Pusat ibadah kepada ALLAH - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pusat ibadah kepada ALLAH

SEMENTARA al-Quran dan Bible membawa kisah yang hampir sama mengenai kehidupan anbiya dan rasul di Palestin, namun kisah kedua-dua sumber kitab wahyu ini membawa  perspektif berbeza.

Bible menceritakan kisah tersebut secara miring sebagai kisah sejarah Bani Israel dan  menjadikannya hujah asas hak mereka ke atas bumi Kan’an (Palestin). Sementara itu, al-Quran pula memaparkan kehidupan hamba ALLAH SWT yang soleh.

Kehidupan mereka di Bait Al-Maqdis iaitu pusat kehidupan  bumi Syam yang sentiasa dipenuhi dengan ibadah kepada ALLAH, itulah yang menjadikan Syam sebagai bumi yang berkat.

Hal ini sangat jelas  apabila diteliti  kepada rangkaian ayat yang menyebut mengenai bumi yang diberkati di atas, di mana ayat yang terakhir Surah Al-Isra' ayat satu memberikan jawapannya. Ia kerana wilayah Palestin di bumi Syam mempunyai Masjid Al-Aqsa yang didirikan di kota suci Baitil Maqdis ( al-Quds).

 Ulama terutamanya Mufassirin (ulama tafsir) bersetuju ayat yang menyebut bumi yang diberkatkan dalam ayat al-Quran adalah Syam.

Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat daripada Surah Al-Isra’: 1 dan ayat lain yang berkenaan dengan konsep tersebut dengan tegas mengatakan ia adalah bumi Syam yang wilayah utamanya Suriah dan Palestin.

Katanya, bumi Syam dianggap berkat kerana ia adalah bumi yang subur, ada sungai besar, banyak pokok buah-buahan mengeluarkan buah yang lazat.

Namun apa yang jauh lebih penting daripada semuanya itu adalah di atas bumi itu dahulunya ramai anbiya dan auliyaa' ALLAH yang soleh hidup dan melaksanakan ibadah kepada-Nya sewaktu hayat dan sesudah wafat  mereka disemadi di sana.

Kitab Qadiyyah al-Palestiniyyah munzu Adam AS menjelaskan sesungguhnya kota suci Bait al-Maqdis adalah pusat nadi kehidupan ('Asimah) kepada bumi Syam sejak hari pertama ALLAH menciptakan dunia ini.

Dalam Kitab Akhbaru Makkah terdapat satu sumber athar yang Sahih daripada Saidina Ali bin Abi Talib, asal bumi ini diliputi air. Kemudian apabila liputan air mulai mengering yang mula-mula timbul di permukaan air tiga tanah daratan.  Itulah Makkah, Taibah (Madinah) dan Bait Al-Maqdis.

Satu bukti yang jelas Bait al-Maqdis adalah pusat nadi kehidupan (‘Asimah) kepada bumi Syam sejak azali ialah hadis qudsi diriwayatkan Muaz bin Jabal bahawa ALLAH berkata kepada bumi Syam: "Wahai Syam! engkaulah bumi pilihan-Ku. Nantikan, akan Aku bawa kepadamu hamba pilihan-Ku."

Adalah dikatakan janji ALLAH ini kepada bumi Syam sejak hari pertama bumi Syam diwujudkan. Ketika itu manusia pertama, Adam AS pun masih belum diciptakan. Bilakah ALLAH menunaikan janji-Nya kepada bumi Syam?

ALLAH menunaikan janjinya kepada bumi Syam pada malam Israk dan Mikraj di mana hamba pilihan ALLAH iaitu Nabi Muhammad SAW dibawa ke pusat nadi kehidupan bumi Syam iaitu Bait Al-Maqdis.

Ulama menjelaskan bumi Syam adalah bumi yang berkat lantaran buminya yang subur, terutamanya Syria  dan Palestin. Terdapat sungai besar dan cabang-cabangnya yang kecil mengalir sepanjang tahun.

Di bumi Syam yang subur ini terdapat ladang dan kebun buah-buahan yang juga mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Penjelasan ulama ini bertepatan dengan petunjuk geo-history yang mengesahkan sebahagian jaluran tanah di selatan Syria yang bersambung dengan Palestin termasuk dalam 'lengkungan Bulan Sabit Yang Subur' (the Crescent Furtile) yang bersambung-sambung daripada Lembah Euphrates di Mesopotamia dengan Lembah Nil di Mesir.

Lantaran itu sejak dahulu, bumi Syam menjadi tumpuan kediaman berbagai suku kaum tempatan seperti suku-suku kaum Phoenic-Canaanite dan Semetik sejak daripada milineum ke 2 SM.

Daripada segi hubungan strategik,  bumi Syam yang berkat juga terletak di pertengahan hubungan pertemuan dan pertembungan budaya antara Rom yang mewakili barat dan Parsi yang mewakili timur.

Adalah tidak menghairankan bumi Syam menjadi medan rebutan hegemoni di antara kuasa besar serantau pada zaman itu Rom dan Parsi.

Parsi berjaya menegakkan kuasa hegemoninya ke atas bumi Syam jauh lebih lama berbanding dengan Rom. Penegakan hegemoni Parsi mula ditandai kejayaan Raja Cyrus Yang Agung memperluaskan daerah kekuasaan Parsi ke bumi ini pada tahun 540 SM.

Sejak itu Parsi berjaya menegakkan hegemoni dalam tempoh jangka masa yang agak panjang tanpa cabaran kecuali  sedikit gangguan ringkas oleh kemunculan Alexander Agong (334 hingga 300 SM).

Hanya menjelang berakhirnya alaf terakhir SM, Syria mula dikuasai oleh Rom. Pompey sewaktu bersekutu dengan Julius Ceaser diangkat sebagai pemerintah Rom untuk rantau timur Mediternean telah menakluki Syria pada tahun 64 SM.

Walaupun akhirnya Pompey dan Ceaser bermusuhan yang berakhir dengan pembunuhan Pompey namun Syria terus berada di bawah Empayar Rom dan pemerintahan Rom menjadikan kota Damascus sebagai ibu negara bagi Syria.

Ikuti sambungannya di minggu akan datang...

DR FAWZI ZAKARIA
Penulis ada lah setia usaha hal ehwa l luar
Persatuan Ulama Ma laysia (Pum)
SAMBUNGAN SIRI 1

0 Komentar untuk " Pusat ibadah kepada ALLAH "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ