Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran saintifik bagi menentukan usaha kerajaan dalam aspek berkaitan dasar serta program yang dilaksanakan menepati prinsip maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Indeks itu juga akan mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan supaya hasil daripada penerapan nilai sejagat dalam Islam itu dapat meningkatkan tahap patuh syariah pada setiap dasar, program pentadbiran serta pembangunan negara. Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia, Tan Sri Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata kerajaan komited memastikan usaha dan dasar dilaksanakan menepati maqasid syariah dan perlu ada satu ukuran yang dapat menunjukkan tindakan itu memenuhi prinsip Islam. Tepati piawaian Islam Beliau berkata, berdasarkan kajian saintifik dijalankan nanti kesungguhan kerajaan dalam menepati piawaian Islam dapat dinilai selain mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan tahap patuh syariah. "Indeks Syariah ini idea Perdana Menteri kerana beliau melihat sejak merdeka lagi, kerajaan sangat komited memastikan dasar serta tindakan dibuat selari dengan syariah. Oleh itu, perlu ada mekanisme untuk menilai secara sistematik sejauh mana komitmen itu menepati maqasid syariah. "Indeks ini juga untuk mengelak tanggapan negatif terhadap usaha kerajaan kerana ada yang dibuat tidak mempunyai label Islam, tetapi hasilnya menepati maqasid syariah. Contohnya, sekolah kebangsaan walaupun tiada label Islam, tetapi tujuannya memberi ilmu kepada semula pelajar adalah selari prinsip Islam," katanya kepada BH pada pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini. Model Indeks Syariah Malaysia dilancarkan pada 10 Februari lalu sebagai mekanisme bagi memperbaiki dan menambah baik program untuk kesejahteraan rakyat. Indeks syariah itu mencakupi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana serta sosial. Bagi setiap bidang itu ia meliputi penyempurnaan lima aspek dalam maqasid syariah atau matlamat syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Fokus indeks adalah berkaitan dasar, program atau pembangunan dilaksanakan kerajaan yang memiliki nilai murni dan menepati prinsip Islam. Solat perlu dilakukan dengan teliti dan sepenuh hati supaya ia diterima Allah SWT. - Gambar hiasan Ukuran indeks berdasarkan tiga komponen Pengukuran pencapaian indeks itu dilakukan ke atas tiga komponen iaitu penggubal dasar (pemerintah), pelaksana dasar (agensi pelaksana) dan masyarakat awam keseluruhannya. Elemen maqasid syariah menjadi teras pengukuran kerana ia menepati semua aspek kehidupan. Indeks Syariah yang bersifat menyeluruh, komprehensif dan pertama seumpamanya di dunia itu juga adalah pelengkap kepada tadbir urus Islam di Malaysia. Memandangkan Indeks Syariah ini adalah satu usaha rintis, amalan terbaik beberapa negara terpilih seperti Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi dijadikan asas perbandingan atau penanda aras bagi tujuan penambahbaikan proses pengukuran indeks syariah di Malaysia. Abdul Shukor menjelaskan, pendekatan digunakan untuk mengukur secara sistematik itu ialah 'nilai, lihat dan ukur' dasar, pelaksanaan serta pembangunan dilakukan oleh kerajaan adakah ia sudah menepati maqasid syariah atau sebaliknya. Maknanya, Indeks Syariah Malaysia akan menyemak sama ada dasar dan program diperkenalkan kerajaan menepati tahap penyempurnaan lima aspek maqasid syariah. Jika sudah menepati, ia berada di tahap mana, sudah berjaya, sangat berjaya atau tidak berjaya. "Pengukuran Indeks Syariah menjadi penanda aras setakat mana kerajaan telah melaksanakan prinsip syariah dalam pemerintahan. Perundangan umpamanya, kita melihat apakah aspek perundangan negara benar-benar memenuhi tuntutan syariah. "Jika undang-undang itu bukan undang-undang Islam, tetapi pelaksanaan memenuhi tuntutan syariah maka ia dianggap sebagai patuh syariah. Begitu juga pengurusan ekonomi, pembasmian kemiskinan atau kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan perlu memenuhi tuntutan syarak," katanya. Katanya, melalui Indeks Syariah juga kerajaan dapat membuat perancangan masa depan. Dalam proses membuat kajian tentu akan bertemu perkara yang sudah tercapai atau masih dalam usaha mencapai maqasid syariah. Jika ada kelompangan, kerajaan perlu memberi perhatian kepada usaha peningkatan serta penambahbaikan. "Usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat sudah ada, tetapi persoalannya pencapaiannya pada tahap mana. Andai taraf hidup yang baik hanya dinikmati sebahagian kecil sahaja, apakah usaha kerajaan itu sudah tercapai. Inilah yang akan kita nilai, lihat dan ukur," katanya. Pakar pelbagai bidang Abdul Shukor berkata, pengukuran Indeks Syariah bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya sebaliknya ia membabitkan banyak pihak termasuk perbincangan pakar daripada pelbagai bidang untuk menyumbang ke arah penghasilan indeks yang benar-benar menepati matlamat pengukuran Indeks Syariah itu. Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia yang terdiri daripada sembilan pakar dalam bidang masing-masing akan mendapatkan kerjasama penyelidik dari enam universiti untuk membuat penyelidikan serta mendapatkan input diperlukan. Universiti terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau memberitahu, kerangka kajian Indeks Syariah Malaysia telah siap dan sebahagian kerja sudah dimulakan. Banyak lagi program serta dasar kerajaan yang perlu dinilai dan dilihat sejauh mana menepati prinsip syariah. "Kita menjangkakan akhir tahun ini kita akan dapat hasil kajian pada peringkat awal. Daripada hasil kajian dan data diperoleh, kita akan ada apa yang kita sifatkan sebagai prototaip. Berdasarkan kepada perancangan, Mac tahun depan kita boleh kemukakan laporan Indeks Syariah itu kepada kerajaan. "Ini akan diikuti dengan memberi penilaian yang dicadangkan dilakukan pada tahun 2016 hingga tahun 2017, manakala pada tahun 2017 hingga tahun 2018, indeks itu sudah mencapai tahap kita berpuas hati dan mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara, malah dari negara luar," katanya. Mengakui ia bukan tugas mudah, Abdul Shukor berkata, Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia akan membuat kawal selia serta pemantauan Indeks Syariah secara sepenuh masa untuk menilai persepsi serta tahap kepuasan masyarakat melalui semakan dasar patuh syariah dan pelaksanaannya. Jawatankuasa juga akan memperkukuhkan kefahaman masyarakat dari semasa ke semasa melalui strategi menyedar, menjiwakan, mendidik masyarakat terhadap usaha kerajaan supaya mereka memahami apa yang ingin dicapai kerajaan serta berkongsi aspirasi itu kerana hasilnya nanti adalah demi kesejahteraan rakyat.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57683
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/57683
0 Komentar untuk " Meningkatkan tahap patuh syariah dalam tadbir urus "