Pemimpin harus melarat untuk umat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pemimpin harus melarat untuk umat

PONDOK Pesantren (atau Ponpes) Sunan Drajat di Lamongan, yakni kawasan pesisiran pantai Jawa Timur adalah yang tertua di Indonesia. Ia dibangunkan oleh Qosim Sunan Drajat sekitar 1,600 tahun lalu. Tapi selama lebih 1,000 tahun, ponpes ini lenyap. Hanya pada 1977, ia dibangunkan semula oleh Kiyai Prof Dr Abdul Ghofur. Kini, hampir empat dekad kemudian, ponpes ini adalah antara yang terbesar di republik ini.

Rombongan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang saya ketuai telah mengadakan lawatan ke ponpes ini minggu lalu. Tujuan utama ialah melihat sendiri pengurusan dan perkembangan ponpes ini dan berbincang dengan pemimpinnya. Ketibaan kami disambut penuh mesra oleh Dr Abdul Ghofur, dijamu makan tengah hari dan dibawa melawat ke masjid utama serta beberapa perusahaan komersil yang dijalankan oleh pelajar dan tenaga pengajar, termasuk pemprosesan air mineral dan garam laut, baja dan produk agrokimia, percetakan dan kedai buku, kedai runcit serta stesen TV dan radio. Kegiatan ekonomi banyak memberi manfaat kepada warga ponpes dalam kawasan seluas 120 hektar serta peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Dalam perbincangan kami, banyak yang dipelajari dan boleh dicontohi pondok-pondok di Malaysia. Menurut Dr Abdul Ghofur, beliau berjaya mengembangkan ponpes ini menggunakan falsafah para wali songo ketika menyebarkan Islam yakni pendekatan budaya, seni dan pendidikan bagi menarik minat masyarakat plural di Pulau Jawa. Pada peringkat awal, beliau mengajar silat kepada golongan muda. Selepas latihan, mereka akan diajak solat jemaah dan mengikuti tazkirah agama yang berpaksikan aliran Ahli Sunnah wal Jamaah. Melalui kaedah ini, semakin ramai muda-mudi yang datang belajar di ponpesnya.

Kini, ponpes ini mempunyai 12,000 pelajar yang dikendali 800 guru bertauliah. Mereka belajar di pelbagai peringkat, dari madrasah hingga ke sekolah tinggi agama yang menyediakan kursus seperti ekonomi syariah, bahasa Arab dan hukum Islam. Bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar, mereka diwajibkan mengambil peperiksaan kerajaan. Bagi mereka yang lulus dan memiliki sijil rasmi, daya saing mereka meningkat dan peluang mendapat pekerjaan lebih cerah. Ramai yang berjaya kembali ke ponpes mencurah khidmat sebagai guru.

Pelajar miskin atau daripada keluarga yang tidak mampu dibenar belajar secara percuma selaras dengan prinsip ‘Catur Piwulang’ yang dipertahan sejak dahulu: wenehono teken marang wong kang wutho, wenehono mangan marang wong kang luwe, wenehono busono marang wong kang wudho, wenehono payung marang wong kang kaudanan (Berilah tongkat kepada orang yang buta, berilah makan kepada orang yang lapar, berilah pakaian kepada orang yang tidak berpakaian, berilah tempat berteduh kepada orang yang kehujanan).

Mengulas lanjut prinsip ini, Dr Abdul Ghofur berkata: “Sebagai pemimpin, kita harus sanggup melarat untuk kepentingan umat. Tanpa mendasari nilai ini, kepimpinan tidak akan berhasil. Saya sendiri idolakan bapa saya, para ulama dan pemimpin terdahulu yang telah banyak berkorban. Mereka wira saya. Nilai inilah yang saya pegang, selain sentiasa mahu belajar daripada kesuksesan orang lain. Justeru, di sini, kita didik santri (pelajar) pentingnya kemandirian. Mereka tidak boleh terganggu dengan kemalasan. Kita mahu mereka pintar, giat dalam perusahaan dan pertukangan tetapi mantap agama, warak dan beristiqamah. Orang yang mandiri dan tidak bergantung kepada orang lain jauh lebih terhormat. Mereka yang giat bekerja dan berkemampuan mempunyai daya lebih besar untuk memberi dan bersedekah.

“Orang zaman dahulu agak terbatas ilmu pengetahuan mereka tapi akhlak cukup tinggi. Hari ini terbalik. Ramai nampak pintar dengan ilmu yang tinggi tapi akhlak rendah. Di ponpes ini, kami mahu lahirkan insan yang cerdas, jujur dan adil serta baik tatakrama (akhlak) mereka. Kerana itu, mereka dididik siang dan malam untuk berdikari, selalu berfikir dan mencari jalan penyelesaian kerana ini penting untuk kesuksesan mereka di dunia dan di akhirat.”

Sebelum pulang, rombongan kami dijemput menghadiri acara kemuncak Hari Hol ke-23 yang dihadiri ribuan tetamu, termasuk Menteri Agama Indonesia Drs H. Lukman Saifudin dan Walikota Jawa Timur Drs H. Syaifullah Yusuf. Pelbagai acara diadakan termasuk tilawah al-Quran, tahlil, apresiasi seni, barongsai, wayang songsong, acara drum band dan seminar nasional bertema “Peranan Pesantren Dalam Membentengi Umat dari Fahaman Radikalisme di Indonesia.”

*Datuk Dr Mashitah Ibrahim ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

Related Post

0 Komentar untuk " Pemimpin harus melarat untuk umat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ