Perjuangan mesti diteruskan! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perjuangan mesti diteruskan!

MEWAKILI suara mahasiswa Presiden MPP UIAM Gombak, Hanif Mahpa menjelaskan, kebebasan akademik tidak harus dilihat terpisah dari kebebasan-kebebasan asasi yang lain, iaitu kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun.
Ia merupakan suatu pakej hak dan tanggungjawab insan. Menidakkan salah satunya bererti menidakkan maruah seorang manusia.

INTELLECTUAL CONTAINMENT

Menurutnya, kebebasan akademik seharusnya menjadi denyut nadi universiti dan institut-institut keilmuan. Ia menjadi asas kepada budaya ilmu, matlamat pendidikan dan kesarjanaan.

Lawan bagi kebebasan akademik ialah penyekatan intelektual (intellectual containment), suatu istilah yang digunakan Meredith L. Weiss dalam bukunya Student Activism in Malaysia.

Menurut Weiss, mahasiswa dan ahli akademik seharusnya diakui peranan dan autoriti mereka untuk melakukan analisis, kritikan serta advokasi. Mereka juga aktor penting dalam melakar tamadun dan idea melalui pembelajaran, diskusi dan penulisan. Sekiranya kebebasan mereka disekat; melalui ancaman dan hukuman yang dikenakan apabila bersuara lantang, tidak mungkin peranan mereka dapat difungsikan sepenuhnya untuk masyarakat.

Ketakutan yang diinstitusikan secara rasmi pada 1971 melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta pelbagai undang-undang drakonian lain adalah tali gantung yang menanti untuk menjerut leher-leher mahasiswa dan ahli akademik.

"Ketakutan dijadikan alat politik para penguasa. Jika mahasiswa menunjukkan bangkangan kepada tindakan kerajaan, bersiap sedialah untuk dibuang universiti. Jika pensyarah menulis di akhbar-akhbar untuk mengkritik pemimpin kerajaan dan polisi negara, alamat tidak berasaplah dapur di rumah nanti," katanya.

BUDAYA TAKUT DAN BISU

Jelas Hanif, tekanan-tekanan ini pada akhirnya menatijahkan dua malapetaka besar dalam dunia akademik, iaitu budaya ketakutan (culture of fear) dan budaya bisu (culture of silence).

"Budaya ketakutan menyebabkan mahasiswa takut untuk mempersoalkan, mengkritik dan melontarkan idea baru untuk pembangunan masyarakat. Ahli-ahli akademik pula akan mengambil jalan selamat, dengan membisukan diri dalam isu-isu politik dan pentadbiran,"katanya.

Menurut Edward Said dalam bukunya Representation of The Intellectual, intelektual seharusnya berperanan memperjuangkan kebebasan dan keadilan. Menjadi tanggungjawab para intelektual untuk menjadi suara masyarakat awam dan benteng mereka berdepan para penguasa; sebagai agen perubahan masyarakat.

"Apa yang menyedihkan di Malaysia, ahli akademik dibisukan dan tidak dibenarkan berbicara dengan media dan di khalayak umum dalam isu yang dianggap kontroversi dan sensitif; dengan kebimbangan akan ditukar, diketepikan atau dipintas oleh pentadbiran.

"Buktinya, hitunglah dengan jari berapa ramai ahli akademik yang bersuara dalam isu-isu besar negara seperti 1MDB, Tabung Haji dan MAS. Malang bagi rakyat Malaysia, ketakutan telah meragut peranan dan fungsi intelektual awam," katanya.

Tambah membimbangkan, perbincangan-perbincangan isu-isu dasar negara juga disekat untuk dibincangkan secara terbuka di kebanyakan universiti. Kata mereka ahli politik tidak dibenarkan masuk dan memberikan pandangan di dalam universiti.

"Kita menegaskan bahawa dasar-dasar negara digubal dan dibahaskan dengan mendalam oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang juga merupakan ahli politik. Menyekat mereka memberi pandangan bererti menidakkan akses para mahasiswa kepada perbincangan dasar negara secara langsung dan serius," katanya.

Persoalannya, adakah budaya ketakutan dan penyekatan intelektual ini akan berterusan?

Jawapannya tidak. Mahasiswa dan ahli akademik ada pilihan untuk melawan cengkaman dan kongkongan itu. Sebagaimana yang dihujahkan Gene Sharp dengan panjang lebar dalam How Nonviolent Struggle Works, penguasa tidak akan mampu bertahan sekiranya kita tidak lagi berasa takut dengan ancaman.

"Jikalau seluruh mahasiswa dan ahli akademik bersatu dan menunjukkan pendirian dengan jelas mempertahankan kebebasan akademik, ketakutan ini tidak akan lagi berfungsi. Jika ada 1000 mahasiswa dan 500 ahli akademik bangkit bersuara, penguasa sama sekali tidak akan berani mengambil tindakan terhadap mereka,"katanya.

Tegasnya, Auku dan peraturan-peraturan universiti yang menyekat kebebasan individu wajib dilawan. If a law is unjust, a man is not only right to disobey it, he is obligated to do so.”, begitu pesan Thomas Jefferson. Kesatuan bertekad, perjuangan ini tidak akan pernah berhenti sehingga udara kebebasan dapat dinikmati di universiti-universiti.

0 Komentar untuk " Perjuangan mesti diteruskan! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ