Hikmah al-Quran: Huraian Surah al-Baqarah, ayat 217. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah, peperangan pada bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang Islam) daripada jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang Islam) ke Masjidil Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang pada bulan yang dihormati)." (Surah al-Baqarah, ayat 217). Allah SWT dalam banyak ayat sentiasa mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap sikap orang Musyrikin yang berazam untuk meneruskan cita-cita jahat mereka menindas dan memurtadkan orang Islam daripada ajaran Islam. Menerusi ayat ini Allah SWT mendedahkan penindasan terhadap kaum Muslimin adalah matlamat tetap bagi musuh Islam, matlamat itu tidak berubah di mana sahaja dan dalam sebarang generasi. Satu fakta yang tidak boleh diperdebatkan lagi ialah orang Islam tidak pernah memulakan peperangan atau pencerobohan, malah yang selalu memulakannya ialah kaum Musyrikin. Mereka menahan orang daripada mendekati agama Allah SWT, kufur terhadap Allah SWT dan menghalang orang dari Masjidil Haram. Perbuatan mengusir penduduk Tanah Haram adalah lebih besar dosanya daripada berperang pada bulan haram dan perbuatan menindas orang Islam kerana agama mereka adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT daripada membunuh. Kaum Musyrikin telah melakukan dua dosa yang besar ini. Menjadi kewajipan kaum Muslimin jangan membiarkan mereka berselindung di sebalik tabir kesucian palsu yang tidak dihormati dan dipandang suci dalam hati mereka. Perbuatan mereka menyebut kehormatan bulan haram adalah semata-mata tabir palsu untuk berselindung di sebaliknya bagi memburukkan kedudukan kaum Muslimin dan menonjolkan mereka dengan sifat penceroboh, sedangkan sebenarnya merekalah sejak awal yang telah mencabul kehormatan Baitullah. Sesungguhnya perbuatan mengganas, mengusir dan menindas penduduk Tanah Haram Makkah lebih besar daripada berperang pada bulan haram yang dilakukan beberapa orang Islam di bawah pimpinan Abdullah bin Jahsh di Batn Nakhlah itu. Oleh itu, hujah Nabi SAW dan sahabatnya yang dikatakan tidak menghormati bulan haram ini tidak timbul lagi kerana kaum musyirikinlah sebenarnya yang memulakan pencerobohandan tidak memuliakan kehormatan Tanah Suci serta Baitullah. Perkataan fitnah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah menyekat kebebasan manusia untuk hidup beragama dan memaksa mereka supaya terus kufur kepada Allah SWT. Mereka menyeksa sebahagian sahabat seperti Ammar Yasir, Bilal dan Khabbab Al-Arat. Mereka menyeksa Ammar dengan besi panas supaya beliau kembali ke agama asalnya dan menyeksa saudara serta ibu bapanya. Ketika Nabi SAW lalu di hadapan mereka, Baginda berhenti, kemudian bersabda: "Sabarlah keluarga Yasir, sabarlah, sesungguhnya syurga telah dijanjikan buatmu." Berikutan itu, Yasir meninggal dunia dalam seksaan manakala ibunya pula disula pada kemaluannya sehingga beliau menemui ajalnya. Bilal pula diseksa oleh Umayyah Ibn Khalaf dengan dibiarkan kelaparan dan kehausan. Dadanya ditindih dengan batu besar di tengah terik matahari, lalu dikatakan padanya: "Kamu akan tetap dibiarkan begini sehingga mati atau kamu kafir kepada Muhammad dengan kembali menyembah Al-Lata dan Al-Uzza. Namun Bilal tidak mahu dan bertahan bagi memelihara agamanya. Ancaman paling berbahaya kepada umat Islam ialah murtad atau berpaling tadah daripada akidah dan ajaran Islam. Islam memandang berat gejala murtad kerana perubahan mereka daripada asalnya menjadi mata dan telinga kepada Islam lalu dengan tiba-tiba menjadi mata dan telinga kepada pihak musuh. Murtad boleh berlaku sama ada melalui ucapan atau perbuatan. Murtad melalui ucapan apabila seseorang mengingkari sesuatu yang diketahui secara pasti bahawa itu termasuk dalam ajaran agama. Menerusi perbuatan seperti bersujud kepada matahari, berhala dan meremehkan al-Quran. Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan agama Islam, walaupun digoda oleh orang kafir dengan pelbagai ancaman. Mereka tidak harus murtad setelah mengecapi kemanisan iman dan Islam. Sesiapa mati dalam keadaan murtad, maka seluruh amalan kebajikannya yang lalu akan gugur dan sia-sia.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/61184
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/61184
0 Komentar untuk " Pertahankan akidah biarpun nyawa diancam musuh Islam "