Sabut kelapa inovasi baharu bagi industri pembuatan perabot - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sabut kelapa inovasi baharu bagi industri pembuatan perabot

MARANG: Kelapa dikatakan sebagai pokok 1,001 kegunaan dengan setiap bahagian daripada pokok berkenaan mempunyai kegunaan dan boleh dihasilkan produk. Jika dahulu sabut kelapa hanya dibuang dan dibakar, kini ia menjadi inovasi baharu dalam industri pembuatan perabot, tilam dan tempat duduk kereta. Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kejuruteraan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Mohd Salleh Punan, berkata sabut yang diproses boleh menghasilkan cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang). Bahan itu digunakan dalam industri seperti pembuatan perabot, permaidani, tilam serta tempat duduk kereta, selain fertigasi pertanian moden bagi menggantikan tanaman di atas tanah. Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata untuk menghasilkan cocopeat dan coir, sabut kelapa akan direndam di dalam kolam takungan selama sebulan, kemudian sabut yang diawet itu ditoskan sebelum dipukul bagi memecah, melembut dan kemudian diasingkan untuk menghasilkan cocopeat serta coir. "Sejak lima tahun lalu, pihak MARDI menghasilkan mesin pengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan yang mahu menceburi bidang ini dan setiap mesin dijual dengan harga RM25,000. Bagaimanapun, kami sedia beri pinjam kepada usahawan buat sementara selama sembilan bulan," katanya. Mohd Salleh berkata, namun begitu sehingga kini penggunaan mesin pengasing sabut kelapa ini masih belum digunakan secara meluas. "Setakat ini hanya empat negeri sahaja yang ada usahawan menggunakan mesin ini iaitu di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bagaimanapun, hasil cocopeat dan coir ini sangat mendapat permintaan tinggi bagi pasaran dalam industri pembuatan negara," katanya. Seorang daripada pengusaha cocopeat dan coir dari Kampung Bukit Kolam, di sini Mamat Osman, 61, berkata dia yang asalnya berniaga santan selama enam tahun kini memperoleh hasil lumayan setelah menceburi bidang ini tiga tahun lalu. "Mula-mula memang saya fikir juga, nak buat apa dengan sabut kelapa ni sebab kerja saya jual santan. Kelapa saya guna, tetapi tempurung dan sabut tu tak tahu nak buang ke mana. Kebetulan saya terbaca mengenai mesin ini di surat khabar, saya terus menghubungi pihak MARDI. "Saya pergi ke MARDI Serdang, untuk lihat sendiri mesin yang dihasilkan pihak Mardi, kemudian saya pinjam sementara mesin berkenaan selama enam bulan untuk percubaan. Bila dah dapat permintaan tinggi, barulah saya beli dua buah mesin ini dengan harga RM25,000 setiap satu," katanya. Mamat, yang juga pesara kerajaan, berkata pendapatannya menjual santan selepas pencen hanya sekitar RM50 hingga RM60 sehari, tetapi kini pendapatannya meningkat tiga kali ganda hasil permintaan cocopeat yang tinggi. "Cocopeat ini boleh digunakan sebagai media untuk penanaman fertigasi dan permintaan terhadap cocopeat ini sangat tinggi dan saya hanya menjualnya RM4.50 seguni. Dulu pengusaha fertigasi ambil dari luar negeri, tapi kini mereka ambil dengan saya sebab saya jual dengan lebih murah. "Untuk coir pula, ia digunakan dalam industri penghasilan perabot, karpet, tilam serta tempat duduk kereta yang mana coir ini tahan lama dan tak mudah rosak serta tidak panas dan sangat sesuai dengan pembuatan ini," katanya. Mamat berkata, coir dijual dengan harga RM900 bagi satu treler. "Sabut kelapa saya peroleh daripada orang kampung dengan harga RM60 selori, tetapi kini saya menghadapi sedikit kesukaran untuk mengeluarkan lebih produk kerana pengeluaran kelapa di negeri ini semakin berkurangan," katanya yang turut merancang untuk membuka sebuah kilang tahun ini. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57249
0 Komentar untuk " Sabut kelapa inovasi baharu bagi industri pembuatan perabot "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ