunan, Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) ini rupa-rupanya hanya bermula apabila 'terjebak' untuk mengkajinya.

Ceritanya bermula pada 2012 apabila pihak universitinya mengehendaki penyelidikan berkaitan yang perlu disiapkan.

"Bagi penyelidikan ini, kita perlu hasilkan jurnal akademik untuk capai KPI penyelidikan seperti diminta pihak universiti. Saya pilih untuk penyelidikan ini.

"Disebabkan ia susah dikendalikan kalau anda bukan orang Sarawak. Lagipun saya tahu berbahasa Iban dan tahu tempat berkaitan di Sarawak. Masa itu minat dengan penyelidikan ini juga disebabkan rasa ingin kembali ke tempat asal saya dan mendalami asal-usul seni di tempat sendiri," katanya.

Sempat meneliti sekitar kediaman Welyne di tengah kota ibu negara, beliau sememangnya seorang mencintai hasil seni dan alam semula jadi. Sekeliling kediaman dan sudut tertentu dalam rumah terlihat kehijauan pelbagai jenis pokok.

Selain pua, sebelum ini beliau mempunyai hobi mengumpulkan tempayan lama warisan keluarga, serta kayu berlian. Menariknya, antara koleksi tempayannya ada berusia pada abad ke-16, manakala kayu belian diambil dari dasar sungai yang jadi kemasan rumahnya ada berusia lebih 100 tahun.

Dek penyelidikan terbaharunya ini, minat baharunya mula terserlah dengan mengumpul koleksi kain pua pula. Bahkan hiasan kediamannya juga mendapat sentuhan kain pua kumbu.

"Saya sebelum ini memang tak minat dan tak pandang langsung pada pua. Mungkin sebab pua lama yang asli kelihatan tak menarik dengan warna kusam.

"Tapi kerana jiwa seni dan saya menghargai 'benda' akan pupus. Orang kata tak kenal maka tak cinta," kata isteri kepada warga Perancis ini.

Fokus penyelidikan

Wanita 45 tahun, mempunyai dua cahaya mata perempuan berusia 6 dan 9 tahun ini berkata, kali pertama beliau ke Kapit selepas 15 tahun, tidak banyak berubah.

Kebanyakan tenunan pua ini diusahakan orang kurang berkemampuan di Kapit. Beliau tidak menolak, usaha menghasilkan pua kian pupus antaranya disebabkan sistem pendidikan yang tidak menekankan pengetahuan asal kepada generasi Peribumi mengenai pua kumbu.

 "Kebanyakan jarak rumah dengan sekolah pun jauh. Masa dan ruang terhad, jadi bagaimana hendak belajar tradisi asal mereka. Saya pun kerana penyelidikan ini di Kapit, kini baru faham cara membuat pua kumbu sebenar dan tahu setiap rumah panjang, mempunyai bancuhan pewarna pua kumbu berbeza.

"Kesempatan bertemu seorang penenun pua kumbu yang mendapat pengiktirafan United Nation semasa saya menghadiri seminar di Kraftangan Negara, dari situlah perhubungan penyelidikan saya dengannya ibarat ibu dan anak bermula," katanya.

Welyne berkata, biarpun penenun berkenaan menenun untuk pereka terkemuka, tetapi masih hidup dalam kemiskinan, antara menjadi fokus terhadap penyelidikannya.

   Bekas penuntut kedoktoran (PHD) Pusat Pengajian Pembangunan, University of Bonn, Jerman ini berkata, biarpun rata-rata penenun pua warga emas, hanya baru-baru ini disertai golongan muda apabila mereka melihat potensi dan pulangan dalam bidang berkenaan.

Bagi mengetengahkan seni ini, inisiatif diambil sendiri olehnya untuk mengadakan Pameran Textile Tales Of Pua Kumbu, akan dilancarkan pada 13 Jun ini.

Pameran selama sebulan itu akan berlangsung di Galeri Seni Universiti Malaya, Aras 5, Bangunan Canselori.

"Walaupun tidak diwajibkan dalam syarat penyelidikan saya, usaha mengadakan pameran ini diharap dapat memberikan pengetahuan lebih mendalam kepada orang ramai berhubung kraf tekstil pua kumbu.

"Saya juga berharap salah tanggapan terhadap seni ini dapat dibetulkan. Ia kini bukan sahaja untuk masyarakat Sarawak tetapi sesuai untuk semua orang kita. Sekarang pun sudah dikomersialkan untuk buat kasut, beg, tali leher, sapu tangan, tudung dan lain-lain," katanya.

0 Komentar untuk " Terjebak cinta pua kumbu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ